REZEKI WAJAH KACUKAN MILLER KHAN
Lebih sedekad berada di seberang bukan satu tempoh masa yang singkat. Sepanjang itu jugalah Miller Khan membanting tulang mencipta nama sebagai anak seni di industri seni Indonesia yang begitu luas skopnya. Ternyata kerja kerasnya berhasil dan bakatnya semakin dipandang setelah membintangi beberapa naskhah hebat. Nama Miller Khan cukup popular sewaktu saya remaja. Budaya MySpace yang begitu kuat pengaruhnya sekitar 2000-an, yang secara tak langsung membuatkan nama Miller meledak dan kerap kedengaran. Para remaja mengidolakannya dek kerana Miller mempunyai iras Pan-Asia.
Sepet merupakan filem terawal lakonannya di persada seni lakon layar tempatan. Bermula daripada itulah, Miller mengambil keputusan untuk terus berkarya dalam dunia seni demi melaksanakan impiannya. Dan hari ini, lebih daripada sepuluh tahun keberadaan Miller menyumbang bakat sebagai anak seni, baik di Indonesia mahupun di negara sendiri, Malaysia.
Pertemuan saya bersama Miller tempoh hari adalah sempena penglibatannya untuk projek siri drama pendek Inspirasi Cinta 2018, satu produksi istimewa BluInc Media. Melalui drama tersebut, Miller bergandingan bersama Ain Edruce yang memegang peranan sebagai pasangan kekasih yang terpisah lama.
REZEKI WAJAH KACUKAN
Sewaktu usia remaja lagi, Miller telah memberanikan diri untuk mencuba nasib sebagai model dan pelakon di Indonesia. Semuanya berlaku secara tak sengaja, dia akui yang rezekinya kini lebih tertumpu di Indonesia berbanding dengan negara kelahiran sendiri. Oleh itu, masih ramai peminat yang keliru dengan asal kelahirannya. Sebab apa, dia fasih berbahasa Indonesia dan wajahnya bukanlah tipikal pelakon Melayu.
Tidak menganggap perkara tersebut sebagai satu kerugian, dia mahu terus membuktikan yang dia juga mampu berjaya mengejar impian. Bercerita mengenai kehidupan terkini, dia mampu menarik nafas lega kerana kebanyakan penerbit di sana sudah mula mempercayai pada bakat yang ada padanya.
“I’m just being me. Saya merupakan anak kelahiran Malaysia yang menetap dan bekerja di Indonesia sebagai penggiat seni. Hampir 12 tahun saya berada di sana. Ramai yang menilai saya seorang yang kasar dan ganas disebabkan rupa dan stigma mencacah tatu di beberapa bahagian badan. Hakikatnya saya bukanlah seperti itu. Saya orangnya ‘easy going’, mudah didekati, masih keanak-anakan dan punya karakter tersendiri,” jelas Miller tentang personalitinya.
Miller lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Sejak kecil lagi, ibunya sudah mendedahkan Miller kepada dunia hiburan. Ibu sering membawa Miller ke sesi casting untuk projek iklan komersial.
“Sesi casting mencetuskan rasa minat saya terhadap dunia modeling. Dan pada saya, kerja sampingan sebagai model dapat menjana pendapatan sampingan juga. Seperti yang diketahui, industri seni di Indonesia cukup besar yang pastinya sering membuka peluang untuk bakat-bakat baru. Walaupun terpaksa bersaing dengan ratusan muka baru dan lama, perkara berkenaan tidak pernah menyekat rezekinya.
“Mengapa memilih Jakarta?” soal saya. Dan saya yakin, ramai yang tertanya soalan yang sama. Balas Miller, “Saya tak pilih Jakarta. Ia hadir secara tak langsung. Melalui media sosial, saya berkenalan dengan ramai kawan termasuklah talent agency. Saya menerima mesej daripada mereka bahawa mereka mahu saya menghadiri sesi uji bakat untuk projek kempen fesyen. Lebih mengujakan, projek tersebut memerlukan saya bekerjasama dengan pelakon, Luna Maya. Bermula dari situ, pengarah menyedari keberadaan saya dan pelbagai tawaran yang diterima. Kemudiannya, saya berlakon filem dan sinetron.”
Tambah Miller lagi, mencacah tatu turut menjadi faktor watak yang diberikan begitu terhad dan klise. Penggiat seni dan peminat di Malaysia lebih gemarkan wajah asli orang Melayu. “Saya akur dengan permintaan penonton. Walau bagaimanapun, ia telah memberanikan saya untuk mengorak langkah dengan mencuba nasib di Indonesia pula. Dan rasanya, saya berjaya melakukannya.”
“Antara berlakon filem dan sinetron, yang mana satu lebih menjadi kesukaan Miller?” tanya saya lagi. “Tentu sahaja, berlakon filem. Eksplorasi karakter untuk filem lebih mendalam dan puas. Berlakon filem memerlukan persiapan dan latihan yang mencukupi. Tak seperti berlakon sinetron. Berlakon dalam sesuatu filem itu memang diberikan waktu secukupnya untuk kita fahami karakter yang diberikan.”
DUNIA SENI LAKON
Penglibatannya dalam dunia seni lakon telah mengajarnya pelbagai perkara. Padanya, seseorang pelakon itu perlu ada rasa merendah diri dan sentiasa terbuka untuk belajar benda baru. Miller berpendapat, pelakon yang berkualiti tidak berkelakuan sombong.
“Usah ajar pelakon lain dengan perkara yang tak perlu. Jangan nak tunjuk pandai. Sebab ada segelintir pelakon yang rasa mereka terlalu ‘pandai’ dan nak tunjuk bagus di hadapan orang lain. Jagalah karakter sendiri sahaja.”
“Tanggungjawab pelakon adalah seharusnya menonjolkan karakter dengan baik. Sampaikannya dengan cara yang terbaik. Lakukan permainan watak itu mengikut arahan produser atau sutradara. Lebih baik, sekiranya pelakon itu berupaya menangkap emosi penonton secara sederhana. Jangan terlalu kurang atau terlebih pula. Lakukannya dengan seimbang. Semestinya meninggalkan kesan yang mendalam,” sambung Miller lagi.
Setakat ini telah lebih daripada sepuluh karya yang pernah Miller terlibat. Tak kira watak tambahan, utama dan sebagainya, Miller akan cuba jayakannya. Walau bagaimanapun, Miller memberitahu dia semakin selektif dalam pemilihan watak. Dia tak mahu watak yang klise dan mendatar.
Drama bersiri Indonesia seperti Anugerah, Kau Bukan Anakku, Separuh Aku dan Kau Yang Berasal Dari Bintang yang pernah ditayangkan di stesen TV tempatan pasti mengenali jejaka kacak ini. Kongsinya, watak orang pekak melalui drama Separuh Aku adalah antara naskhah yang dia rasakan puas lakonanya. “Saya berlakon sebagai orang pekak. Banyak cabaran yang perlu dilalui bagi menjayakan watak tersebut. Namun, saya amat berpuas hati dengan mutu lakonan saya dalam drama itu.”
“Industri perfileman di Indonesia semakin ‘intense’. Banyak syarikat produksi baru diasaskan dengan kekuatan tersendiri. Filem genre seram pun semakin meningkat dan rasanya beberapa filem genre seram Indonesia ditayangkan di Malaysia bukan? Mungkin dah semakin banyak permintaan kut.”
Demi bertahan lama dalam industri seni lakon, Miller sentiasa mengasah kekuatannya sebagai pelakon. Dia mahu sentiasa berupaya menyampaikan sesuatu karakter itu dengan cukup berkesan. “Saya boleh perankan apa sahaja watak yang diberikan. Tiada watak-watak tertentu sahaja yang boleh saya lakonkan. Apa sahaja watak boleh dibawa, asalkan diberi ‘guidance’ yang betul,” terang Miller.
Teks, Penyelaras & Penata Gaya: Johan Kassim Grooming & Rambut: Fendi Sani
Gambar: Edmund Lee
Tags
Artikel Yang Berkaitan
7 PASANGAN SELEBRITI POPULAR DENGAN JURANG USIA KETARA
Menjalin hubungan dengan pasangan yang usianya jauh lebih muda atau lebih tua bukanlah satu perkara besar dalam dunia Hollywood.
5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD
Tiada ijazah diperlukan untuk bergelar selebriti berjaya di Hollywood namun lima bintang ini mempunyai latar belakang pendidikan yang mengagumkan.
RENAISSANCE FILEM BY BEYONCÉ DITAYANGKAN DISEMBER INI
Peminat fanatik Beyonce akan berpeluang menonton RENAISSANCE: FILEM BY BEYONCE yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA
Daripada menunggu lamaran cinta hati, barisan selebriti ini memilih untuk mengabaikan gelaran 'perigi cari timba' dan melamar lelaki idaman.
“USAH RISAU TENTANG KEMASYHURAN DAN KEKAYAAN, IA AKAN DATANG SENDIRI” – DATO’ SRI BERNARD CHANDRAN #GLALPHAMEN2023
Dengan mengangkat tema “Our Heroes” tahun ini, GLAM Lelaki mempersembahkan Dato’ Sri Bernard Chandran sebagai salah seorang Alphamen 2023 yang merupakan seorang pereka fesyen terkenal dan berbakat besar malah digelar sebagai King of Fashion Malaysia.
“JANGAN MUDAH LEKA DAN LALAI DENGAN SEGALA IMPIAN YANG INDAH DI LUAR SANA” – TOMOK #GLALPHAMEN2023
Dengan mengangkat tema “Our Heroes” tahun ini, GLAM Lelaki mempersembahkan Tomok sebagai salah seorang Alphamen 2023 yang terus gemilang mewarnai industri muzik tanah air.