TEMUBUAL EKSKLUSIF: JUSTIN CHIEN, KARENA LAM, JESSIE MEI LI TENTANG SIRI BAHARU, THE SEASON
Justin Chien, Karena Lam dan Jessie Mei Li bergabung di dalam siri The Season, GLAM Lelaki sempat menemubual mereka bersama Viu Malaysia.
Dunia glamor, kemewahan dan kuasa menjadi latar utama The Season, sebuah siri drama thriller enam episod ciptaan Yalun Tu yang diterbitkan oleh PCCW Media dan SK Global Entertainment. Ditayangkan pada 17 Jun 2026 menerusi Viu di Malaysia, siri ini membawa penonton menyelami sisi gelap golongan elit Hong Kong.
Berlatarbelakangkan musim panas yang dipenuhi parti mewah, percutian di atas kapal layar dan kehidupan serba eksklusif, The Season mengisahkan sekumpulan rakan daripada golongan berada yang berkumpul ketika musim pelayaran bermula. Namun, percutian yang pada awalnya kelihatan sempurna bertukar menjadi permainan penuh tipu daya, perebutan kuasa dan rahsia yang mengubah kehidupan mereka selama-lamanya.
Siri ini diterajui oleh Jessie Mei Li sebagai Coleen “Cola” Pierce, seorang wanita Amerika yang baru tiba di Hong Kong untuk bekerja pada musim panas sambil membawa misi peribadi untuk menuntut keadilan. Turut membintangi siri ini ialah Karena Lam sebagai Fiona Hext, isteri kepada Christopher dan figura berpengaruh dalam kelompok sosial elit Hong Kong yang berusaha mempertahankan keluarga serta legasinya ketika dunianya mula retak. Melengkapkan barisan utama ialah Justin Chien sebagai David Ho, peguam kacak daripada keluarga ternama yang dikenali sebagai “Most Eligible Bachelor” di Hong Kong, namun menyimpan satu rahsia berbahaya di sebalik kehidupan sempurnanya.
GLAM Lelaki berpeluang menemubual Jessie Mei Li, Karena Lam dan Justin Chien untuk berkongsi pengalaman mereka menghidupkan watak masing-masing, kisah di sebalik tabir serta momen-momen paling mencuit hati sepanjang penggambaran The Season. Ketika bersedia untuk menemubual tiga karakter penting dari siri The Season, masalah teknikal seperti mikrofon saya tidak berfungsi berlaku. Tetapi mereka cukup baik, menunggu dan bersedia dengan soalan-soalan yang bakal diajukan.
#1 Apakah perkara pertama yang membuatkan anda tertarik dengan skrip ini dan watak yang anda bawakan?
Jessie Mei Li:
Apabila saya membaca skrip ini, saya benar-benar tertarik kerana saya sendiri tidak tahu banyak tentang dunia Hong Kong yang dipaparkan dalam musim ini. Ia merupakan satu konsep yang baharu, dan saya merasakan diri saya sangat serupa dengan Cola kerana dia juga masih baharu dalam dunia tersebut. Jadi, terasa sangat semula jadi untuk saya menyelami watak ini dan meneroka masyarakat tersembunyi yang menjadi latar cerita.
Karena Lam:
Saya tidak pernah membawakan watak yang mempunyai kuasa, kekayaan dan pengaruh yang begitu besar sehingga seolah-olah tidak dapat disentuh. Itulah yang menjadikan watak ini sangat menarik untuk saya lakonkan.
Justin Chien:
Saya sangat teruja kerana dapat kembali ke kampung halaman saya. Saya pernah tinggal di Hong Kong ketika berusia 12 tahun, jadi pengalaman ini sangat bermakna. Selain itu, antara perkara yang paling menarik perhatian saya ialah jalan cerita romantiknya. Saya memang sukakan kisah cinta, jadi peluang untuk melakonkan elemen tersebut benar-benar membuatkan saya teruja.
#2 Bagaimanakah anda menggambarkan gaya peribadi anda di luar set penggambaran? Adakah watak anda mempunyai cita rasa fesyen yang sama?
Justin Chien: (sambil ketawa)
Saya rasa gaya peribadi saya sangat kasual. Mungkin terlalu kasual.
Jessie Mei Li:
Awak macam “gym bro”.
Justin Chien:
Awak pun sama! Kita sama saja. (bertepuk tangan) Saya rasa David dalam siri ini pun bukan seorang yang bergaya keterlaluan.
Jessie Mei Li:
Saya rasa gayanya lebih kemas dan sofistikated.
Justin Chien:
Kalau saya benar-benar mahu, saya boleh bergaya macam itu. Hari ini contohnya. (ketawa)
Jessie Mei Li:
Gaya saya memang sangat berbeza dengan Cola. Cola banyak memakai pakaian formal dan smart casual, sedangkan saya rasa saya tidak memiliki pakaian seperti itu. Dalam kehidupan sebenar, saya hanya ada dua mood fesyen. Sama ada saya memakai gaun mini yang sangat ringkas atau pakaian lelaki yang longgar. No in between. Saya memang tidak tahu cara menggayakan smart casual.
Karena Lam:
Saya pun sama. Gaya saya sangat bertentangan dengan Fiona.
Jessie Mei Li:
Ya, sebab Fiona sangat menonjol, penuh warna-warni seperti rama-rama, manakala awak pula sangat bergaya dan chic.

#3 Siapakah dalam kalangan barisan pelakon yang mempunyai personaliti paling berbeza di luar kamera berbanding watak mereka di dalam siri ini?
Jessie Mei Li:
Mestilah Toby.
Justin Chien:
Saya rasa sebenarnya kami semua.
Jessie Mei Li & Karena Lam:
Ya, semua orang memang hebat.
Jessie Mei Li:
Tetapi perbezaan antara Toby dan wataknya, Christopher, memang sangat ketara. Mereka benar-benar berbeza dalam setiap aspek.
Justin Chien:
Saya rasa Koki juga begitu. Wataknya dalam siri ini sangat serius, tetapi dalam kehidupan sebenar dia sangat santai dan seronok untuk diajak berbual.
#4 Boleh kongsikan satu momen atau kejadian paling menyeronokkan yang berlaku sepanjang penggambaran, tanpa mendedahkan sebarang spoiler?
Justin Chien:
Banyak perkara menyeronokkan berlaku sepanjang penggambaran.
Karena Lam:
Saya masih ingat ketika kami menjalani penggambaran di Ocean Park. Selepas lima malam berturut-turut menjalani penggambaran, kami makan malam bersama di sebuah meja yang panjang. Ketika itu semua orang sudah terlalu penat hingga hampir hilang kawalan. Saya ada satu babak yang memerlukan saya membuat pengumuman, tetapi saya langsung tak mampu melakukannya. Saya sendiri tak tahu kenapa, saya hanya menjerit sekuat hati sambil memanggil, “Christopher, tolong saya!”

Justin Chien & Jessie Mei Li:
Ya! Betul!
Justin Chien:
Biasanya Karena memang sangat profesional dan sentiasa sempurna. Tapi malam itu kami semua benar-benar kehabisan tenaga. Bila sedar apa yang sedang berlaku, kami terus ketawa beramai-ramai.
Karena Lam:
Itu memang tak pernah berlaku sebelum ini.
Justin Chien:
Ada juga satu babak di kelab malam melibatkan saya, Jessie dan Christopher bersama ramai pelakon tambahan yang semuanya sangat profesional. Kemudian berlaku satu insiden kecil di tengah-tengah penggambaran. Keadaan kembali terkawal selepas itu, tetapi ia tetap menjadi kenangan yang sangat lucu.
Jessie Mei Li:
Ya, babak itu memang sangat sukar untuk dilupakan. Bau ketika itu mungkin antara yang paling teruk pernah saya hidu dalam hidup saya.
Justin Chien:
Babak itu dirakam di sebuah kelab bawah tanah. Penghawa dingin pula tidak dipasang, jadi semua orang berpeluh. Pelakon tambahan sedang menari, kemudian tiba-tiba… (ketawa). Walaupun keadaan agak huru-hara, ia tetap menjadi antara memori paling menyeronokkan sepanjang penggambaran.
#5 Jika diberi peluang untuk bertukar watak dengan mana-mana pelakon lain dalam siri ini, siapakah yang akan anda pilih dan mengapa?
Jessie Mei Li:
Soalan yang bagus… Hmm, mungkin Jon? (ketawa) Jon Kim ialah watak kegemaran saya. Saya sangat sukakan wataknya. Cuma dia banyak berdiri di belakang dalam banyak babak, jadi saya rasa saya akan cepat bosan. Lagipun saya tidak mempunyai aura yang sama seperti dia… dan sudah tentu saya juga tak mempunyai lengan berotot sepertinya. (ketawa)
Justin Chien:
Saya rasa saya mahu bertukar watak dengan Toby kerana dia dapat membawa watak yang sangat serius. (meniru suara Toby) “Ramai orang tidak tahu apa yang diperlukan untuk menjadikan komuniti ini dapat diakses oleh dunia.”
Karena Lam:
Saya pula mahu menjadi watak Andrew Fung. Dia sangat lantang bersuara, sentiasa menunjukkan dirinya yang sebenar dan sangat mudah disenangi.

Di pengakhiran temubual, saya berterima kasih kepada ketiga-tiga pelakon siri ini dan berjanji, akan menonton siri The Season kali ini. “Mestilah! Jangan lupa tonton!”, sahutan dari ketiga-tiga mereka.
Pautan berkaitan: “ATMOSFERA MALAM MENJADI KONSEP UTAMA NEW MOON,”TABBER. TEMUBUAL EKSKLUSIF TABBER BERSAMA GLAM LELAKI.
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
10 RANCANGAN ‘MUST WATCH’ SEPANJANG MAC 2023
Dari musim kedua “Melur Untuk Firdaus” kepada siri Star Wars popular “The Mandalorian”, laman penstriman utama membariskan 10 rancangan baharu yang ‘must watch’ sepanjang Mac 2023.
NENEK BONGKOK TIGA MENAMPILKAN HUN HAQEEM, MEERQEEN DAN RAMAI LAGI
Kisah fantasi seram, “Nenek Bongkok Tiga” yang menampilkan Hun Haqeem, Meerqeen dan ramai lagi akan ditayangkan melalui laman penstriman, Viu.
“DIA SUKA MEMENDAMKAN MASALAH DIRINYA, SAMA SEPERTI SAYA.” – FATTAH AMIN
Fattah Amin membintangi siri baharu berjudul GANJIL bersama Diana Danielle dan Izzue Islam yang bakal ditayangkan melalui laman penstirman, Viu bermula 30 September 2021.








