Skip to content

PEREKA FESYEN ITALI, ROBERTO CAVALLI MENINGGAL DUNIA PADA USIA 83 TAHUN

PEREKA FESYEN ITALI, ROBERTO CAVALLI MENINGGAL DUNIA PADA USIA 83 TAHUN

Kongsikan artikel ini

Raja cetakan harimau bintang dan fesyen ranggi, Roberto Cavalli menghembuskan nafas terakhirnya pada 13 April 2024.

Berita duka itu dikongsi menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram. Setakat ini, punca kematiannya masih belum didedahkan kepada umum.

“Dengan penuh rasa duka cita kami memberi penghormatan terakhir kepada pengasas kami, Roberto Cavalli. Bermula dari bawah di Florence, Roberto berjaya menjadi nama yang dicintai dan dihormati di peringkat global.

“Mempunyai bakat dan kreativiti semula jadi, Roberto percaya setiap orang mempunyai ciri-ciri artis dalam diri mereka dan boleh memupuknya sehingga berjaya. Warisan Roberto Cavalli akan terus hidup melalui kreativitinya, rasa cintanya terhadap alam semula jadi dan keluarganya yang amat dia sayangi.”

Roberto Cavalli

Foto: Getty Images

Latar Belakang Kerjaya Roberto Cavalli

Pereka fesyen legenda ini terkenal dengan kecintaannya pada warna-warna terang, cetakan haiwan dan rekaan berhias permata yang sering digayakan selebriti popular seperti Zendaya, Rihanna, Jennifer Lopez, Rita Ora dan Spice Girls. Koleksinya termasuk rekaan yang menonjolkan kulit, perincian menarik, motif eksotik dan aksen berani yang menjadikan persalinannya dikenali serta-merta.

Roberto Cavalli mengasaskan jenamanya pada tahun 1970 selepas menamatkan pengajian di Art Institute of Florence. Dia kemudiannya mencipta dan mematenkan proses percetakannya sendiri pada fabrik kulit. Sekali gus membuka kedai pertama di St. Tropez di mana dia meraih kemasyhuran menerusi barangan kulitnya.

Bakat pereka kelahiran Itali ini tidak terbatas pada koleksi pakaian sahaja. Dia membuka beberapa kelab dan kafe serta membuat rekaan kelengkapan rumah seperti kertas kertas dinding, perabot, tekstil dan sebagainya. Sebuah emper yang direka sepenuhnya oleh Roberto Cavalli pernah dipaparkan dalam rancangan The Real Housewives of Orange County tahun lalu.

Bapa kepada enam cahaya mata ini juga pernah menulis autobiografi berjudul Just Me! pada 2014. Ia menceritakan kepayahan yang dilalui dan kejayaan yang diraihnya selepas itu. Pada 2015, Roberto Cavalli berundur dari industri fesyen secara perlahan-lahan dengan menjual pegangan saham dan melepaskan kawalan kreatif. Dia melantik Peter Dundas sebagai pengarah kreatif sebelum digantikan dengan Paul Surridge dua tahun kemudian. Fausto Puglisi mengambil alih peranan itu pada 2020.

Foto: Getty Images

 

Foto: Getty Images

Pautan berkaitan: PEREKA FESYEN PIERRE CARDIN MENINGGAL DUNIA PADA USIA 98 TAHUN