Skip to content

FIGHTER-FIGHTER MALAYSIA ANDA PATUT KENALI SELAIN KABILAN JELEVAN

FIGHTER-FIGHTER MALAYSIA ANDA PATUT KENALI SELAIN KABILAN JELEVAN

Kongsikan artikel ini

Malaysia dipenuhi dengan fighter-fighter yang sering membawa nama negara ke serata dunia dengan bakat mereka yang luar biasa. 

Nama Kabilan Jelevan mungkin semakin mendapat perhatian peminat sukan tempur tanah air. Namun, dunia pertarungan Malaysia sebenarnya dihuni ramai lagi petarung berbakat yang sedang membina nama di pentas tempatan dan antarabangsa. Bulan ini, wajah hadapan digital GLAM Lelaki dihiasi oleh fighter tempatan yang sentiasa membawa nama Malaysia ke persada dunia. Daripada Muay Thai hingga kickstriking, generasi baharu fighter Malaysia ini membuktikan bahawa gelanggang tempur bukan lagi sekadar medan untuk menguji kekuatan fizikal. Disiplin, keberanian dan mentaliti untuk bangkit menjadikan mereka antara nama yang wajar diperhatikan.

Berikut merupakan lima fighter Malaysia yang patut anda kenali.

#1 Kabilan Jelevan

Berasal dari Sarawak, Kabilan Jelevan merupakan antara nama baharu yang semakin mencuri perhatian dalam arena Muay Thai. Dikenali dengan pendekatan yang tenang ketika bertarung, Kabilan pernah beraksi di ONE Championship dan mencatat beberapa kemenangan menerusi knockout serta keputusan juri. Namun, kekuatan Kabilan bukan hanya terletak pada pukulan dan tendangannya. Sikapnya yang lebih gemar membiarkan prestasi berbicara menjadikan dirinya figura menarik dalam generasi baharu sukan tempur Malaysia.

#2 Johan Ghazali

Kalau berbicara tentang generasi muda Muay Thai Malaysia, nama Muhammad Johan “Jojo” Ghazali sememangnya sukar diketepikan. Pada usia yang masih muda, Jojo sudah membina reputasi di pentas ONE Championship dan menjadi antara fighter Malaysia yang paling dikenali di peringkat antarabangsa. Beraksi di bawah Rentap Muay Thai Gym, Jojo terkenal dengan gaya pertarungan agresif dan kemampuan menghasilkan serangan yang pantas. Pada 2026, dia telah mencatat kemenangan ke atas Ye Yint Naung sebelum tewas kepada Shimon Yoshinari dan Ramadan Ondash menerusi keputusan juri. Lebih daripada sekadar atlet, Jojo kini menjadi salah satu wajah penting yang membantu membawa nama Malaysia ke pentas Muay Thai dunia.

#3 Putra Abdullah

Nama Putra Abdullah pula semakin mendapat perhatian menerusi kemunculannya dalam dunia Muay Thai dan kickstriking. Atlet muda yang berdarah kacukan Melayu-Jordan ini merupakan sebahagian daripada kelompok generasi baharu fighter Malaysia yang sedang meningkat naik. Putra terkenal dengan kombinasi serangan lutut dan siku yang agresif, menjadikannya lawan yang tidak mudah dijangka di dalam gelanggang. Pada April 2026, Putra mencatat kemenangan mutlak ke atas petarung Indonesia, Ronal Siahaan, dalam Byon Combat Showbiz 7 di Kuala Lumpur. Kemenangan tersebut turut mengangkatnya sebagai juara sulung Byon Kickstriking Asia selepas pertemuan pertama mereka berakhir dengan keputusan seri.

#4 Alif Rakib

Alif Rakib merupakan seorang fighter yang benar-benar mencipta sejarah pada tahun 2026. Pada 24 Julai lalu, Alif Rakib menewaskan legenda Thailand dan bekas juara dunia dua divisyen ONE Championship, Sam-A Gaiyanghadao, menerusi knockout pada pusingan kelima di Stadium Lumpinee, Bangkok. Kemenangan tersebut membolehkannya merangkul gelaran Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship. Lebih signifikan, kejayaan itu menjadikan Alif Rakib antara petarung Malaysia paling berjaya di pentas ONE Championship dan mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang memenangi gelaran dunia Muay Thai ONE Championship.

Bukan sekadar membawa pulang tali pinggang, Alif turut menerima bonus kemenangan sebanyak AS$50,000. Selepas ini, dia dijangka bakal berdepan juara dunia strawweight Muay Thai, Prajanchai PK Saenchai, dalam aksi penyatuan gelaran apabila juara tersebut kembali daripada kecederaan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Iman Aliff🕊️ (@aliff_rakib)

#5 Rifdean Masdor

Jangan pandang kecil pada nama Rifdean “Magic Boy” Masdor. Petarung Muay Thai berusia 23 tahun ini sedang membina momentum yang cukup mengagumkan di ONE Championship. Pada Jun 2026, Rifdean mencatat kemenangan knockout pusingan pertama ke atas Javad Mozafari dari Iran dalam masa hanya 94 saat. Kemenangan itu menjadi kemenangan ketujuhnya di ONE Championship dan membolehkannya menerima kontrak bernilai AS$100,000 bersama organisasi tersebut.

Lebih menarik, kemenangan itu meneruskan rentetan lima kemenangan berturut-turut Rifdean di ONE Championship. Sebelum menewaskan Mozafari, dia turut mencatat kemenangan ke atas Petkiattisak O Sansuk, Mohamad Redho, Bernueng Sor Salacheep dan Nongbia LaoLaneXang. Dengan gaya bertarung yang agresif dan kecenderungan untuk menamatkan pertarungan lebih awal, Rifdean kini mempunyai platform lebih besar untuk membuktikan dirinya di pentas dunia.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Rifdean🥷🏻 (@mohdrifdean_masdor)

Kabilan Jelevan, Johan Ghazali, Putra Abdullah, Alif Rakib dan Rifdean Masdor datang dengan karakter serta gaya pertarungan yang berbeza. Namun, satu perkara menyatukan mereka, keberanian untuk membawa nama Malaysia keluar dari gelanggang tempatan.

Daripada bakat muda yang sedang membina reputasi hinggalah mereka yang sudah menggenggam kejuaraan dunia dan kontrak antarabangsa, perkembangan ini menunjukkan bahawa masa depan sukan tempur Malaysia berada di tangan generasi yang semakin lapar untuk mencipta sejarah.   Dan ini baru permulaan.

Pautan berkaitan: 5 KEJAYAAN BESAR KABILAN JELEVAN DALAM DUNIA MUAY THAI

Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 KEJAYAAN BESAR KABILAN JELEVAN DALAM DUNIA MUAY THAI

5 KEJAYAAN BESAR KABILAN JELEVAN DALAM DUNIA MUAY THAI

Bacaan Lanjut

BARISAN DUTA JENAMA BAJU RAYA BULAN BINTANG 2026

Bacaan Lanjut
5 PENAMPILAN JOHAN GHAZALI TAHUN 2025 PILIHAN GLAM LELAKI

5 PENAMPILAN JOHAN GHAZALI TAHUN 2025 PILIHAN GLAM LELAKI

Bacaan Lanjut

TIMEPIECES OF SUCCESS: KOLEKSI JAM TANGAN JOHAN GHAZALI

Bacaan Lanjut

ATLET SUKAN GENERASI BAHARU YANG SEMAKIN MENYERLAH

Bacaan Lanjut

JOJO TEWAS, BUT WE ARE PROUD OF YOU!

Bacaan Lanjut