Skip to content

RENDANG AYAM CRISPY? MULUT HOS, CHEF MAT SALIH ITU PATUT DITONYOH CABAI GILING!

Kongsikan artikel ini

Cuma seorang lelaki Inggeris bermulut celupar diperlukan untuk buat satu negara marah. Dan percaya atau tidak, semuanya gara-gara komen mengenai juadah rendang ayam yang tak cukup rangup! Secara tepatnya, rendang ayam Zaleha Kadir Olpin.

Rasa teruja menyelinap saat diberitakan seorang anak Pahang bakal memberi saingan dalam musim terbaru MasterChef UK. Sungguh kecil molek saja orangnya, bekas akauntan yang tampil berhijab itu menyerlah di dapur. Orang Malaysia, terutamanya, ikut berbangga apabila Zaleha, 48, yang kini mengusahakan Malaysian Kitchen Supper Club di Bristol, pada pusingan suku akhir program itu, memilih untuk menyediakan juadah yang dekat di hatinya – Nasi Lemak bersama Rendang Ayam.

Photo credit: SAYS.com

Berbeza kecaman kala Samantha Katie James, 22, menggayakan gaun berinspirasi nasi lemak bersama dua helai daun pisang ala sayap rekaan Brian Khoo ke pertandingan Miss Universe 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat, akhir November tahun lalu, ibu beranak dua ini buat orang teruja kerana memartabat juadah Malaysia di platform antarabangsa. “Dulu-dulu, saya simpan duit poket mahu beli nasi lemak pada Jumaat,” kata Zaleha kepada juri, Chef Selebriti John Torode ketika menyediakan juadah itu dalam satu episod yang bersiaran di BBC1, baru-baru ini. “Dan ada satu gerai istimewa, di luar sekolah kami yang menjual nasi lemaknya pada harga 20 sen, ia sangat istimewa.”

Juadah tradisional itu disempurnakan Zaleha sebagaimana resipi keluarga yang diperturunkan ibunya, siap dengan sambal udangnya, telur dadar, ikan bilis dan kacang tanah goreng, juga timun bagi mengiringi rendang ayam.

“Saya suka rasa rendangnya, ada kemanisan santan di situ,” kata Gregg Wallace, hos bersama MasterChef UK yang memasuki musim ke-14 itu yang pada episod sebelumnya terpesona dengan air tangan Zaleha yang menyajikan, antaranya Nasi Tomato bersama Ayam Masak Gulai Pahang.

Dan serahkan kepada lelaki Inggeris itu untuk menyerlahkan kebodohannya apabila menyambung: “Begitu pun, kulit ayam (rendang) tidak rangup. Ia tidak boleh dimakan dan semua kuahnya berada di kulit, saya tak boleh makan.”

Torode lebih dulu menekankan juadah klasik nasi lemak bukan saja tidak boleh menggunakan terlalu banyak santan, malah sambalnya mestilah betul-betul pedas dan ayam yang “benar, benar lembut dan terlerai.”

Rendang ayam Zaleha, bagi juri kelahiran Australia itu yang telah bersama francais MasterChef sejak 2005 itu, sebaliknya adalah satu kesilapan.

Wallace, Torode… apa yang telah anda lakukan?

“Budaya kita, dia (juri) tak hormat,” kata Siti Zaleha Mohammad Nor, pengusaha Nasi Lemak Mami di Lebuh Jelutong, Southern Park, Klang dan rendang ayam, resipi daripada arwah ibunya yang merupakan dayang di Istana Bandar di Kelanang, berkhidmat untuk Alhmarhum Ayahanda Sultan Selangor, antara lauk pilihan yang disajinya sejak 28 tahun lalu.

“Satu episod memasak rendang tidak menjadikan dia pakar,” katanya, merujuk Torode yang pernah menghoskan program TV, Malaysian Adventure pada 2015. “Kita ada banyak jenis rendang, antaranya rendang Nyonya dan Minang. Jika ada 10 orang memasak rendang, akan ada 10 rasa berbeza. Dia mungkin baru rasa satu.”

Isu ini bikin rakyat Malaysia sepakat membidas kebiadapan juri yang dianggap bersekongkol memperlekeh juadah tradisional yang jelas, bukan milik mereka. Juga marah, bukan saja kerana penyingkiran Zaleha dilihat dibuat atas sebab tidak munasabah, malah dua juri berkulit putih itu melampaui batas lewat kritikan yang dilihat lebih sebagai satu penghinaan kepada juadah ikonik ini.

Chef Norman Musa yang berpangkalan di United Kingdom, di FB Live tadi mengakui kecewa dengan dua juri MasterChef UK itu, terutama Torode yang pernah diajar memasak rendang ketika menjadi tetamu undangan Malaysian Adventure yang “dibayar kerajaan Malaysia” itu.

“Ia satu penghinaan,” kata Chef Norman kemudiannya kepada BBC – Radio 5 mengenai amukan rakyat Malaysia. Respons sebegitu, jelasnya adalah suatu yang perlu difahami kerana ia adalah juadah tradisional kegemaran,  di mana “kita membesar dengan makan rendang” dengan penggemarnya meliputi sehingga ke Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Setidak-tidaknya John patut membetulkan kenyataan Gregg,” katanya, seraya menambah disebabkan teknik memasak rendang yang agak sama dengan kari, menurut akal yang waras, “tidak mungkin (rendang ayam) mendapat tekstur yang rangup.”

Bukan lagi hal nasi lemak dan rendang ayam, cerita kini berubah jadi soal maruah dan patriostisme.

Torode, sebaliknya  lewat @JohnTorode1, angkuh membidas netizen. Dalam kicauan respons kepada  @ShannonChowz mengenai “juadah klasik Malaysia” itu tidak patut disediakan berbeza hanya untuk memenuhi kehendak juri, dia berkata: “Terima kasih di atas maklumat anda… sudah tentu kita boleh pertikaikan mengenai asal usulnya dan sama ada ayam itu klasik atau diadaptasi.”

Seolah sengaja mencurah minyak ke api, di dalam kicauan berikutnya, dia membakar sentimen apabila berkata: “Mungkin Rendang ialah Indonesia!! Suka sangat!! Hebat bagaimana semua jadi teruja.. Namaste.”

Chef Selebriti, Profesor Datuk Chef Wan, di dalam satu kenyataannya yang dipetik New Straits Times, menempelak, “Apa yang dia merepek ni? Ini bukan itik ala orange atau confit d canard sepertimana orang Perancis memasak itik mereka!

“Rendang ayam, pada asasnya adalah stu yang dimasak bersama rempah ratus Asia bersama santan. Dan nak kulit ayam yang rangup? Resepi ini bukan digril atau digoreng. Ia sama seperti anda memberitahu seorang chef Perancis kenapa Coq Au Vin, ayamnya dimasak di dalam wain merah, tidak rangup kulitnya. Sah, dia tidak tahu apa yang dia cakap.

“Kita masak rendang cara Malaysialah!”

Membidas komen Torode yang mahukan “daging ayam terlerai”, kata Chef Wan: “Itu rendang ayam dah terlebih masak! Pergi faham dulu macam mana nak masak rendang tradisional dan beritahu dia, saya cabar dia dan tengok kalau dia boleh buat kulit ayam jadi rangup.”

Rendang Melayu yang sempurna, jelas Siti Zaleha, “secara tradisinya menggunakan cili kering digiling” dan bewarna merah kehitaman ekoran penggunaan kerisik, berbeza dengan penyediaan di Negeri Sembilan, misalnya yang melebihkan penggunaan kunyit dan cili padi.

Kunci nasi lemak yang enak pula, menurutnya, terletak pada sambalnya.

“Sambal mesti ada rasa pedas manis. Sambal nasi lemak tidak boleh pedas sangat, nanti jadi sambal goreng pula,” katanya, sekali lagi mempertikaikan pengetahuan Torode. “Elok ditonyoh cabai giling, baru dia tahu,” selorohnya.

Seperkara yang jelas, isu ini meleraikan kita seketika daripada hal percakaran politik yang merimaskan.

Hal yang mungkin dilihat remeh membawa kita melangkaui sempadan warna kulit, ideologi, agama dan apa jua logo atau bendera yang dimomokkan sang politikus. Sebilangan besar kita, jelas menyanjungi negara ini kerana jika tidak, mana mungkin hal nasi lemak dan rendang pun boleh buat kita sentap!

Dan barangkali juga, dalam keadaan sekarang mungkin kita memerlukan mat salih mulut celupar untuk menyedarkan kita akan ibrahnya, bagaimana perkara-perkara kecil tapi bermakna kembali mengingatkan mengapa kita perlu bangkit, tidak harus membiarkan maruah dan jati diri diperlekehkan.

Oh, Torode! Namaste, kata anda? Jelas, kedangkalan itu nampaknya tidak akan berkesudahan.

Sumber: Jelita (Penulis: Zurina Waji)

 

 

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

GLAM LELAKI CHEF TABLE: PENGALAMAN KULINARI EKSKLUSIF YANG PERTAMA

Bacaan Lanjut

KAK ZAI & ‘BODY SHAMING’, ANTARA KELANTANGAN DAN KEBENARAN YANG MENYAKITKAN

Bacaan Lanjut

NEELOFA, ZOUK & HIJAB. DI MANA SILAPNYA?

Bacaan Lanjut