WESLEY SNIPES PECAH DUA REKOD DUNIA, SALAH SATU MENERUSI DEADPOOL & WOLVERINE
Bintang Blade, Wesley Snipes melakar sejarah peribadi apabila memecahkan dua Rekod Dunia Guinness.
Pelakon itu membuat kemunculan semula sebagai pontianak jadian ‘Daywalker’ dalam filem Deadpool & Wolverine. Sekali gus menjadikannya ‘individu paling lama memegang watak aksi langsung Marvel dalam kerjaya lakonan’, menurut Rekod Dunia Guinness.
Wesley menewaskan saingannya, Hugh Jackman dengan tempoh masa 25 tahun 240 hari selepas menjayakan watak Blade buat kali pertama pada 1998.
Sementara itu Hugh membuat penampilan sulung menerusi peranan Wolverine dalam X-Men pada 2000. Dia dijangka memadam rekod yang dipegang Sir Patrick Stewart untuk watak Charles Xavier/Professor X selepas tayangan Deadpool 3. Malang buat Hugh, rekod itu dicaras oleh Wesley.
Sejarah Wesley Snipes Sebagai Blade
Ini bukan satu-satunya rekod yang berjaya dicatat Wesley. Penampilan istimewa Blade dalam filem itu juga memecah rekod ‘jurang masa terpanjang kemunculan watak sama dalam filem Marvel’, menurut Guinness.
Penampilan terakhir Wesley menerusi watak tersebut adalah dalam filem Blade: Trinity (2004), iaitu 19 tahun dan 231 hari sebelum Deadpool & Wolverine ditayangkan. Dia mengatasi jurang masa 17 tahun yang dicatat Alfred Molina dengan watak Doc Ock dalam Spider-Man 2 dan Spider-Man: No Way Home.
Blade merupakan salah satu daripada beberapa penampilan istimewa dalam Deadpool & Wolverine. Menyertainya adalah watak Marvel lain seperti Elektra (Jennifer Garner), Gambit (Channing Tatum) dan X-23 (Dafne Keen) untuk melawan Cassandra Nova (Emma Corrin) serta mutannya.
Chris Evans turut menghidupkan semula peranannya namun bukan menerusi watak Captain America, tetapi sebagai adi wira Fantastic Four, Johnny Storm.
Foto: Unilad
Pautan berkaitan: JENNIFER GARNER BUAT KEMUNCULAN EPIK SEBAGAI ELEKTRA DALAM DEADPOOL 3
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.