Skip to content

GUCCIMITH DAN ZHE KAMIL, DUO YANG BAWA R&B KE ADEGAN MUZIK LOKAL

GUCCIMITH DAN ZHE KAMIL, DUO YANG BAWA R&B KE ADEGAN MUZIK LOKAL

Kongsikan artikel ini

Guccimith dan Zhe Kamil, nama yang memerlukan lebih banyak spotlight kerana karya mereka di dalam adegan muzik tempatan yang cukup menarik. 

Sebagai pencinta muzik R&B, penulis GLAM Lelaki cukup amazed dengan bakat dua anak muda ini dalam bidang muzik. Duo dari Sarawak ini terbang ke Kuala Lumpur untuk memperkembangkan lagi karier muzik mereka.Lagu-lagu ciptaan mereka sendiri mampu menangkap hati peminat-peminat lagu romantis dan R&B.

Guccimith ialah vokalis R&B yang berpangkalan di Kuching, dikenali dengan gaya penyampaian yang seimbang antara kelembutan emosi dan keyakinan melodi yang smooth. Dia turut dikenali  dengan lirik-lirik jujur yang penuh emosi, dibalut dalam suasana moody dan vibe larut malam. Zhe Kamil, juga berasal dari Kuching, merupakan penerbit dan enjin kreatif di sebalik identiti bunyi duo ini. Dengan pengaruh daripada R&B moden, trap dan ambient soul, produksi muziknya mencipta pengalaman yang imersif, direka khas untuk mengangkat kekuatan penceritaan lagu.

Pada 11 Julai 2025 yang lalu, duo dinamik R&B ini kembali dengan single terbaru berjudul “INDEPENDENT”, sebuah penghormatan sonik kepada wanita yang bergerak dengan kuasa, keyakinan dan kelas tersendiri. Sepenuhnya diterbitkan oleh Zhe Kamil, lagu ini menggabungkan rentak trap minimal, synth atmosferik, dan tekstur R&B yang halus. Di atas latar muzik ini, Guccimith dan Zhe Kamil menyampaikan vokal yang smooth dan menggoda, meraikan serta mengangkat martabat wanita yang mampu berdiri sendiri. Ia bukan sekadar lagu, malah satu penghargaan buatnya. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ezmith Ujang (@guccimith)

1. Bolehkan anda berdua berkongsi sedikit tentang perjalanan anda ke dalam dunia muzik? Apakah yang memberi inspirasi kepada anda untuk bermula?

Guccimith: Saya mula membuat muzik ketika berumur 19 tahun di Kuching, dan saya bermula seorang diri. Lagu pertama yang saya keluarkan berjudul “Alone”, kira-kira lima tahun lepas. Tapi bila saya mula berkolaborasi dengan Zhe Kamil, saya rasa itulah detik di mana ramai orang di luar Kuching mula mengenali kami berdua. Itu jugalah yang menjadi inspirasi saya untuk teruskan perjuangan dalam muzik.
Zhe Kamil: Saya suka mencipta muzik. Saya mula belajar bagaimana untuk menghasilkan rentak sendiri. Selepas tu, saya dan Guccimith sedar bahawa ramai orang sebenarnya menyukai dan sokong muzik kami. Jadi, muzik bukan lagi sekadar hobi, tapi sudah menjadi minat yang mendalam dan cara saya untuk luahkan diri saya.

2. Bagaimanakah anda huraikan peribadi anda? Adakah ia berkembang dari masa ke semasa?

Guccimith: Dari segi personaliti, saya rasa dalam kumpulan ni, sayalah yang paling extrovert dan Zhe pula introvert. Tetapi apabila kami cipta muzik, kami boleh bergabung dengan sangat baik hingga kadangkala tidak perlu berada dalam studio yang sama untuk menghasilkan lagu. Dia percaya pada saya, dan saya percaya pada dia.
Zhe Kamil: Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya memang meminati muzik R&B, jadi banyak pengaruh datang dari situ. Saya suka bereksperimen dengan bunyi yang berbeza, tapi dalam masa yang sama saya pastikan muzik saya tetap ada identiti saya sendiri.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ezmith Ujang (@guccimith)

3. Bolehkah anda kongsi tentang kerja/projek yang tidak dapat dilupakan yang pernah anda lakukan?

Guccimith: Projek yang paling saya tidak dapat lupakan adalah lagu “Stay Away.” Lagu tu antara sebab ramai orang mula menjadi peminat Guccimith dan Zhe Kamil. Sekarang ni, album yang kami sedang usahakan pun sbakal menjadi salah satu projek yang saya tidak dapat lupakan kerana ini projek pertama yang kami uruskan sendiri sepenuhnya sejak kami jadi artis bebas dalam industri muzik.
Zhe Kamil: Sama seperti Guccimith, projek yang paling saya ingat hingga sekarang ialah single pertama saya yang rasmi, lagu berjudul “Stay Away.” Ketika itulah saya sedar muzik saya ada impak. Semua benda kami buat sendiri, dari proses produksi hingga ke persembahan di KL. Projek tu betul-betul buat saya nampak sejauh mana saya boleh pergi.

4. Apakah perubahan dalam muzik anda sejak memulakan karier?

Guccimith: Kini, saya rasa saya lebih faham bagaimana ingin sampaikan lagu dengan lebih baik. Dulu saya ada sedikit dilema tentang jenis muzik yang saya nak buat kerana saya sukakan semua genre. Tetapi, sekarang saya sudah sedar yang saya patut kekal dengan genre saya sendiri, iaitu R&B. Saya nak terus teroka genre ini dengan lebih dalam supaya kami boleh cipta gelombang R&B yang baru di Malaysia.
Zhe Kamil: Ya, muzik saya memang banyak berubah. Dahulu sound saya sangat ringkas, tetapi sekarang kami lebih beri perhatian kepada kualiti. Dari segi bunyi, mixing, sehinggalah cara penyampaian lagu. Saya lebih faham tentang perincian dalam muzik, dan dalam masa yang sama saya masih kekalkan identiti saya sendiri.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by zhe kamil (@zhesteezy)

5. Apakah peminat-peminat baharu Guccimith dan Zhe Kamil boleh jangkakan dari anda berdua?

Guccimith: Tahun ini, saya dan Zhe akan keluarkan album R&B, dan album ni bakal bawakan kolaborasi yang menarik. Album ni berbeza kerana sekarang kami lebih faham kekuatan masing-masing dalam muzik, jadi album ni akan jadi sangat jujur dan istimewa untuk kami berdua.
Zhe Kamil: Pendengar baharu boleh jangkakan lebih banyak lagu dengan vibe R&B yang sebenar. Kami fokus pada bunyi yang smooth, jujur, dan penuh dengan emosi. Setiap lagu ada cerita tersendiri, bukan sekadar tentang bunyi. Tetapi sesuatu yang orang boleh rasai dan kaitkan dengan diri mereka sendiri.

6. Siapakah inspirasi muzik anda?

Guccimith: Ramai yang menjadi inspirasi saya dalam dunia muzik, tetapi sekarang saya boleh kata kehidupan itu sendiri yang jadi inspirasi utama saya. Kebanyakan perkara yang berlaku dalam hidup saya sekarang, saya luahkan melalui muzik. Bagi saya, muzik yang jujur itu lebih baik kerana ramai orang boleh rasa dan berkait dengan apa yang saya cuba sampaikan.
Zhe Kamil: Saya sangat kagum dengan Alyph. Dia seorang producer yang sangat mantap dan sudah hasilkan banyak lagu hits. Saya hormat cara dia kekal dengan identiti muzik sendiri dan dalam masa yang sama terus menolak sempadan dalam berkarya. Itu adalah mindset dan etika kerja yang saya ingin bawa dalam muzik saya sendiri.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ezmith Ujang (@guccimith)

7. Projek terkini?

Guccimith: Kami sedang bekerja keras untuk album terbaru kami dan memang sangat teruja dengan projek ni. Kolaborasi yang ada pun sangat menarik, dan harapnya ini akan jadi album R&B terbaik tahun ni, mungkin juga sepanjang zaman.
Zhe Kamil: Buat masa sekarang, kami sedang fokus kepada album kedua. Masih kekalkan vibe R&B yang sebenar, tetapi kali ni dengan kualiti bunyi yang lebih baik, lebih banyak perkembangan, dan lebih peribadi.

8. Siapakah artis yang anda teringin bekerjasama dengan?

Guccimith: Saya teringin untuk bekerjasama dengan Bernadya kerana storytelling dia sangat kuat. Dari segi produksi pula, saya ingin bekerja dengan Alyph kerana kualiti dan sound yang dia pilih dalam semua lagunya memang luar biasa.
Zhe Kamil: Saya sangat teringin untuk berkolaborasi dengan Imran Ajmain. Saya hormati muziknya dan cara dia bawakan vibe R&B yang tulen. Saya percaya kami boleh hasilkan sesuatu yang istimewa bersama.

9. Satu fakta menarik tentang lagu “INDEPENDENT” orang ramai perlu tahu.

Guccimith: Lagu “Independent” ni sebenarnya tentang seorang wanita yang kuat, yang saya kenal dalam hidup saya. Lagu ni membawa mesej tentang kuasa wanita — tentang bagaimana kadang-kadang wanita tidak perlukan lelaki untuk rasa bahagia.
Zhe Kamil: Fakta menarik tentang lagu “Independent” ialah fokus utamanya memang pada pemerkasaan wanita. Lagu ni ditujukan khas buat wanita-wanita yang berdikari, yakin dengan diri sendiri, dan tahu nilai diri mereka. Ia meraikan kekuatan wanita yang mampu berdiri atas kaki sendiri tanpa bergantung pada sesiapa.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ezmith Ujang (@guccimith)

10. Recommend satu lagu Guccimith dan Zhe Kamil orang ramai patut dengar dan kenapa?

Guccimith: Terlalu banyak lagu kami yang anda boleh dengar, tapi buat masa sekarang, saya rasa anda patut dengar lagu “Independent” oleh Guccimith dan Zhe Kamil, hehe.
Zhe Kamil: Saya cadangkan anda dengarkan lagu “Independent”. Lagu ni tentang keyakinan diri dan mengenal nilai diri. Vibenya chill, real R&B, dan sangat sesuai untuk sesiapa yang perlukan peringatan untuk hargai diri sendiri.

11. Apa yang anda ingin capai sebagai artis sebelum tahun ini berakhir?

Guccimith: Sebelum tahun ni berakhir, saya ingin semua orang tahu bahawa Guccimith dan Zhe Kamil adalah artis dari Kuching, Sarawak yang datang ke Kuala Lumpur untuk cipta muzik, dan kami serius dalam apa yang kami lakukan. Tahun ni kami akan keluarkan album, dan saya harap apabila orang dengar album itu, mereka akan lebih sayang dan lebih kenal siapa kami.
Zhe Kamil: Sebelum tahun ini habis, saya cuma ingin pastikan album kedua kami siap dan dapat dilancarkan. Pada masa yang sama, saya ingin lebih ramai orang kenali muzik kami, terutamanya mereka yang betul-betul hargai muzik R&B yang sebenar.

“INDIPENDENT” boleh di dengari di setiap platform penstriman seperti Spotify dan Apple Music. Kami harapkan lebih banyak karya dihasilkan oleh duo berbakat ini dan memeriahkan lagi adegan muzik tempatan dengan muzik mereka!

Pautan Berkaitan: DJ TERHANGAT, AIDAHO INGIN KEHIDUPAN YANG TENANG