Skip to content

PENGAKHIRAN DUKA PEMUZIK BERBAKAT BESAR, WHEESUNG

PENGAKHIRAN DUKA PEMUZIK BERBAKAT BESAR, WHEESUNG

Kongsikan artikel ini

Sebulan lalu industri hiburan Korea dikejutkan dengan berita pemergian Kim Sae Ron. Kini penyanyi terkenal Wheesung pula menghembuskan nafas terakhir.

Bintang berusia 43 tahun itu dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa di kediamannya di Gwangjin-gu, Seoul pada 10 Mac 2025. Satu picagari ditemui berdekatan mayatnya ketika pemeriksaan dilakukan.

Mendiang dijumpai sekitar pukul 6.29 petang selepas polis dimaklumkan oleh ibunya yang tinggal di pangsapuri berasingan. Keadaan mayat menunjukkan bahawa dia telah lama meninggal dunia.

Khabar duka itu turut disahkan oleh agensinya, Tajo Entertainment menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di media sosial.

Wheesung

Foto: News1

“Dengan rasa duka cita kami ingin mengumumkan bahawa artis kami, Wheesung telah meninggal dunia pada 10 Mac. Kami semua meratapi pemergian ini dengan penuh kesedihan dan berat hati,” menurut kenyataan.

Tiga Teori Pemergian Wheesung

Dalam kenyataan sama, pihak agensi memaklumkan bahawa punca kematian mendiang disebabkan oleh serangan jantung.

“Wheesung dipercayai mengalami serangan jantung di rumahnya sebelum disahkan meninggal dunia. Kami berharap orang ramai tidak menyebarkan sebarang khabar angin yang melukakan hati ahli keluarga mendiang,” katanya.

Bagaimanapun pihak berkuasa tempatan memaklumkan terdapat dua perkara yang mungkin menjadi punca pemergian penyanyi itu. Pertama, Wheesung mungkin mengambil ubat-ubatan terkawal secara berlebihan sehingga meragut nyawanya. Kedua, kemungkinan besar ia adalah kes bunuh diri. Siasatan lanjut masih dijalankan.

Wheesung meninggal dunia

Foto: Instagram

Wheesung pernah terlibat dengan isu penggunaan ubat-ubatan terlarang yang digunakan secara haram sekitar lima tahun lalu. Disebabkan kesalahan itu, dia dipenjarakan selama dua tahun.

Mendiang kembali aktif selepas dibebaskan dari penjara malah dijadualkan menyertai sebuah konsert mega bersama KCM pada 15 Mac ini. Malang, hasratnya untuk menghiburkan peminat di pentas konsert itu tidak kesampaian.

Wheesung bukan sekadar mencipta nama sebagai penyanyi tetapi juga pelakon teater muzikal dan penerbit lagu yang berjaya. Dia pernah menghasilkan pelbagai lagu hit seperti Heaven (Ailee), Sonata of Temptation (Ivy) dan Dance The Night Away (Twice).

 

Foto: Instagram

Pautan berkaitan: DIANGGAP PUNCA KEMATIAN KIM SAE RON, KERJAYA KIM SOO HYUN BAKAL BERAKHIR?