Pemangsa Nan Perkasa
Tahun Harimau lambang keberanian. Tiba saatnya buat serumpun tukang arloji Swiss menginterpretasikan haiwan pemangsa ini menerusi karya nan tersendiri.
Harimau atau Panthera tigris; juga dipanggil pak belang adalah spesies kucing terbesar di kalangan empat jenis ‘kucing besar’ dalam genus Panthera. Mencecah 10 kaki panjang dari hidung ke hujung ekor, beratnya pula bisa mencapai 300 kilogram. Selain kebesaran dan kegagahannya, ciri-ciri terpenting yang dimiliki harimau ialah corak belang menegak berwarna hitam yang melapisi bulunya yang berwarna keputihan atau merah kejinggaan.
Franck Muller, Vanguard Gravity Tiger
Franck Muller mengabungkam seni pembuatan arloji yang tertinggi bersama keindahan penetapan permata serta ketukangan ukiran dan lukisan miniatur buat Vanguard Gravity Tiger. Hadir dalam tiga versi berdiameter 49.5mm x 41mm, ia bertindak sebagai kanvas buat harimau yang tampil menerkam kerangka komplikasi tourbillon pada laman dail.
Kebesaran casing yang lebih besar dalam melindungi pergerakan MVT FM L03, dilengkapi dengan jaminan rizab kuasa sehingga lima hari. Setiap versi yang dipersembahkan adalah terhad kepada tiga unit dan boleh didapati secara eksklusif di butik serta peruncit rasmi Franck Muller.
2/8
Tag Heuer, Carrera Tiger
Meraikan Tahun Harimau, TAG Heuer Carrera Tiger Edisi Terhad 41mm ini menterjemahkan rekaan yang berani dalam nada klasik nan bergaya. Diperbuat daripada keluli, laman dail rona biru gelap dihiasi corak belang harimau yang diharmonikan dengan jarum dan paparan indeks bersalut emas merah 18K 5N.
Pada bahagian belakangnya pula dikonstruksi secara terbuka mendedahkan komponen dalaman selain memaparkan ilustrasi hariman berwarna biru berbelang hitam; serta ukiran Edisi Terhad dan nombor siri dari 300 utas.
3/8
Hublot, Spirit of Big Bang Carbon Gold Tiger
Hublot tidak melepaskan peluang bagi menterjemahkan Edisi Eksklusif Tahun Harimaunya yang tampil terhad untuk 200 unit. Sekali gus, mengadunkan Frosted Carbon dan emas kuning 18 karat buat pertama kalinya. Spirit of Big Bang Carbon Gold Tiger berbentuk barel atau tong ini hadir dalam saiz 42mm.
4/8
Dior, Grand Soir Tiger
Dior mempersembahkan arloji ilham jauhari Grand Soir Tiger, terhad kepada 88 utas. Menampilkan kerangka wajah harimau dari emas yang berlatarbelakangkan perincian bulu burung rona putih. Kemudian, dihiasi berlian potongan marquise dan trilion buat mata dan hidungnya. Jam tangan yang tampil ultra feminin ini didatangkan dengan pilihan tali dari taffeta sutera kuning air atau tali satin hitam.
5/8
Piaget, Altiplano Chinese New Year Tiger
Tahun ini, Piaget bekerjasama dengan Anita Porchet, seorang pakar dalam kemasan dail enamel. Terhad kepada 38 utas di seluruh dunia, sang master enameller ini mengolahkan harimau dengan teknik Cloisonné. Yakni seni dekoratif berusia 4.000 tahun.
Arloji ini hadir diperbuat dari emas putih 18 karat berdiameter 38 MM lalu dihiasi 78 butir berlian potongan brilliant. Piaget Altiplano Year of the Tiger ini dikuasakan oleh kaliber manual 430p yang tertipis ciptaan Piaget.
6/8
Chopard, L.U.C XP Urushi Year of the Tiger
Kini dalam tahun kesembilannya, arloji metiers D’art L.U.C XP kreasi Chopard menyatukan seni lakuer Urushi dan dekorasi Maki-e Jepun. Sekali lagi, ia tampil dalam casing 39.5mm yang diperbuat daripada emas merah beretika 18 karat dan hadir terhad 88 unit. Laman dailnya kali ini dihiasi dengan harimau yang sedang mengaum berlandskapkan gunung dan bintang di langit biru.
Sinar kilauan lapisan kemasannya yang terbias jelas adalah lakuer yang diperbuat daripada getah; yang ditoreh daripada pokok Urushi. Getah itu kemudiannya ditapis menerusi lapisan kertas khas untuk memperolehi kelutcahayaan, dicampur dengan pigmen, dan dibiarkan mengeras selama beberapa bulan.
7/8
Ulysse Nardin, The Classico Tiger
Diproduksikan dalam siri edisi terhad sebanyak 88 utas, Classico ‘Tiger’ tampil menjunjung teknik hiasan enamel kuno champlevé dan paillonné. Di mana, ia menggunakan kepingan daun emas atau perak bagi memberikan kesan metalik yang berkilauan. Daun emas ini dilapisi dengan teliti pada enamel lut sinar untuk mencipta ilustrasi pak belang yang bersedia untuk menerkam, menentangi langit malam.
8/8
Jaeger-Lecoultre, Reverso Tribute Enamel Tiger
Dicipta bertepatan dengan Tahun Baru Cina juga pembukaan butik perdana terbarunya di Shanghai, Reverso Tribute Enamel Tiger diperkemas dari emas merah lalu menyembunyikan ilustrasi harimau pada pemuka dail keduanya.
Kelibatnya seolah-olah melompat keluar dari laman dial enamel grand feu serba hitam. Perincian lapisan bulu harimau yang digilap mencipta ilusi pergerakan dan kuasa. Arloji berdimensi: 45.5mm X 27.4mm X 9.73mm ini hanya diproduksi setelah ditempah.
Pautan berkaitan: KEBANGKITAN LEGENDA KLASIK CASABLANCA
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Menelusuri Batasan Belantara Mahupun Lautan
Memperkasakan posisinya sebagai Master of Materials, Captain Cook High-Tech Ceramic Diver terbaru adalah refleksi ketukangan DNA Rado yang kekal teguh dengan paradigma tersendiri.
TAG Heuer Connected Calibre E4: Prestasi Lebih Perkasa, Kini Tersedia Dalam Dua Saiz
TAG Heuer tampil membentangkan generasi keempat barisan Connected Calibre E4. Jam tangan pintarnya yang dikonstruksi untuk menjulang prestasi sukan yang terbaik berbalas susuk rekaan nan sofistikated.
OMEGA DE VILLE TRÉSOR SMALL SECONDS SUDAH TIBA DI BUTIK
Bersempena menyambut kedatangannya, OMEGA melaksanakan kempen terbaru buat barisan Trésor yang prominen langsung menampilkan ambasadornya; Hyun Bin.
Satu Butik, Pampangan Semesta Rolex
Mengambil lokasi di The Starhill, Cortina Watch membuka semula gerbang butik Rolex lantas menjadikannya butik pertama dengan konstruksi fasad menentangi hamparan peruncitan mewah paling ikonik ibu kota.
Jam Tangan Pintar Mewah Terhangat!
Menggabungkan kreativiti, inovasi dan savoir-faire; ketiga-tiga jam tangan pintar mewah baharu ini tampil memanfaatkan teknologi. Sekali gus, melengkapi keperluan pemuja lapangan arloji dan fesyen serta para tech-savvy dengan penuh gaya.
KEBANGKITAN LEGENDA KLASIK CASABLANCA
Memasuki dasawarsa ketiga, Franck Muller terus maju mengolahkan kisah suksesnya sebagai salah satu rumah arloji independent yang tersohor dengan Casablanca.