Skip to content

EKSPRESI & EKSPLORASI LAWRENCE WONG

Kongsikan artikel ini
Penyelaras & Penata Gaya: Johan Kassim | Penyelaras & Penata Gaya (Horologi): Zuhairie Sahrom | Konsep: Ardeshir Hamedani | Gambar: Eric Chow, Blink Studio | Rambut: Bibian Leong | Mekap: KF Bong

Lawrence Wong, 31, merupakan anak seni kelahiran Johor Bahru. Profil resumenya begitu lengkap, bermula sebagai penyeri iklan komersial televisyen dan media cetak sejak di bangku persekolahan. Kemudian, pemuda ini memerankan tanggungjawab sebagai pelakon untuk drama bersiri serta filem di Malaysia juga Singapura. Sebelum mencuba nasib dengan menggalas impian untuk menjadi penyanyi.

Tahun 2016, Lawrence meneruskan kerjayanya, menongkah arus kehidupan sebagai anak seni di bumi China. Walau bagaimanapun, pelakon ini hampir menoktahi kerjayanya dari lapangan hiburan sebelum berjaya meraih peluang berlakon dalam drama bersiri Story of Yanxi Palace, yang ditayangkan pada tahun 2018 dan langsung menjadi hit antarabangsa. Sejak itu, namanya terus melonjak naik lantas melabuhkan diri di posisi ke-35 dalam senarai artis paling berpengaruh di China. Kolaborasi GL bersama Montblanc Malaysia menyajikan wawancara eksklusif bersama pemuda berketinggian 5 kaki 10 inci ini.

Jaket sut dari MCM; jam tangan Montblanc 1858 Geosphere in Blue (gelang keluli tahan karat dan titanium).

Bagaimana anda memulakan langkah dalam lapangan hiburan? Pernahkah anda bermimpi untuk menjadi pelakon?

Ia lebih seperti natural progression kerana saya sudah memulakan langkah dalam bidang seni ini sebagai peragawan untuk iklan komersial televisyen dan iklan cetak sejak berusia 15 tahun lagi. Usai menekuni bidang Komunikasi Massa di Universiti RMIT, saya tidak punya pilihan untuk meneruskan bidang peragaan dan hos. I was young, lost and didn’t know what to do, sama seperti sesiapa saja yang baru tamat pelajaran di universiti.
Bagaimana saya memulakan langkah adalah bila mendapat panggilan daripada salah seorang produser iklan yang pernah saya berkerja sekali, dan suaminya kala itu sedang merencana pembikinan filem terbarunya. Saya hadir uji bakat dan berjaya mendapat watak dalam filem itu dan selebihnya adalah sejarah. Pada mulanya, saya mahu menjadi seorang arkitek sama seperti bapa saudara saya yang menjadi kebanggaan seisi keluarga. Dan selepas itu, saya mahu menjadi doktor haiwan kerana saya sukakan haiwan. Saya punya banyak cita-cita kala membesar. Mahu membuka kedai buku sendiri. Mahu menjadi penjual bunga kerana saya gilakan bunga dan tumbuhan hijau. Tapi tidak pernah saya memasang impian untuk mencipta nama sebagai aktor.

Kemeja T dan seluar, karya Emporio Armani; jam tangan Montblanc 1858 Geosphere in Blue, & seleksi tali pinggang juga dari Montblanc.

Masih ingat peranan lakonan pertama anda?

Pengalaman pertama saya memeran tanggungjawab sebagai pelakon utama menerusi telefilem The Promise sekitar tahun 2009. Saya terlibat dalam produksi ini dari awal hingga akhir. Lalu, membuatkan saya jatuh cinta dengan dunia lakonan kerana peranan yang diberikan agak mencabar bagi saya. Saya memegang watak sebagai budak sekolah yang jatuh cinta dengan seorang gadis penderita mild intellectual disability (MID) atau kurang upaya intelektual.

Mengapa anda membuat keputusan untuk berpindah ke China?

Ia adalah kemaraan langkah buat kerjaya saya dan saat itu hati berbisik untuk pergi mencuba nasib. Jika mahu saya senaraikan setiap hasil produksi di Malaysia dan Singapura, dari filem, telefilem, drama bersiri, menerbitkan buku serta album… saya laksanakan kesemuanya sepenuh hati. Hingga sampai satu saat saya fikir, Apa lagi? What’s next?
Saya membiarkan diri mengikuti arus yang mengalir secara natural. Namun, di sudut hati ini seringkali memberontak ingin menjamah cabaran baru dan saya adalah individu yang mudah bosan. Secara jujurnya, ini juga terkait dengan suratan takdir dan waktu. Tepat pada masanya, di mana saya memulakan langkah lalu berpeluang untuk bersemuka dengan peluang baru. Saya diperkenalkan dengan pihak pengurusan di China, yakni tempat saya bernaung sehingga ke hari ini. Mereka menyatakan minat terhadap saya, bahkan merasakan bahawa saya punya pasaran di China waktu mula dipertembungkan dahulu. Namun, sekiranya ramalan itu tidak menjelma dalam masa dua tahun, saya sudah memutuskan untuk menukar haluan kerjaya. Itu adalah janji pada diri saya sendiri.

Persalinan lengkap Giorgio Armani, dilengkapi sandal dari Fendi & jam tangan Montblanc 1858 Automatic 24H.

Pada awal penglibatan di China, bagaimana pengalaman menjadi orang luar yang berusaha menembusi industri hiburan di sana?

Sejujurnya, saya sangat bertuah. Sangat luar biasa kerana saya pergi ke China dan bersiap untuk mengikat perut dan kelaparan. Realitinya jika hendak dibandingkan dengan Singapura dan Malaysia, jauh lebih sukar di luar sana. Di sana, populasi lebih besar, rata-rata orangnya jauh lebih berbakat besar dan mereka ini sudah dilentur bakatnya dari kecil. Mereka juga jauh lebih lapar dan senantiasa bersedia untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan. Cukup berbeza di Malaysia mahupun di Singapura, industri hiburan kita jauh lebih santai dan semuanya mesra sekali. Oleh sebab itu, saya hanya memberi masa untuk menguji pasaran tidak lama dari dua tahun. Namun, nasib menyebelahi saya dan saya berjaya mendapatkan job sulung dalam masa dua bulan. So then came job after job and then shortly after, Yanxi came out and it went boom! Drama bersiri itu dinobatkan sebagai rancangan ‘most Googled TV show’ tahun 2018. Ini adalah fenomena yang jarang berlaku pada seorang pendatang, dan kebetulan saya menjadi sebahagian daripadanya. Saya percaya bahawa nasib itu sendiri terdiri daripada banyak aspek. Dari kerja keras, kepercayan serta harapan yang dibina selama ini membuahkan hasil. Bertahun-tahun saya berjuang, menggali untuk memperbaiki kualiti serta mutu diri.

Bagaimana anda dapat melayakkan diri membintangi Story Of Yanxi Palace?

Saya tidak menjalani uji bakat. Pihak pengurusan saya memperkenalkan saya kepada penerbit, juga penulis drama tersebut. Dan mereka memberikan peluang untuk saya memilih karakter yang bakal diperankan. Saya berserta pihak pengurusan saya, secara kolektif memutuskan peranan yang terbaik untuk saya pikul pada masa itu.

Baju dan celana dari Fendi, sniker dari Dior & jam tangan Montblanc 1858 Monopusher Chronograph.

Apa yang anda faham dengan erti kegemilangan?

Ia sama sekali tidak kekal. Dan, ia membuka mata dan membolehkan anda melihat realiti dari sudut yang berbeza. It taught me to treasure what’s real, and be able to differentiate what’s real and what’s not. Pada dasarnya untuk melihat perkara lebih jelas dan tumpukan perhatian yang lebih mendalam.

Siapa pelakon yang menjadi bahan referensi?

Saya punya ramai referensi selari dengan fasa kerjaya saya kerana kita mengagumi orang yang berbeza pada latar masa yang berbeza. Ada ruang masa saya kagumi cara lakonan Leonardo DiCaprio. Chow Yun-Fat, Maggie Cheung dan Gong Li adalah antara nama yang saya kagumi juga. Terdapat pelakon yang berbeza-beza memberikan inspirasi serta pedoman untuk diri. Ianya tidak ada yang tetap.

Selain berlakon, anda juga dirisik barisan jenama fesyen serta kecantikan diri. Kongsikan cerita anda bila dipilih menjadi Sahabat Jenama pertama untuk Montblanc Malaysia.

Saya sudah bersama Montblanc sejak tahun 2015. Bermula dengan projek kecil-kecilan, kemudian berlanjutan sehingga ke hari ini. Saya menyanjungi visi jenama ini dan ia mirip visi peribadi. Item Montblanc pertama saya adalah sebatang pen pemberian ayahanda. Bagi saya Montblanc adalah satu jenama yang sering kali mencabar batasannya lalu berusaha untuk mencapai tahap keinginan yang jauh lebih tinggi. Ia sejajar dengan falsafah peribadi saya sendiri sebagai anak seni. Rasanya saya tidak perlu mengubah diri hanya untuk menyesuaikan imej jenama ini. Saya boleh mengaitkannya secara natural. Saya fikir itulah sebabnya kami masih bekerjasama setelah bertahun-tahun menjalinkan hubungan yang harmoni lalu berkembang mekar.

Jaket sut, Giorgio Armani, seleksi gelang kulit & jam tangan Montblanc 1858 Geosphere in Blue (bertali kulit).

Apakah yang membuatkan anda menghargai jenama ini?

Sejarah dan ketukangan pembuatan arlojinya yang hebat. Montblanc adalah salah satu rumah arloji yang sudah lama bertapak dalam lapangan horologi dunia. Saban tahun, jenama ini terus berinovasi dalam menghadirkan barisan-barisan jam tangan yang unggul hasil kearifan para tukang jam tangannya yang tersendiri. Dari susuk rekaan luaran sehingga detik mekanikal dalaman yang dipasang terperinci memaparkan ketepatan fungsi. Bertahun-tahun tanpa henti rumah alroji ini menciptakan kaliber buatan sendiri, sama seperti saya mengasah bakat lakonan saya yang berpunya pelbagai lapisan.

Jam tangan Montblanc kegemaran anda?

I’m a proud owner of the Montblanc 1858 Geosphere Limited Edition! Kerana ia sangat versatil dan mudah digayakan dalam apa jua persalinan. Saya rasa kombo ronanya sangat indah. Dan tahun ini mereka mempunyai versi yang baru, hadir dalam rona biru. Saya amat kagum hanya dengan perubahan warna dapat mengubah fizikal serta emosi keseluruhan jam tangan ini. Spektakuler!

By Abdul Aziz Draim
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

GILIRAN ZAC EFRON MENERIMA BINTANG HOLLYWOOD WALK OF FAME

GILIRAN ZAC EFRON MENERIMA BINTANG HOLLYWOOD WALK OF FAME

Bacaan Lanjut

PENGEMBARAAN MONTBLANC EXPLORER PLATINUM BAHARU DI MALAM ALPHAMEN 2023

Bacaan Lanjut

MONTBLANC MEMARTABATKAN PUSTAKA

Bacaan Lanjut

MALAM ALPHAMEN 2023 DIRAIKAN PENUH MERIAH

Bacaan Lanjut
siri prime

SIRI PRIME PERTAMA MALAYSIA THAT COVER GIRL DIBINTANGI SITI SALEHA, HISYAM HAMID, ALICIA AMIN & AIMAN HAKIM

Bacaan Lanjut

RENAISSANCE FILEM BY BEYONCÉ DITAYANGKAN DISEMBER INI

Bacaan Lanjut