PEMERGIAN SEBUTIR PERMATA, PYANHABIB RAHMAN TIADA GALANG GANTI
Penggiat seni tanah air berduka atas pemergian pelakon dan penyair, Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman.
Seniman yang baru menyambut ulang tahun ke-66 seminggu lalu menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya pada 4 Jun di kediamannya akibat sakit tua.
Jenazah disolatkan di Masjid As-Sobirin Lembah Keramat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 pada pukul 11.25 pagi pada 5 Jun. Turut mengiringi ke tanah perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir adalah sekitar 200 orang termasuk ahli keluarga dan rakan artis.
Antara selebriti yang hadir adalah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Dr Sam, Datuk Dr Ras Adiba Radzi, Uji Rashid, Ito Blues Gang, Aris Ariwatan, Imuda, Khir Rahman, Ameerul Affendi dan Farid Kamil. Tidak ketinggalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan sasterawan negara, Datuk Seri Dr A Samad Said.
Bakat Luar Biasa Pyanhabib Rahman
Pyanhabib lebih dikenali sebagai penyair tersohor tanah air berbanding kerjayanya sebagai pelakon, namun berbakat besar dalam kedua-dua bidang yang diceburi. Namanya dihormati hampir semua penggiat seni dari pengarah, penerbit, pelakon, penyanyi, penulis, penggiat teater hinggalah ke wartawan.
Allahyarham aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam, kumpulan seni yang diasaskan pada tahun 70-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis. Sedekad kemudian mencetus fenomena baca puisi di bawah tiang lampu.
Pyanhabib juga terbabit dalam teater dan penulisan buku. Tahun lalu Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Penglibatan Pyanhabib dalam industri perfileman bermula pada 1986 apabila membintangi filem Kembara Seniman Jalanan menerusi watak Osman Tikus. Filem lain termasuk Tsu Feh Sofiah (1986), Rozana Cinta 87 (1987), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), Rock Oo! (2013), Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).
Pyanhabib pernah dicalonkan untuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Tsu Feh Sofiah namun menolak penganugerahan tersebut pada Festival Filem Malaysia ke-7.
Foto: Facebook
Pautan berkaitan: JAAFAR ONN MENINGGAL DUNIA PADA 23 RAMADAN
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.