TONTON 5 FILEM YANG TERCALON KATEGORI FILEM TERBAIK DI FFM35
Buat yang ingin mengisi masa menonton filem tempatan, tontonlah 5 filem yang tercalon dalam kategori Filem Terbaik FFM35 ini.
Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) kembali meraikan kehebatan industri perfileman tempatan. Mereka menghimpunkan karya-karya yang mencuri perhatian menerusi penceritaan, pengarahan dan persembahan barisan pelakonnya. Antara kategori yang menjadi tumpuan pastinya Filem Terbaik, yang memperlihatkan kepelbagaian karya anak seni Malaysia dalam mengetengahkan kisah serta perspektif berbeza.
Bagi yang ingin mengikuti perkembangan FFM35, berikut merupakan lima filem yang tercalon dalam kategori Filem Terbaik dan wajar dimasukkan dalam senarai tontonan.
#1 Macai
Sinopsis: Berlatarbelakangkan Lingapura, sebuah negara fiksyen berhampiran Singapura. Macai mengisahkan Siam, seorang pengedar dadah yang berdepan masalah besar selepas kehilangan bekalan dadah milik ketua sindiket yang kejam. Demi melangsaikan hutang dan menyelamatkan diri daripada ancaman, Siam memulakan perjalanan berbahaya bersama sahabat setianya serta seorang individu misteri. Namun, perjalanan tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri apabila keadaan semakin tidak terkawal, sekali gus mengheret Siam ke dalam kegelapan yang menguji kewarasan dirinya.
Barisan pelakon: Karnan Kanapathy, Kuben Mahadevan, Irfan Zaini, Fabian Loo, Susan Lankester dan Subhashini Asokan.

#2 Khadam
Sinopsis: Mengangkat elemen seram dan kepercayaan mistik, Khadam mengikuti kehidupan Melor. Melor merupakan seorang wanita bisu yang tinggal di sebuah perkampungan terpencil bersama ibunya yang sakit serta dua orang anaknya, Puteh dan Hitam. Kehidupan mereka mula berubah selepas ibunya meninggal dunia dalam keadaan mengerikan. Ia dipercayai berkait dengan makhluk halus bernama Khadam yang dipelihara sejak turun-temurun.
Makhluk tersebut dikatakan mampu memberikan perlindungan, menyembuhkan penyakit dan membawa kemewahan kepada tuannya. Namun, di sebalik segala kelebihan itu, tersimpan ancaman yang mengerikan. Melor akhirnya terpaksa berhadapan dengan akibat daripada amalan warisan keluarganya sendiri.
Barisan pelakon: Aghniny Haque, Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaf, Karl’el dan June Lojong.

#3 Mother Bhumi
Sinopsis: Berlatarbelakangkan Malaysia pada penghujung 1990-an, Mother Bhumi mengisahkan Hong Im. Dia merupakan seorang balu yang bekerja sebagai petani dan pengamal ritual tradisional di sebuah perkampungan sawah padi berbilang kaum. Pada siang hari, dia berjuang mempertahankan tanah penduduk kampung daripada ancaman pengambilan tanah. Manakala, pada waktu malam dia membantu merawat penyakit dan mengusir gangguan mistik.
Ketika konflik tanah semakin meruncing, kejadian aneh mula menyelubungi kampung tersebut. Misteri kehilangan seekor kerbau, kemunculan roh serta rahsia silam yang berkait dengan sejarah penjajahan perlahan-lahan terbongkar. Dalam keadaan keluarganya sendiri berdepan pelbagai cabaran, Hong Im perlu mencari kekuatan untuk melindungi anak-anaknya daripada ancaman yang semakin menghampiri.
Barisan pelakon: Fan Bingbing, Natalie Hsu, Bai Run-yin dan Pearlly Chua.

#4 Malam Terlarang
Sinopsis: Mawar, seorang gadis berusia 18 tahun yang menyimpan impian untuk menjadi wartawan, terpaksa mengetepikan cita-citanya demi menjaga ibunya, Sarimah. Dengan bantuan abang tirinya, Safar, Mawar cuba meneruskan kehidupan seperti biasa sehinggalah satu kematian mengejut dalam keluarga mereka mencetuskan gangguan misteri.
Ketika bapanya, Omar, sibuk dengan kempen politik untuk menjatuhkan ketua parti, Mawar mula menyiasat rahsia di sebalik tragedi yang berlaku. Namun, semakin jauh dia mencari jawapan, semakin banyak kejadian paranormal yang menakutkan menghantuinya. Akhirnya, Mawar dan bapanya perlu berdepan dengan musuh sebenar demi membebaskan keluarga mereka daripada kuasa gelap yang mengancam kehidupan mereka.
Barisan pelakon: Zul Ariffin, Shasha Abedul, Sofia Jane, Sabri Yunus dan Amir Nafis.

#5 Abah Saya Uncle Mike
Sinopsis: Diinspirasikan daripada kisah benar, Abah Saya Uncle Mike mengangkat kisah Michael Tong Wai Siong, seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga orang anak yatim Melayu seperti anak kandungnya sendiri. Walaupun berbeza bangsa dan latar belakang agama, Uncle Mike tetap memastikan anak-anak angkatnya dibesarkan dengan penuh kasih sayang sambil menghormati dan memelihara pegangan agama Islam mereka.
Kisah ini turut mengikuti perjalanan Rafie, Rasyid dan Rahman dalam membina kehidupan bersama insan yang sanggup membuka pintu rumah serta hatinya untuk mereka. Menerusi pengorbanan, kasih sayang dan penerimaan, filem ini mengetengahkan makna sebenar sebuah keluarga yang melangkaui perbezaan kaum dan agama.
Barisan pelakon: Andy Teh, Idan Aedan, Merah Muhaimin, Umar Shakur, April Chan, Pauline Tan, Mandy Chong dan Chew Kin Wah.

Pautan berkaitan: KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL BAKAL CETUS KEMUNCAK DI PAWAGAM 29 OKTOBER INI
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
GLAM LELAKI SENARAIKAN PEMENANG FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-34
Majlis Anugerah Festival Filem Malaysia ke-34 menyaksikan pelbagai karya tempatan berentap sebagai karya terbaik di Malaysia.






