EKSKLUSIF HUN HAQEEM DI BANGKOK, THAILAND UNTUK GLAM LELAKI #THESEPTEMBERISSUE
Pengarah kreatif: JOHAN KASSIM, Pengarah seni kanan: KHAIRANI RAMLI, Pereka seni grafik kanan: HILMAN HISHAM, Grooming: BANK NATDANAI Dandanan: CKAY LIOW Gambar: CHEE WEI Teks & temu bual: BELLA DOWANNA Outfit & aksesori GUCCI MUSIM LURUH/SEJUK 2025
Di tengah keindahan kota Bangkok yang penuh warna dan dinamik, GLAM Lelaki ‘terbangkan’ Hun Haqeem untuk sesi penggambaran muka depan eksklusif ini. Dengan latar gabungan moden dan budaya yang kaya, pemotretan ini bukan sekadar visual – ia juga melambangkan perjalanan seni Hun yang penuh warna dan cabaran. Bermula dari watak-watak kecil hingga kini menjadi antara pelakon muda paling berpengaruh di Malaysia, Hun membuka kisah sebenar di sebalik tabir – tentang impian, jatuh bangun, dan semangat yang tidak pernah padam. Istimewa lagi, Hun ditemu bual oleh rakan baiknya, Bella Dowanna.
Mengenali Hun Haqeem bukan sekadar mengenal seorang pelakon, selebriti, atau duta pertama Emporio Armani di Malaysia, tetapi juga sebagai seorang sahabat yang sangat saya hargai. Sepanjang dua tahun mengenali Hun, banyak perkara yang saya pelajari daripadanya.
Siapa yang tak kenal Hun Haqeem?
Figura berusia 27 tahun yang bukan sahaja kacak dan digilai ramai, tetapi juga penuh karisma. Namun bagi saya, dia lebih daripada apa yang orang lihat di permukaan. Hun bukan sekadar sahabat — dia ibarat seorang abang, seorang yang saya sangat hormati, dan seorang yang sentiasa bijak bila berkata-kata serta berfikir dengan mendalam. Dan satu lagi perkara yang tak boleh saya nafikan: dia seorang yang teramat pemurah.
Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai Hun dan team GLAM Lelaki untuk sesi penggambaran muka depan edisi September di Bangkok. Dan jujur saya katakan, dia benar-benar effortless dalam setiap gerak gaya dan pose di hadapan kamera. Ada sesuatu tentang kehadiran Hun yang menjadikan segalanya tampak mudah, tapi penuh impak.
Kami mula berkawan di media sosial sejak tahun 2022, tapi waktu itu kami belum pernah bersua muka. Pertemuan pertama berlaku di program HLive — kebetulan saya dan Hun sama-sama hadir untuk mempromosikan drama terbaru masing-masing. Selain itu, kami hanya bertemu sekali-sekala di acara hiburan yang sama.
Fast forward ke awal tahun 2024, kami diberi peluang untuk bekerjasama dalam sebuah projek drama berjudul Legenda Puteri Qaseh 2, bersama seorang lagi sahabat baik kami, Qasrina Karim.
Pendek cerita, semuanya bermula di set LPQ2. Watak kami bertiga dalam cerita itu sangat rapat, dan secara tak langsung, hubungan itu terbawa ke luar set. Penggambaran dijalankan sepanjang bulan Ramadan, jadi ia memang mencabar — tapi juga penuh kenangan manis. Hampir setiap hari kami berbuka puasa bersama. Ada hari-hari tertentu, kami sahur sekali kerana penggambaran berlarutan hingga ke awal pagi. Masa menunggu di set kami manfaatkan untuk berkongsi cerita, gelak tawa, dan kenal hati budi masing-masing.
Beberapa bulan selepas penggambaran tamat, kami spontan rancang trip ke Pulau Pinang. Semuanya last minute. Dan dalam perjalanan pulang ke KL, tercetus idea untuk ke Jeju. Dari situ, saya tahu: trip ini memang akan jadi kenyataan. Dan ya, kami benar-benar perlukan percutian ini.
Menjadi Hun Haqeem
Semasa percutian kami di Jeju, saya berpeluang melihat sisi Hun Haqeem yang saya yakin jarang atau mungkin tak pernah ditunjukkan kepada orang lain, kecuali kepada keluarga dan mereka yang benar-benar rapat dengannya.
Baru-baru ini, disebabkan jadual Hun yang padat dan penuh dengan komitmen kerja, saya mengambil keputusan untuk ikut serta bersamanya ke Bangkok, Thailand. Selama empat hari tiga malam, kami berpeluang meluangkan masa bersama sambil menikmati suasana dan keindahan kota Bangkok. Menariknya, ini juga merupakan kunjungan pertama saya ke sana.
Sepanjang berada di Bangkok, saya boleh katakan ini antara sesi paling intim yang pernah kami alami. Soalan pertama yang saya lontarkan kepadanya ialah, ‘Apa makna ketenangan bagi Hun Haqeem?'”
Saya tahu soalan itu bukan sesuatu yang baru baginya. Tapi entah kenapa, saya rasa jawapan yang saya akan dapat kali ini lain daripada sebelum ini. Dan sangkaan saya memang betul.
Kedalaman fikiran Hun Haqeem
Hun menjawab, “Tenang itu bila kita mampu menerima setiap dugaan Tuhan dengan hati yang terbuka. Ia mengingatkan kita kepada perkara yang sering kita dengar. Bahawa Dia tidak akan menguji kita melebihi kemampuan kita. Namun, untuk benar-benar membuka hati, seperti mana kita membaca Al-Fatihah setiap hari dengan penuh penghayatan, itu bukan mudah. Ia memerlukan kekuatan yang besar. Menjadi kuat di saat kita paling lemah bukan perkara mudah. Untuk mencapai ketenangan itu, banyak faktor yang memainkan peranan — agama, keluarga, dan kawan-kawan.”
Bagi saya, itulah momen yang benar-benar menunjukkan kedalaman fikiran dan jiwa seorang Hun Haqeem. Jauh dari glamor, penuh makna.
Sebenarnya, soalan-soalan yang saya ajukan kepada Hun lebih untuk mengusik tentang persahabatan kami, tapi saya tidak sangka jawapan-jawapan Hun begitu menyentuh hati.
*GLAM Lelaki September 2025 edisi fizikal boleh didapati di pasaran sekarang
Artikel berkaitan: “PRIVACY IS A LUXURY” – REZA RAHADIAN
Tags
Artikel Yang Berkaitan
NARATIF GAYA IDRIS KHAN BERSAMA MONTBLANC
Montblanc memperkenalkan koleksi baharu diinspirasikan dari kaki Gunung Mont Blanc dengan siluet lebih ringan dan rona bumi yang menenangkan.
LIMA PELAKON WANITA YANG PERNAH BERLAKON DENGAN HUN HAQEEM
Hun Haqeem pernah bergandingan dengan beberapa pelakon wanita terkenal dalam drama lakonananya. Imbas semula lima pelakon wanita yang pernah berlakon bersama Hun Haqeem.
STAIL PERCUTIAN HUN HAQEEM SEBAGAI INSPIRASI
Gaya Hun Haqeem sering tampil penuh stail bukan sahaja di acara penting, malah ketika percutian menjadikan gayanya boleh diikuti.
6 DRAMA HEBAT LAKONAN HUN HAQEEM DALAM SEPANJANG KERJAYANYA
Hun Haqeem merupakan antara pelakon generasi kini yang semakin menyerlah dan paling ‘in demand’ dalam industri seni lakon tempatan. Berikut 6 drama lakonan Hun Haqeem yang cemerlang.
SELEBRITI TEMPATAN YANG MENJADI WAJAH JENAMA ANTARABANGSA
Selebriti tempatan kini mampu meletakkan nama mereka ke pesada dunia sebagai wajah jenama-jenama antarabangsa.
SEBAB THARIQ RIDZUWAN: HIS TREASURE WAJIB DITONTON
Thariq Ridzuan bawa gabungan aksi, emosi & bintang popular Malaysia. Jangan lepaskan drama eksklusif ini di Astro One dan SOOKA.