Skip to content

ALASAN MENGAPA OWEN WILSON MENOLAK TAWARAN FILEM RM57 JUTA

ALASAN MENGAPA OWEN WILSON MENOLAK TAWARAN FILEM RM57 JUTA

Kongsikan artikel ini

Owen Wilson khabarnya menolak untuk membintangi sebuah filem tentang bekas bintang NFL, OJ Simpson berjudul The Juice yang menawarkan bayaran lebih RM57 juta.

Nama OJ menjadi terkenal di seluruh dunia setelah terbabit dalam kes pembunuhan bekas isterinya, aktres Nicole Brown Simpson dan pelayan restoran, Ron Goldman pada 1994. Bagaimanapun dia disabit tidak bersalah ketika dibicarakan.

Memaparkan genre ngeri satira, filem kisah benar ini memberi fokus pada kehidupan peguam Douglas McCann yang mewakili OJ dan menang dalam kes sivil itu pada 2000. Owen ditawarkan untuk menggalas watak ini. The Juice akan menampilkan Charlotte Kirk sebagai Nicole dan Boris Kodjoe sebagai OJ.

Owen Wilson

Foto: The Independent

Pengarah Joshua Newton memaklumkan dia dan Owen telah pun berbincang mengenai watak Douglas. Namun kini peranan itu telah pun diberikan kepada pelakon lain.

“Owen Wilson sempurna untuk watak itu. Saya sebenarnya telah pun bertemunya di Santa Monica. Semua orang menyukai skrip filem itu. Agen Owen mahu dia menjayakan watak itu, dan kami tawarkan bayaran RM57 juta. Tapi pada penghujung pertemuan kami, Owen bangun dan berkata, ‘Anda fikir saya akan mengambil tawaran watak utama dalam filem yang menunjukkan OJ tidak bersalah? Anda pasti bergurau!’”

Owen Wilson Enggan Terlibat Dengan Filem Kontroversi

Nama OJ Simpson kembali hangat diperkatakan setelah dia menemui ajal pada usia 76 tahun akibat kanser dua minggu lalu. Pada 1995, dunia gempar apabila dia dibebaskan dalam kes pembunuhan Nicole dan Ron walaupun terdapat bukti kukuh.

Dua tahun kemudian, juri mahkamah sivil mendapati OJ bertanggungjawab menyebabkan kematian kedua-duanya. Justeru dia diperintahkan untuk membayar ganti rugi RM160 juta kepada keluarga mangsa yang sehingga kini masih belum dilunaskan.

O.J. Simpson owen wilson

Foto: OCRegister

Pada 2020, Hollywood Reporter melaporkan bahawa 90% babak filem The Juice (sebelum ini diberi tajuk ‘Nicole & OJ’) yang melibatkan Charlotte dan Boris The Juice telah pun dirakam di Bulgaria pada 2018. Pengarah Joshua berkata dia berharap agar penggambaran filem ini siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024.

 

Foto: Getty Images

Pautan berkaitan: PENAMPILAN PERTAMA TIMOTHEE CHALAMET UNTUK FILEM BIOPIK BOB DYLAN