Skip to content

APABILA REMAJA ZALIMI REMAJA. APAKAH GENERASI MILENIA KINI KIAN NAZAK?

Kongsikan artikel ini

Terkedu, sayu, buntu dan malu. Itulah gambaran perasaan penulis saat mendapat perkhabaran berita puluhan nyawa tidak berdosa melayang dalam satu tragedi kebakaran di sebuah pusat tahfiz di Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambah memeritkan apabila ia berlaku dek angkara khianat dan dendam kerana perkara sekecil zarah, yang harganya dibayar dengan nyawa yang dianggap murah. Belum lagi reda dengan kes buli yang melibatkan seorang siswa UPNM yang dipukul dan diseksa seluruh badannya dengan seterika wap sehingga mati, dan kali ini tragedi menyayat hati kebakaran di Pusat Tahfiz Ittifaqiyah menyebabkan 23 orang mati syahid. Allahuakhabar.

Apa sudah jadi dengan generasi zaman kini khususnya? Sukar sekali untuk penulis bayangkan bagaimana golongan remaja (ada yang masih di bawah umur) sanggup untuk memperlakukan tindakan maha zalim ini kepada manusia lain, walhal binatang pun tidak sekejam itu. Persoalannya, siapakah wajar dipersalahkan? Si pelaku, ibu bapa, komuniti, institusi ataupun diri kita sendiri?

Jika iya pun kes kebakaran tahfiz berpunca dari pengambilan dadah yang mengaburi minda dan akal si pelaku, namun bagaimana pula dengan kes buli di UPNM yang melibatkan remaja yang sudah akil baligh malah berpendidikan. Pernah anda terfikir perilaku dari dua kumpulan berbeda, akhirnya membawa kepada keburukan dasyat yang serupa?

Suspek-sukpek pembunuhan kadet tentera UPNM Nurfarhan.

Antara tujuh remaja yang ditahan berikutan kes khianat kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

KEPINCANGAN INSTITUSI KEKELUARGAAN

Penulis sempat menemubual Puan Hariyati Ariffin, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Shah Alam, memintanya berkongsi pandangan tentang pandangan beliau tentang isu penderaan dan buli melibatkan remaja dan kanak-kanak yang kini semakin meruncing. Kenapa agaknya mereka kini semakin ‘kejam’?

Puan Hariyati Ariffin, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Shah Alam

Jelas Puan Hariyati, “Pendidikan itu bermula di rumah. Kanak-kanak melihat dan belajar daripada suasana dan persekitaran dalam meniti usia remaja. Namun malangnya remaja zaman kini tidak lagi diterapkan dengan nilai-nilai murni, apatah lagi kekukuhan tiang agama dalam jiwa dek ibu dan bapa yang terlalu alpa mengejar cita-cita dan wang ringgit. Ini disebabkan persekitaran semasa dan tekanan lain seperti kos sara hidup, keadaan ekonomi, the needs to excel in everything dan sebagainya. Secara amnya, dari sini kita melihat kanak-kanak ini sebenarnya sudah terlebih dahulu didera emosi mereka kerana diabai dan tidak dipedulikan”.

Jadi apa benar semua ini sebenarnya berpunca dari keluarga si pelaku sendiri? Ya, ini turut disokong oleh Puan Suzana Bt Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie.

“Ada tiga sebab utama terjadinya gejala buli yang sukar dibendung ini. Pertama, inginkan perhatian. Anak-anak muda biasanya adalah mereka yang kurang mendapat perhatian daripada orang tersayang khususnya ibu bapa. Malah dilayan kasar sedangkan mereka perlukan kasih sayang. Lantaran mereka bertindak keras dan kejam semata-semata untuk mendapat perhatian dan penghargaan. Tatkala perhatian dan penghargaan tidak diperoleh, mereka bertindak memaksa. Kedua, tunjukkan kuasa. Ada antara anak-anak pembuli ini sendiri sebenarnya adalah mangsa buli di rumah sama ada oleh ibu atau bapa atau oleh adik beradik sendiri. Mereka bertindak keras dan kejam kepada rakan sebaya atau yang lebih muda untuk yakinkan diri sendiri bahawa mereka juga punyai kuasa dan tak boleh dibuli. Dan yang ketiga, media sosial. Menerusi pelbagai perkongsian yang mudah dicapai dan dikongsi, asalnya pembuli pada hakikatnya adalah seorang yang lemah, mendapat semangat berbeza daripada media yang akhirnya membentuk mereka menjadi seorang yang berbeza karekter.

Puan Hariyati juga turut mendedahkan bahawa pelbagai laman sesawang serta laman sosial yang mendedahkan aksi dan lagak prank atau gurauan sebenarnya boleh membawa kepada peniruan lantas memberikan mereka idea untuk mengikut dan mempraktikkannya. Malah, dek ketagihan satu escapism (kecenderungan untuk mencari jalan keluar dengan bantuan daripada realiti yang tidak menyenangkan, terutamanya dengan hiburan atau terlibat dalam satu-satu fantasi), akhirnya mereka semua ini terlibat dengan gejala-gejala tidak sihat bermula dengan merokok, lepak, menonton video lucah, buli, dadah dan seterusnya membunuh.

OUR ‘TIDAK APA’ ATTITUDE

Pernah anda mendengar dari mulut ibu bapa kala anak-anak mereka berkelakuan nakal, ‘alah tak apa, kan budak-budak lagi tu’, ‘biasalah kids’, ‘anak aku, anak kau’ dan lain-lain? Kami sendiri di GL merasakan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada attitude kanak-kanak zaman kini yang mulai sukar dikawal dek ketidakprihatinan ibu dan bapa sehingga ke satu tahap pengabaian domestik. Dan secara tidak langsung, sekecil-kecil pengabaian ini membuatkan mereka bebas melakukan apa saja kala beranjak ke usia remaja. Yakini mereka, ‘alah mak ayah aku okay saja, kenapa kau yang nak lebih-lebih?’

Jelas Puan Suzana, “Ibu bapa sekarang tidak lagi ingin ambil tahu dengan siapa anak-anak mereka berkawan, aktiviti mereka selepas tamat sesi persekolahan dan lain-lain kerana sibuk dengan hal duniawi”. Malangnya, apabila apa yang berlaku melibatkan darah daging pun tidak dicampuri, inikan pula apa yang terjadi di persekitaran sendiri. Tanpa ada rasa ingin peduli dan gusar dilabel ‘sibuk jaga tepi kain orang’, yakinilah konsep itu sebenarnya tidak lagi boleh digunapakai pada zaman sekarang.

Puan Suzana Bt Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie. (http://bersamasuzana.blogspot.com/)

Puan Suzana menegaskan, “Kita perlu juga ‘menjaga tepi kain orang lain’. Kadang kala, kita takkan sedar ‘kain’ kita terkoyak tanpa orang lain yang khabarkan. Inilah yang terjadi apabila ramai di kalangan kita tak berani tampil, bimbang nanti akan digertak dan dimarahi. Fikirkan andai ia berlaku di kalangan ahli keluarga anda. Mengikut peruntukan pun, ada hukuman bagi mereka yang tidak melaporkan kes dera dan buli yang dimaklumi. Sedihnya peruntukan tinggal terperap tanpa dilaksanakan menyebabkan masyarakat lupa akan tanggungjawab”

Ya, penulis yakin nasib Zulfarhan Osman Zulkarnian pasti berbeza sekiranya ada dari kalangan rakannya tampil membuka mulut tentang apa yang dilalui arwah sewaktu hidupnya, dan mungkin nasib pelajar-pelajar Pusat Tahfiz Ittifaqiyah tidak sama sekiranya ada sesiapa dari kawasan kejiranan menegur cara baik atau melaporkan pada pihak berkuasa akan kegiatan salah moral yang berlaku, malangnya tiada seorang pun yang sanggup. Sayang bukan..

Ini disokong oleh Puan Hariyati yang percaya communication breakdown adalah antara yang menyumbang kepada masalah ini. Zaman ini, tiada lagi komunikasi dua hala sesama manusia dek ramai yang beralih kepada media sosial sekiranya ingin menyuarakan sesuatu. Bagi mereka ia lebih bagus dan selamat. Bayangkan jika dua-dua pihak menyelesaikan masalah dengan cara berbincang tanpa perlu dikawal emosi dan amarah, penulis yakin kedua-dua tragedi pahit ini pasti tidak akan berlaku.

SOCIAL MEDIA INFLUENCER? DI MANA KAMU?

Jadi apa yang perlu dilakukan bagi membendung segera masalah ini? Sebagai seorang pensyarah dalam bidang komunikasi dan media, sebagai permulaan Puan Hariyati sendiri menegaskan agar media-media utama masa kini perlu memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai-nilai murni, bukan semata gosip dan isu-isu viral semata. Perbanyakkan drama, iklan, PSA yang mampu membidik keinsafan ke dalam jiwa mereka.

Jelas Puan Suzana pula, “Setiap individu dan setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan, terutama sekali ibu dan bapa. Paling mudah, jika ternampak ada remaja yang melepak, mohon leraikan. Bermula dengan lepaklah, kemudiannya akan menjurus kepada kegiatan buli sebab mereka berkumpul dan berpuak-puak. Tapi pastikan anak-anak remaja ini diberi teguran dengan baik. Kesilapan ramai orang kita adalah menegur dengan caci maki dan ayat menyakitkan hati. Nak wujudkan keadaan yang baik, perlu gunakan cara yang baik juga”.

Penulis turut mengesa kepada semua pihak terutama sekali semua social media influencers! Gunakan kuasa pengaruh anda, and please do something! Di zaman milenia ini, anda dilihat punya kuasa tanpa batasan. Used it for a good cause for once! Jangan hanya tahu menunjuk-nunjuk gaya hidup anda, membuat video-video parodi, make fun of people, tutorial tudung dan lain-lain.  Ambil peluang ini untuk kembali menyemai etika, adab dan santun di kalangan pengikut-pengikut kamu agar ia kembali jadi ikutan. Insya allah, they will gain at least something out of it.

Apa-apa pun kami di GLAM Lelaki ternyata terkesan dengan apa yang terjadi, dan ya kami risau. Kami risau akan generasi-generasi yang dilahirkan pada zaman milenia ini.  Sejujurnya, there’s something seriously wrong with today’s generation. Sebagai manusia, adakah sudah cukup sekadar coretan di kanvas digital ini dalam membantu melenyapkan terus dilema kepincangan di kalangan remaja masa kini. Sudah pasti, belum cukup! We need to do something, I mean now or else apa lagi yang akan berlaku di masa hadapan. Minta-mintalah dijauhkan. Amin..

Oleh Wan Mohd Firdaus Basaruddin (@wanmohdfirdaus), 18 September 2017

 

 

 

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

INI 8 PERKARA LELAKI MATANG TIDAK AKAN BUAT

Bacaan Lanjut

7 SEBAB LELAKI RENDAH LEBIH BAGUS UNTUK WANITA

Bacaan Lanjut
ONITSUKA TIGER MUSIM LURUH 2023 DI MILAN, ALVIN CHONG, GLENN YONG & GULF KANAWUT ANTARA TETAMU UTAMA

ONITSUKA TIGER MUSIM LURUH 2023 DI MILAN, ALVIN CHONG, GLENN YONG & GULF KANAWUT ANTARA TETAMU UTAMA

Bacaan Lanjut
KOLEKSI DISNEY X TOMMY, APA YANG MENARIK?

KOLEKSI DISNEY X TOMMY, APA YANG MENARIK?

Bacaan Lanjut
GLAM LELAKI Mierul Aiman

HOT BOY SUMMER! MIERUL AIMAN IS GLAM LELAKI MAY/JUNE’S COVER BOY

Bacaan Lanjut
MESTI TAHU! TIGA KOLEKSI BARU MUSIM PANAS 2023 PILIHAN GLAM LELAKI

MESTI TAHU! TIGA KOLEKSI BARU MUSIM PANAS 2023 PILIHAN GLAM LELAKI

Bacaan Lanjut