GL ‘5 UNDER 25’: BELLA DOWANNA, MENCARI RENTAK SENDIRI.
GLAM Lelaki menampilkan pelakon dan pengacara, Bella Dowanna sebagai personaliti cover bulan April 2026. Kami sempat menemu bual Bella tentang cabaran diri juga kerja dan perkara lain yang menyentuh aspek peribadi.
Bagaimana anda mula mengenali potensi diri sendiri, dan apakah momen yang paling membuka mata tentang siapa diri anda sebenarnya?
Apabila bercakap tentang potensi diri, bagi saya ia datang daripada gabungan kebolehan dan keyakinan terhadap diri sendiri. Saya percaya saya lebih mengenali diri saya dengan cara yang mungkin berbeza daripada orang lain. Momen yang benar-benar membuka mata saya agak peribadi. Saya sedar bahawa bidang atau laluan kerjaya yang saya pilih ini bukan sekadar tentang diri saya, tetapi juga melibatkan rezeki orang lain di sekeliling saya. Dalam rezeki saya, ada rezeki mereka juga. Kesedaran itu membuatkan saya lebih yakin untuk teruskan, ditambah dengan potensi diri yang saya rasa unik dan jarang dimiliki oleh orang lain.
Dalam proses ‘explore yourself’, apakah cabaran terbesar yang pernah anda hadapi, dan bagaimana anda mengatasinya?
Proses mengenali diri sendiri masih belum terhenti. Dan saya rasa ia akan berterusan sehingga saya benar-benar puas walaupun saya sendiri tidak pasti sampai bila. Saya juga masih belum sepenuhnya pasti dengan laluan yang saya pilih, tetapi saya menikmati setiap proses yang saya lalui. Alhamdulillah, setakat ini saya belum berdepan cabaran yang terlalu besar, selain daripada persaingan sihat dengan pelakon dan pempengaruh yang semakin ramai muncul.

Jika anda boleh gambarkan diri anda dalam tiga perkataan, apakah ia? Dan bagaimana ia berubah sejak anda mula perjalanan ini?
Motivated, healthier, happier. Tiga perkara ini mengambil masa untuk saya fahami dan capai. Untuk kekal bermotivasi dalam apa yang saya lakukan bukanlah mudah; saya sangat memerlukan sistem sokongan yang kuat daripada orang sekeliling. Dari segi kesihatan pula, saya menitikberatkan keseimbangan fizikal dan mental. Perjalanan mencapai body goals juga bukan sesuatu yang singkat. Saya lebih selesa melakukan sesuatu tanpa tekanan, mengikut rentak dan flow saya sendiri supaya akhirnya saya puas dengan hasilnya. Prinsip saya jelas. Saya tidak hidup untuk memenuhi jangkaan orang lain. Dari segi pemakanan, saya semakin menghargai makanan yang sihat dan memberi manfaat jangka panjang.
Dari sudut kebahagiaan pula, saya lebih memilih kualiti berbanding kuantiti. Apabila saya gembira dengan pilihan saya, sama ada dalam kerja atau naskhah, saya percaya ia akan memberi impak yang lebih baik. Saya juga percaya bahawa keikhlasan adalah asas kepada segala-galanya bermula dengan niat yang betul dan hati yang bersih.
Sejauh mana pentingnya kegagalan dalam membantu anda memahami diri sendiri dengan lebih mendalam?
Bagi saya, kegagalan adalah sesuatu yang mematangkan. Ia mengubah cara saya berfikir, berinteraksi, dan menyesuaikan diri dengan situasi baharu. Pengalaman baik atau buruk memberi banyak pelajaran yang tidak ternilai. Kegagalan juga menjadi sumber motivasi untuk saya terus mencuba dan memperbaiki diri. Saya melihat setiap kegagalan sebagai satu checkpoint untuk menjadi versi diri yang lebih baik, malah mungkin lebih baik daripada apa yang saya bayangkan sebelum ini.

Bagaimana perasaan anda apabila dianggap sebagai individu yang berjaya sebelum usia 25 tahun? Adakah ia satu tekanan atau motivasi?
Saya melihat semua ini sebagai tekanan dan juga motivasi, bergantung kepada situasi. Tekanan yang saya rasakan bukanlah sesuatu yang membebankan, tetapi cukup untuk menyedarkan saya supaya sentiasa berada di landasan yang betul. Gelaran sebagai seseorang yang berjaya sebelum usia 25 tahun juga menjadi satu bentuk motivasi. Secara jujurnya, saya sendiri tidak merasakan saya sudah berjaya. Namun, apabila orang melihat saya sedemikian, ia membuatkan saya lebih berusaha, lebih fokus, dan sedar bahawa saya mungkin telah memberi impak kepada orang lain. Ia mendorong saya untuk terus berkarya, melakukan lebih banyak, dan menjadi lebih berani.
Apakah nasihat anda kepada anak muda lain yang masih mencari identiti dan arah hidup mereka?
Nasihat saya, kita tidak pernah terlambat. Cari rentak sendiri. Seperti dalam larian, tidak perlu mengejar pace orang lain hanya untuk bersaing. Sebaliknya, fokus pada pace sendiri untuk mencapai ‘personal best’. Dengan cara itu, kita tidak akan rasa terkejar-kejar atau terbeban dengan tekanan. Namun, dalam masa yang sama, hargailah masa. Jadi, ambillah masa anda sendiri, tetapi jangan lupa untuk menghargai setiap detik yang ada.
What’s next for Bella?
The next Bella Dowanna — Director of Beatus Live.
Artikel berkaitan: GL ‘5 UNDER 25’: SHARUL AIMY. MENGENALI POTENSI DIRI, PERJALANAN, CABARAN & MASA DEPAN
Tags
Artikel Yang Berkaitan
GL ‘5 UNDER 25’: SHARUL AIMY. MENGENALI POTENSI DIRI, PERJALANAN, CABARAN & MASA DEPAN
Baca temu bual GLAM Lelaki bersama Sharul Aimy, salah seorang personaliti cover isu April 2026. Bicara soal kerjaya dan pengalaman diri .
KENALI INDIVIDU HEBAT & BERPENGARUH ‘5 UNDER 25’, ISTIMEWA GLAM LELAKI APRIL 2026
Untuk April 2025, GLAM Lelaki sajikan 5 Under 25, individu muda yang menonjol dalam bidang masing-masing, dan mempunyai pencapaian hebat.
9 PELAKON MALAYSIA YANG MULA BERLAKON SEJAK KECIL
Industri lakonan Malaysia telah dihiburkan dengan gelagat dan lakonan licik dari pelakon-pelakon malaysia sejak mereka kecil lagi
KENAL PASTI 5 SELEBRITI & PERSONALITI MEDIA SOSIAL WANITA YANG CANTIK & FREE HAIR
Berikut ialah enam wanita yang sangat dikenali (bidang kerjaya yang berbeza) dan memiliki pakej yang lengkap. Selain cantik dan free hair, juga punya bakat yang tersendiri.
COACH HIDUPKAN DUNIA FANTASI MUSIM PERAYAAN DENGAN TIGA POP-UP ISTIMEWA
GL Gang, Hakimi Noordin menyertai sesi penggayaan istimewa #StyledbyJK untuk mencari padanan pakaian dan beg Coach Holiday 2025 terbaik
ALVN, “SAYA MAHU MENCUBA WATAK LEBIH GELAP, PUNYA DIMENSI YANG LEBIH MENDALAM.”
Dalam industri yang sentiasa berubah, Alvn adalah bukti bahawa ketahanan dan evolusi adalah kunci kejayaan. Sebagai seorang pelakon yang berpengalaman dan wajah yang dikenali dalam dunia fesyen, dia telah mengharungi pelbagai cabaran untuk menempatkan dirinya dalam kedua-dua bidang ini.











