Selepas 46 tahun dilancarkan, lagu Bohemian Rhapsody nyanyian kumpulan terkenal 70-an, Queen masih diputarkan sehingga kini.
Ia diperdengarkan kepada peminat buat kali pertama pada Oktober 1975 hanya selepas dua bulan dirakamkan. Bohemian Rhapsody mendapat reaksi yang berbeza daripada pengkritik disebabkan keunikannya, namun kini ia dikenali sebagai salah sebuah lagu terunggul sepanjang zaman.
Sejak awal lagi penyanyi utama kumpulan Queen, Freddie Mercury berkeras untuk tidak menjelaskan makna di sebalik lirik lagu tersebut dan memilih untuk berdiam diri. Salah seorang ahli kumpulan, Brian May bersetuju dan mengakui dia sendiri tidak berapa pasti dengan maksudnya.