KHALIL WALID, “JANGAN MUDAH TERPENGARUH DENGAN KOMEN NEGATIF!”
GLAM LELAKI BERSEMBANG DENGAN ANAK MUDA BERNAMA KHALIL WALID. MULA MENARIK PERHATIAN DENGAN KANDUNGAN MEMASAK DENGAN GAYA DAN SUNTINGAN VIDEO CUKUP TERSENDIRI. YANG DIKONGSI SECARA AKTIF DI MEDIA SOSIAL.
BOLEH KHALIL KONGSIKAN SEDIKIT TENTANG PERJALANAN ANDA DALAM BIDANG KULINARI DAN PENCIPTAAN KANDUNGAN? APA YANG MENGINSPIRASIKAN KHALIL UNTUK BERMULA?
Ia bermula sebagai projek minat semasa tempoh perintah berkurung apabila kita semua terpaksa duduk di rumah. Saya memang dari dulu ingin menjadi perantara untuk resepi-resepi ibu saya. Sebagai cara untuk mengekalkan dan mewariskannya kepada generasi akan datang. Sejak kecil, masakan ibu merupakan sebahagian besar daripada kehidupan keluarga kami, dan saya tidak mahu ia hilang ditelan masa.
Jadi, saya anggap video-video yang saya muat naik ke dalam talian seperti diari peribadi. Sesuatu yang boleh saya rujuk semula kalau saya perlukan resepi itu pada masa akan datang. Tanpa disangka, ramai yang rupanya turut rasa terhubung dengan kandungan yang saya kongsikan!
BAGAIMANAKAH ANDA MENGGAMBARKAN GAYA PERIBADI ANDA? ADAKAH IA TELAH BERKEMBANG ATAU BERUBAH DARI MASA KE MASA?
Secara peribadi, saya cuba untuk tidak memakai pakaian yang terlalu ringkas, dan saya akan rancang setiap gaya dengan harapan saya tak akan terserempak dengan seseorang yang memakai pakaian yang sama. Saya tak kata pakaian yang saya pakai itu sangat eksklusif, tapi cara saya gabungkan setiap item buatkan ia rasa lebih peribadi. Dan itu dah cukup untuk saya.
STAIL KHALIL KEMAS DAN MINIMAL, KADANG-KADANG DENGAN SENTUHAN STREETWEAR. BAGAIMANA ANDA KEKAL MENGIKUTI PERKEMBANGAN GAYA LELAKI?
Saya biasanya hanya scroll secara saja-saja di TikTok sebab FYP saya memang penuh dengan inspirasi gaya pakaian. Kadang-kadang saya akan perhatikan cara seseorang padankan sesuatu item, dan kalau saya jumpa item tu semula sama ada online atau di kedai, saya akan ingat macam mana saya boleh sesuaikannya dengan gaya saya sendiri.
ADAKAH SEBARANG TREND ATAU AKSESORI FESYEN TERTENTU YANG ANDA SEDANG MINATI SEKARANG?
Sejak saya balik dari Seoul baru-baru ini, saya semakin minat dengan fesyen Korea. Saya dapat banyak inspirasi hanya dengan perhatikan cara orang berpakaian semasa mereka berulang-alik setiap hari — semua orang bergaya dengan begitu stylish sekali!
BOLEH KONGSIKAN TENTANG SATU HASIL KERJA YANG PALING BERMAKNA BAGI ANDA?
Saya berpeluang untuk menghasilkan content bagi beberapa jenama, dan saya benar-benar anggap itu satu rahmat. Salah satu pengalaman yang paling saya ingat ialah apabila saya dipilih oleh Sony untuk mempromosikan produk terbaru mereka ketika itu. Ia memang satu momen bermakna bagi saya, terutama ketika saya baru bermula. Projek itu memberikan saya dorongan yang sangat kuat dan membuat saya sedar bahawa ini adalah bidang yang saya benar-benar mahu ceburi.
APAKAH NASIHAT YANG ANDA INGIN BERIKAN KEPADA MEREKA YANG BERCITA-CITA MENJADI PENCIPTA KANDUNGAN?
Sentiasa berpegang teguh dan konsisten. Jangan mudah terpengaruh dengan komen negatif, kerana ia tidak menentukan siapa anda sebenarnya. Jika anda menikmati apa yang anda lakukan, teruskan sahaja. Pasti ada seseorang di luar sana yang akan menghargainya.
SIAPAKAH INSPIRASI KHALIL?
Sudah tentu, ibu saya! Dia adalah sebab utama saya mula terlibat dalam penciptaan kandungan. Tanpa sokongannya, saya tak pasti jika saya akan ada semangat untuk teruskan perjalanan ini.
PROJEK TERKINI?
Saya sedang mengusahakan beberapa konsep video yang berbeza sekarang, dan saya sangat teruja untuk kongsikannya tidak lama lagi! Saya juga sedang mencuba kandungan berbentuk panjang supaya saya dapat berkongsi cerita dan butiran dengan lebih mendalam melalui video saya.
SIAPAH ATAU APAKAH JENAMA IMPIAN ANDA UNTUK BEKERJASAMA?
Saya sangat berharap dapat bekerjasama dengan Le Creuset suatu hari nanti. Saya memang peminat tegar barangan seramik mereka dan sudah memiliki beberapa produk mereka. Cuma masih menunggu warna impian saya untuk dilancarkan!
APA YANG ANDA INGIN CAPAI SEBELUM USIA 35 TAHUN?
Saya memang berharap untuk memulakan perniagaan tidak lama lagi. Ramai yang dah mula tanya tentangnya di ruangan komen, dan saya pun teringin sangat untuk realisasikannya.
Artikel berkaitan: KENALI JUSTIN WEIQING, WAJAH FESYEN LOKAL MASA KINI
Tags
Artikel Yang Berkaitan
SETIAP LELAKI PERLU TAHU LIMA CARA INI UNTUK ELAK MULUT BERBAU BUSUK
Ketahui lima tips berkesan untuk mengelakkan mulut berbau busuk khas untuk lelaki.
SHUKRI YAHAYA KEKAL RELEVAN DAN CEMERLANG SEBAGAI PELAKON DRAMA & FILEM MESKI SUDAH 13 TAHUN DALAM INDUSTRI
Shukri berkongsi sisi peribadinya; tentang watak yang mencabar minda, penghijrahan isteri tercinta, definisi kejayaan sebenar dan rahsia untuk terus bersyukur meski berada di puncak populariti.
TOP 7: MODEL BARU LELAKI DI SEBALIK RUNWAY PALING HANGAT
Peragaan fesyen lelaki tahun 2025 telah mengubah stigma masyarakat. Ini senarai model baru lelaki tahun 2025 di pentas fesyen global.
SELEBRITI LELAKI BERBADAN CANTIK: INSPIRASI ‘MODERN MASCULINITY’ DARI AEDY ASHRAF, IKMAL AMRY DAN RAMAI LAGI.
Inspirasi ‘modern masculinity’ dari lapan selebriti lelaki Malaysia. Penampilan fizikal dek ketekunan mereka nyata mencetus inspirasi.
KOLABORASI HANGAT & BEREVOLUSI MUSIM INI, LEVI’S® DAN NIKE. MULA TERJUAL 10 JULAI INI!
Levi's® dan Nike, bekerjasama melancarkan koleksi yang paling dinanti-nantikan. Musim ini, kedua-dua jenama menggabungkan warisan denim yang kaya daripada Levi's® bersama rekaan ikonik Air Max 95 Nike.
KETAHUI 7 CARA UNTUK MENGATASI KULIT BERJERAWAT DAN SENSITIF UNTUK KAUM LELAKI
Masalah kulit berjerawat dan sensitif bukan hanya dialami oleh wanita, malah lelaki juga Ketahui tips atasi kulit berjerawat dan sensitif.