Skip to content

JOHN GALLIANO UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA RUMAH FESYEN MAISON MARGIELA

JOHN GALLIANO UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA RUMAH FESYEN MAISON MARGIELA

Kongsikan artikel ini

Genap sepuluh tahun berkhidmat, John Galliano memutuskan untuk melepaskan kerusi pengarah kreatif jenama mewah Perancis, Maison Margiela.

Pengumuman itu dibuat oleh Renzo Rossi, pengerusi Kumpulan OTB Itali yang merupakan pemilik jenama itu menerusi satu kenyataan rasmi.

“John menjadikan jenama ini sebagai jenama coutre paling ikonik di dunia. Kerja tangan luar biasa, pertunjukan fesyen menakjubkan dan koleksi indah yang dihasilkannya sejak sedekad lalu telah meletakkan asas kukuh untuk rekaan masa depan,” katanya.

John meninggalkan dunia fesyen pada 2011 selepas dipecat Christion Dior kerana membuat komen yang dikatakan berunsur antisemitik di sebuah bar di Paris. Tiga tahun kemudian, dia kembali mewarnai industri fesyen apabila Renzo menawarkannya kerusi pengarah kreatif Maison Margiela.

Dalam satu kenyataan, pereka Inggeris itu menzahirkan rasa bersyukur atas peluang yang diberikan kepadanya dan berjanji akan terus berkarya walaupun selepas meninggalkan jenama itu.

“Saya terus menebus kembali selepas diberi peluang, dan saya tidak akan berhenti bermimpi. Sayap saya kembali pulih 10 tahun kemudian. Saya akan selamanya bersyukur dengan ruang selamat yang diberikannya kepada saya untuk berkarya, juga sokongan padu yang tidak putus-putus,” ujarnya.

John Galliano

Foto: Getty Images

Perjalanan Kerjaya John Galliano

Pereka berusia 64 tahun ini membuat penampilan pentas sulungnya bersama Maison Margiela pada Januari 2015 dengan koleksi couture kecil yang dipersembahkan di hadapan kira-kira 100 penonton di London. Ini merupakan langkah pertama kepada kemunculan semulanya dalam industri fesyen.

John dilantik sebagai ketua pereka muda Givenchy pada tahun 1995 dan setahun kemudian, dia diangkat menjadi pengarah kreatif Christian Dior. Malangnya dia dipecat daripada jenama itu selepas 15 tahun berkhidmat.

Pereka Britain itu tidak mendedahkan destinasi seterusnya selepas ini namun berjanji akan mengumumkan kepada pencinta fesyen apabila tiba masanya kelak.

 

Foto: Getty Images

Pautan berkaitan: ALESSANDRO MICHELE SERTAI RUMAH FESYEN VALENTINO