GL APA KATA: HAKIM MAZLAN MEMBINA IDENTITI, MENCIPTA LEGASI BERSAMA OPT
Untuk bulan Julai 2026, GLAM Lelaki menemubual Hakim Mazlan, pemilik jenama OPT (One Plus Two) tentang dirinya serta jenama yang dibina sendiri.
Dalam dunia fesyen tempatan yang semakin kompetitif, hanya segelintir jenama berjaya mencipta identiti yang benar-benar tersendiri. Salah satu daripadanya ialah OPT (One Plus Two). Jenama streetwear Malaysia yang berkembang daripada sebuah idea kecil ini kini lebih disegani dalam kalangan pencinta fesyen. Di sebalik kejayaan itu berdiri Hakim Mazlan, pengasas bersama dan Pengarah Kreatif yang menjadi antara figura muda paling berpengaruh dalam industri hari ini.
Bagi Hakim, membina jenama bukan sekadar menghasilkan pakaian yang menarik, tetapi turut membentuk budaya, komuniti dan nilai yang mampu bertahan dalam jangka masa panjang. Perjalanan Hakim dalam dunia fesyen bermula ketika dia masih menuntut di kolej. Selepas menamatkan pengajian, Hakim bersama rakan kongsinya, Khalies Rosmin, mengembangkan minat mereka melalui perniagaan kasut bundle dari tahun 2017 hingga 2019. Pengalaman berinteraksi secara langsung dengan pelanggan memberi mereka pemahaman mendalam mengenai citarasa pengguna, budaya streetwear dan kepentingan membina komuniti sebelum akhirnya mengambil keputusan untuk menghasilkan produk sendiri.
Tahun 2020 menjadi titik perubahan apabila mereka melancarkan koleksi pertama OPT menerusi sebuah hoodie yang dipromosikan melalui kempen video sinematik. Sambutan memberangsangkan terhadap koleksi tersebut membuka lembaran baharu buat jenama ini. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, OPT berkembang menjadi antara jenama streetwear tempatan yang paling dikenali. Koleksi-koleksinya tampil dengan potongan santai, rekaan minimal, penggunaan material berkualiti serta identiti visual yang konsisten, menjadikan setiap keluaran mudah dikenali oleh komuniti fesyen tempatan.
Hakim Mazlan membuktikan bahawa kepimpinan bukan sekadar membina jenama, tetapi juga membentuk sebuah komuniti. Sebagai pengasas bersama dan Pengarah Kreatif OPT, dia berjaya mengangkat jenama streetwear tempatan ke tahap yang lebih tinggi menerusi visi, konsistensi dan keberanian untuk mencipta identiti sendiri. Bulan ini, GLAM Lelaki memilih Hakim Mazlan sebagai salah seorang pemilik jenama yang diraikan.
#1 Ramai anak muda mahu menjadi CEO. Bilakah anda sedar anda mahu membina perniagaan sendiri?
Saya tak pernah ada impian untuk bergelar CEO. Apa yang saya sedar dari awal ialah saya suka membina sesuatu daripada kosong. Saya lebih tertarik dengan proses mencipta idea, membentuk identiti, dan melihat sesuatu yang pada asalnya hanya berada dalam kepala akhirnya menjadi produk yang orang pakai.
Lama-kelamaan saya sedar saya lebih sesuai membina sesuatu mengikut visi sendiri berbanding mengikut acuan orang lain. Saya selesa memikul risiko dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap keputusan yang dibuat. Bagi saya, kebebasan untuk menentukan arah sendiri jauh lebih bernilai daripada sekadar memiliki jawatan.
#2 Mengapa memilih industri fesyen berbanding bidang lain?
Fesyen bagi saya bukan sekadar pakaian. Ia adalah medium untuk bercerita.
Saya banyak dipengaruhi oleh muzik, budaya jalanan dan sukan. Semua perkara itu akhirnya diterjemahkan ke dalam rekaan yang kami hasilkan. Bila seseorang memakai pakaian daripada brand saya, saya harap dia bukan sekadar suka pada design, tetapi dia juga dapat rasa identiti dan cerita di sebaliknya.
Saya percaya pakaian yang baik bukan hanya nampak menarik, tetapi mampu memberi keyakinan kepada orang yang memakainya. Itu yang membuatkan saya terus jatuh cinta dengan industri ini.
#3 Apakah keputusan paling berani yang pernah anda ambil sebagai seorang usahawan muda?
Keputusan paling berani ialah berani membuat kesilapan dan tetap meneruskan perjalanan.
Pernah satu ketika saya membuat keputusan yang menyebabkan saya menanggung inventori yang sangat besar. Ia memberi tekanan dari segi kewangan dan mental. Pada masa itu saya boleh memilih untuk bermain selamat atau berhenti mencuba perkara baharu.
Tetapi pengalaman itu mengajar saya bahawa dalam perniagaan, keberanian bukan bermaksud sentiasa betul. Keberanian sebenar ialah sanggup mengakui kesilapan, belajar daripadanya, dan membuat keputusan seterusnya dengan lebih matang.
Hari ini saya masih mengambil risiko, tetapi setiap risiko itu datang bersama pengalaman dan data yang lebih baik.
#4 Bagaimana anda mengendalikan tekanan apabila setiap keputusan memberi kesan kepada pasukan dan perniagaan?
Saya belajar menerima bahawa tekanan adalah sebahagian daripada tanggungjawab seorang pengasas.
Dulu saya fikir seorang founder perlu sentiasa mempunyai jawapan untuk semua perkara. Sekarang saya sedar tugas saya bukan untuk menjadi sempurna, tetapi untuk membuat keputusan terbaik berdasarkan maklumat yang saya ada pada ketika itu.
Bila berdepan tekanan, saya cuba kembali kepada perkara yang boleh saya kawal. Saya pecahkan masalah kepada langkah-langkah kecil, fokus menyelesaikan satu persatu, dan elakkan membuat keputusan ketika emosi menguasai diri.
Saya juga sentiasa ingat bahawa setiap keputusan bukan hanya memberi kesan kepada saya, tetapi kepada seluruh pasukan yang percaya dengan visi yang kami bina bersama. Kesedaran itu membuatkan saya lebih berhati-hati, tetapi pada masa yang sama lebih bertanggungjawab.
Pautan berkaitan: 10 MODEL LELAKI YANG BAKAL BERJALAN DI PENTAS FESYEN KLFW 2026
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
MINIMAL PRINTS, BAGGY, SIMPLE DAN CLEAN LOOK ANTARA TREND STREETWEAR 2026
Trend Streetwear 2026 menampilkan minimal prints, potongan baggy, rekaan simple dan clean look sebagai teras gaya generasi baharu.
6 LABEL TEMPATAN YANG MENDOMINASI TAHUN 2025
Kini setaraf dengan label antarabangsa, label tempatan turut menjadi dominasi utama buat tahun 2025 yang meriah.
HAKIM MAZLAN, “TO BE HONEST, I’M NOT THAT UPDATED ON FASHION.”
GLAM Lelaki berbual dengan Hakim Mazlan, pengasas jenama lokal streetwear ‘One Plus Two’. Hakim berkongsi nasihat dan impian untuk jenamanya.








