Skip to content

5 PERKAHWINAN KERABAT DIRAJA YANG BERTAHAN LEBIH 50 TAHUN

5 PERKAHWINAN KERABAT DIRAJA YANG BERTAHAN LEBIH 50 TAHUN

Kongsikan artikel ini

Setiap pasangan suami isteri mengimpikan perkahwinan yang berkekalan hingga akhir hayat, termasuk kerabat Diraja.

Dari Asia ke Barat, jarang kita mendengar pasangan Diraja bercerai-berai. Sudah tentu setiap perkahwinan ada turun naiknya. Namun kebanyakan mereka laluinya dengan penuh kesabaran dan kematangan, sekali gus berjaya mempertahan rumah tangga sehingga hari tua dan hujung nyawa.

Ini perkahwinan kerabat Diraja dari seluruh dunia yang paling lama bertahan dalam sejarah.

 

5. Raja Constantine II & Permaisuri Anne-Marie – 57 Tahun

Foto: Getty Images

Pasangan ini merupakan pemerintah terakhir Greece sebelum monarki dimansuhkan pada tahun 1973. Mereka bertemu pada 1959 ketika Raja Constantine berusia 19 tahun manakala Permaisuri Anne-Marie 13 tahun. Persahabatan berkembang menjadi percintaan beberapa tahun kemudian.

Disebabkan terlalu muda, pertunangan mereka dirahsiakan selama beberapa bulan dan hanya diumumkan kepada dunia pada Januari 1963. Sebaik sahaja Permaisuri Anne-Marie menyambut ulang tahun kelahiran ke-18, mereka disatukan sebagai suami isteri.

Pasangan itu memiliki lima cahaya mata iaitu Puteri Alexia, 56; Putera Mahkota Pavlos, 54; Putera Nikolaos, 52; Puteri Theodora, 38; dan Putera Philippos, 35. Raja Constantine II mangkat pada Januari 2023.

 

4. Sultan Hassanal Bolkiah & Raja Isteri Pengiran Anak Saleha – 58 Tahun

Foto: Monarki Diraja

Perkenalan Sultan Brunei dan isteri bermula sejak kecil kerana mereka adalah sepupu. Bapa Raja Isteri Saleha, Pengiran Anak Muda Muhammad Alam merupakan adik-beradik kandung ibu Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Almarhum Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Damit.

Pasangan ini disatukan sebagai suami isteri di Istana Darul Hana pada Julai 1965 dan dikurniakan enam cahaya mata. Putera sulung, Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah merupakan pewaris takhta kerajaan.

Sultan Brunei mempunyai enam lagi putera dan puteri hasil perkahwinan dengan bekas isteri, Hajah Mariam Abdul Aziz dan Azrinaz Mazhar Hakim.

 

3. Putera Edward & Katharine Worsley – 60 Tahun

Foto: Getty Images

Sepupu Ratu Elizabeth II ini bertemu isterinya, kini Duchess of Kent, semasa berkhidmat di pangkalan tentera Inggeris. Pasangan itu mengikat tali perkahwinan pada Jun 1961.

Mereka dikurniakan tiga anak iaitu George Windsor, Earl of St. Andrews, 59; Lady Helen Taylor, 57; dan Lord Nicholas Windsor, 51. Berusia 90 tahun, Katharine kini merupakan kerabat Diraja Britain paling tua.

 

2. Maharaja Akihito & Maharani Michiko – 62 Tahun

Foto: Getty Images

Pada 1957, Akihito yang ketika itu bergelar Putera Mahkota bertemu bakal isterinya sewaktu perlawanan tenis. Siswazah kesusasteraan dari kalangan rakyat biasa, Michiko Shoda, kemudiannya dikenali di seluruh negara sebagai kekasih hati bakal Maharaja Jepun.

Mereka disatukan sebagai suami isteri pada April 1959 disaksikan sekitar 15 juta penonton di kaca televisyen menerusi siaran langsung. Perkahwinan mereka iaitu antara kerabat Diraja dan rakyat biasa melanggar tradisi 2000 tahun, bagaimanapun ia tidak mendapat halangan.

Pasangan itu dikurnia tiga cahaya mata. Putera sulung mereka, Maharaja Naruhito mengambil alih kuasa setelah Maharaja Akihito turun takhta secara sukarela pada 2019.

 

1. Ratu Elizabeth II & Putera Philip – 73 Tahun

Foto: Getty Images

Pasangan ini mencipta rekod sebagai kerabat Diraja paling lama berkahwin dalam sejarah dunia. Mereka berkenalan di sebuah majlis perkahwinan ketika Ratu Elizabeth II berusia lapan tahun, Putera Philip pula 13 tahun. Namun cinta hanya terjalin pada pertemuan kedua beberapa tahun kemudian.

Kedua-duanya bertunang pada 1947 dan bergelar suami isteri selepas setahun. Mereka menempuhi pelbagai krisis dan tragedi bersama termasuk Perang Dunia Kedua, kemangkatan Puteri Diana dan pandemik Covid-19.

Merupakan consort Britain paling lama berkhidmat dalam sejarah, Putera Philip mangkat di Istana Windsor pada April 2021 ketika berusia 99 tahun. Ratu Elizabeth mengikut jejak langkah suaminya setahun kemudian.

 

Foto: Getty Images/Berita Harian Singapura

Pautan berkaitan: 10 PASANGAN DIRAJA & KISAH PERTEMUAN PERTAMA MEREKA

By Siti Syahidah
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 PUTERI JELITA YANG BAKAL MEWARISI TAKHTA DI EROPAH

5 PUTERI JELITA YANG BAKAL MEWARISI TAKHTA DI EROPAH

Bacaan Lanjut
14 KERABAT DIRAJA YANG PERNAH BERTANDING DI SUKAN OLIMPIK

14 KERABAT DIRAJA YANG PERNAH BERTANDING DI SUKAN OLIMPIK

Bacaan Lanjut
10 LARANGAN YANG MESTI DIPATUHI KERABAT DIRAJA BRITAIN

10 LARANGAN YANG MESTI DIPATUHI KERABAT DIRAJA BRITAIN

Bacaan Lanjut
SULTAN IBRAHIM ANGKAT SUMPAH SEBAGAI AGONG KE-XVII

SULTAN IBRAHIM ANGKAT SUMPAH SEBAGAI YANG DI-PERTUAN AGONG KE-XVII

Bacaan Lanjut
KENALI GADIS KACUKAN YANG BAKAL BERGELAR ISTERI PUTERA MATEEN, ANISHA ROSNAH

KENALI GADIS KACUKAN YANG BAKAL BERGELAR ISTERI PUTERA MATEEN, ANISHA ROSNAH

Bacaan Lanjut

KENALI TENGKU MUHAMMAD, PUTERA DIRAJA PAHANG YANG MENCURI PERHATIAN RAKYAT SEMASA KEMBARA BORNEO

Bacaan Lanjut