Skip to content

KENALI ADRIA ARJONA, AKTRES HIT MAN & CINTA HATI BARU JASON MOMOA

KENALI ADRIA ARJONA, AKTRES HIT MAN & CINTA HATI BARU JASON MOMOA

Kongsikan artikel ini

Peranan Adria Arjona dalam filem Netflix, Hit Man menaikkan namanya di persada global.

Bintang berusia 32 tahun ini mempamerkan bakat luar biasa sebagai Madison Figuera Masters, seorang isteri yang mengupah pembunuh profesional bernama Gary (Gwen Powell) untuk membunuh suaminya.

Walaupun namanya baru menjadi sebutan, Hit Man bukanlah filem pertama lakonannya. Dia pernah muncul dalam beberapa filem popular seperti Pacific Rim Uprising (2018), 6 Underground (2019) dan Morbius (2022).

Intai siapakah Adria Arjona dalam dunia realiti

Berasal Dari Puerto Rico

Adria dilahirkan pada 25 April 1992 di San Juan, Puerto Rico. Walaupun dilahirkan di negara itu, dia membesar di Mexico City dan tinggal di sana sehingga remaja. Bercakap kepada Numéro Netherlands, Adria berkata dia dibesarkan di merata tempat dan mempunyai darah Guatemala di sebelah bapanya.

“Saya berasa seperti warga Puerto Rico apabila berada di kepulauan itu. Saya berasa seperti warga Guatemala apabila berada di Guatemala. Begitu juga apabila berada di Mexico, saya berasa seperti saya warga Mexico.

“Walaupun bercakap bahasa Sepanyol, tiada siapa dapat menangkap loghat saya. Saya bangga menjadi warga Puerto Rico, saya bangga menjadi warga Guatemala, saya bangga dibesarkan di Mexico, tetapi saya juga berbangga kerana tidak terikat di mana-mana. Dan itu membantu dalam lakonan saya,” katanya.

adria Arjona

Foto: Netflix

 

Melanjutkan pelajaran di Akademi Seni

Selepas berhijrah dari Mexico ke Miami pada usia 12 tahun, Adria berpindah ke New York City sebaik sahaja usianya mencapai 18 tahun. Demi mencapai cita-cita untuk bergelar anak seni, dia menyambung pengajian di akademi seni Lee Strasberg Theatre and Film Institute.

Sambil belajar, dia bekerja sebagai pelayan untuk memenuhi keperluan hidup. “Saya belajar nilai wang dan kerja keras. Ia membantu saya kerana saya perlu berdikari. Dan saya rasa hari ini saya mampu bekerja sehingga 16 jam kerana pernah menjadi pelayan,” ujarnya.

 

Bapanya Merupakan Penyanyi Tersohor Guatemala

Adria bukan satu-satunya dalam keluarga yang menceburi industri hiburan. Bapanya adalah Ricardo Arjona, peyanyi dan penulis lagu terkenal di persada antarabangsa. Dalam satu temu bual pada 2018, Adria berkata bapanya memberi inspirasi kepadanya untuk melibatkan diri dalam bidang seni.

“Dia sentiasa memotivasi saya untuk terus melangkah ke hadapan dan berkembang sebagai seorang artis. Dan dia peminat nombor satu saya. Dia selalu menunjukkan klip lakonan saya kepada rakan-rakannya. Saya gembira kerana berjaya buat dia bangga,” katanya.

Foto: Milenio

 

Pernah Bergelar Isteri

Adria pernah mendirikan rumah tangga dengan peguam dan usahawan, Edgardo Canales pada 2019. Mereka pernah membuat kemunculan bersama di Vanity Fair Oscars Party pada 2020. Pasangan ini membawa haluan masing-masing pada Januari 2023 dan sah bercerai pada Disember tahun sama atas alasan tiada persefahaman.

 

Sedang Hangat Bercinta Dengan Jason Momoa

Adria dan Jason Momoa dilaporkan bertemu buat kali pertama ketika membintangi filem Sweet Girl pada November 2019. Mei lalu, aktor Aquaman itu mendedahkan perhubungan mereka kepada umum dengan memuat naik fotonya memeluk Adria di sebuah restoran di Jepun. Di ruangan kapsyen, Jason memperkenalkan aktres itu sebagai cinta hatinya, “Mi amor”.

Jason Momoa, Adria Arjona

Foto: Instagram

 

Bekerjasama Dengan Anak Tiri Jason Momoa Dalam Projek Terbaru

Adria bakal muncul dalam filem berjudul Blink Twice di samping Naomi Ackie, Channing Tatum dan Christian Slater tidak lama lagi. Ia merupakan filem sulung arahan Zoe Kravitz, anak kepada Lisa Bonet. Walaupun Jason dan Lisa tidak lagi bergelar suami isteri, aktor itu masih mengekalkan hubungan baik dengan anak tirinya dan bapa kandung Zoe, Lenny Kravitz.

 

Foto: The New York Times

Pautan berkaitan: HATI JASON MOMOA KINI MILIK AKTRES PUERTO RICO

By Siti Syahidah
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

must watch June 2024

10 RANCANGAN ‘MUST WATCH’ SEPANJANG JUN 2024

Bacaan Lanjut
HATI JASON MOMOA KINI MILIK AKTRES PUERTO RICO

HATI JASON MOMOA KINI MILIK AKTRES PUERTO RICO

Bacaan Lanjut