Skip to content

EROTIKA MELAYU

Kongsikan artikel ini

Pabila pulang ke kampung halaman, pernahkah kamu menyelak buku-buku lama yang tersusun rapi di rak kepunyaan Atuk untuk melihat buku apa yang ada? Selalunya kalau buku bertulisan Jawi ia akan lebih terarah buku berkisar agama. Tetapi jangan terkejut jika dalam deretan itu terselit satu dua buku Jawi yang mengandungi cerita-cerita erotik. Sebenarnya inilah realiti di dekad ’40-an ke ’60-an di mana lambakan buku dalam tulisan Jawi dan Rumi (yang datang kemudiaanya) memenuhi massa.

Anda mungkin terkejut dan menyangka penulisan yang punya unsur erotik hanya terbit pada zaman kita sahaja tetapi garapan seksual sudah awal lagi digunakan sedari muncul penerbitan bahan bertulisan secara besar-besaran.

Kiri ke kanan: ‘Rumah Urut’ oleh Masmera (1962), ‘Lorong Seribu Liku’ oleh Ruhi Hayat (1964) & ‘Bertandang ke Pintu Syurga Dunia’ oleh Pena Melarat (1956).

Erotik bukan Pornografi

Perkataan ‘erotik’ berasal daripada kata akar ‘eros’ yakni dewa cinta bagi  tamadun Yunani. Dalam memberikan pendefinisian cinta, orang Yunani kuno membahagikan cinta kepada empat. Yakni phileo bermaksud perasaan kasih seperti dalam persahabatan, agapao merasa bahagia dan cukup dengan sesuatu, stergo perasaan sayang dan kasih pada orang yang berada pada lapisan bawah, seperti cinta ibu bapa kepada anak dan kasih pemerintah kepada rakyat, dan erao pula adalah perasaan tersangat berahi akan sesuatu.

Namun kini, erotik seakan terpisah daripada asbab cinta itu dan lebih tertumpu pada perbuatan yang menimbulkan berahi yang selalunya jelik, melampau dan hina. Dalam bentuk ini selalunya erotik ini diidentifikasikan.

Erotika adalah satu genre penulisan yang terdapat padanya unsur yang menjemput dan bermain dengan perasaan berahi. Jadi mungkin ada yang bertanya apa yang membuatkan erotika ini berbeza dengan penulisan porno? Secara umum, bezanya adalah pada penekanan sisi sensual dan seksual dan posisi kedua-dua itu dalam penulisan secara menyeluruh. Adakah sisi seksual itu menjadi tema utama yang dihidangkan secara vivid? Atau pun sisi itu digunakan sebagai alat untuk menjemput pembaca berinteraksi secara aktif dalam garapan sensual penulisan itu?

Erotika berusaha untuk menggambarkan suatu perbuatan fizikal yang intim dalam kata-kata yang dapat mengandungi segala lapis-lapis perasaan fisiologi dan emosi. Porno pula lebih kepada menggambarkan perlakuan fizikal yang mungkin terlepas sisi perasaan dan emosi, yang sebenarnya menggerakkan perlakuan itu sedari mula.

Erotika Dalam Penulisan Melayu

Sejak tahun awal 1900, industri percetakan di tanah Melayu berkembang pesat dan banyak syarikat penerbitan tumbuh dalam suasana ini. Kebanyakan syarikat percetakan menerbitkan buku-buku dan majalah-majalah berunsur agama dan politik. Namun juga wujud bibit-bibit awal karya picisan. Terma ‘novel picisan’ ini diberikan kerana penulisan ini banyak bermain dengan adegan sensasi dan erotik sebagai penggerak plot cerita.

Novel picisan juga adalah pengkelasan bagi penulisan yang tidak dapat dikira sebagai penulisan sastera oleh pengkritik sastera. Dalam pendefinisian sastera Melayu, ia harus bertonggak pada dua prinsip; bahasa yang indah dan isi yang berfaedah.

Antara syarikat penerbitan yang banyak menerbitkan karya-karya punyai unsur erotik adalah Qalam Press. Pada waktu itu, penerbitan novel picisan adalah untuk memenuhi kehendak masyarakat terutamanya golongan muda-mudi di samping meraih pulangan wang untuk memodalkan bisnes utama syarikat penerbitan yakni menerbitkan naskhah-naskhah agama dan yang lebih serius.

‘Serang Hendap’ (1966) , katya Haron Yusof.

Dalam dekad ’40-an hingga ’60-an, banyak novel picisan diterbitkan dalam tulisan jawi pada awalnya, kemudian beralih kepada tulisan rumi oleh pelbagai pengarang. Ada di antara pengarang-pengarang ini sudah punya nama dan terkenal dengan penulisan sastera. Antara yang sering dikaitkan dengan penulisan berunsur erotik ini – atau dalam terma Prof. Ungku Maimunah, seorang pengkaji sastera Melayu yang penting, ‘sastera cabul’ – adalah Raja Mansur yang banyak menulis sekitar zaman sebelum Perang Dunia. Antara novel-novelnya ialah ‘Dua Perawan Daripada Selangor’ (1936), ‘Sekali Chium dan Tiga Kali Tempeleng’ (1936) dan ‘Tuan Kadhi Bercinta Buta’ (1937).

A. H. Edrus atau nama penanya Ahmad Lutfi juga banyak menulis adegan-adegan berahi dalam karangannya. Misalnya, novel ‘Janda’ yang menimbulkan kekecohan pada tahun 1950 apabila dijatuhkan hukuman empat kali haram oleh Mufti Johor. Justeru itu, A. H. Edrus terus menulis novel ‘Empat Kali Haram’ (1950) untuk membalas pertuduhan Mufti Johor itu. Novelnya yang lain termasuk ‘Terkorban di-Bilek 69’ (1949), ‘Bilek 69 Bandong’ (1950), ‘Anak Kiyai’ (1950) dan ‘Kawan Syaitan’ (1951).

Pengkarya lain yang turut serta dalam trend penulisan sensual ketika itu termasuk Masmera dengan novelnya ‘Rumah Urut’ (1962) dan ‘Che’ Juliana’ (1965), A. Samad Ismail dengan koleksi cerita pendeknya ‘Temasha Tinta’ (1967), Shahnon Ahmad dengan ‘Terdedah’ (1965) dan Yahya Samah yang cukup dikenali dengan penulisan erotika ini melalui buku-buku seperti ‘Layang-layang Putus Tali’ (1964), ‘Dahaga’ (1966), ‘Perahu Kecil Belayar Malam’ (1967), ‘Pecah Berderai’ (1967), ‘Anak Muda Karam di Pantai’ (1968), dan ‘Patah Dayung’ (1968).

Gaya Bahasa Erotik

Pada zaman itu, masyarakat masih hidup dalam suasana tradisional namun cara gaya kehidupan moden sudah pun mula berakar di bandar-bandar besar. Jadi perkara yang dianggap tabu untuk diceritakan secara terang dalam masyarakat tradisional sikit demi sedikit dikikis. Namun kita masih boleh melihat lenggok tradisional dalam pengisahan sesuatu perkara melalui kerapnya penggunaan bahasa simbolik.

Selain karya dalam bahasa Inggeris, penulisan berunsur erotik dalam bahasa Melayu masih mendapat tempat dan dicari oleh pembaca. Sehinggakan kebanyakan novel picisan ini turut dibekalkan kepada petugas-petugas askar sewaktu zaman darurat untuk mengisi masa lapang mereka.

Jika dilihat daripada penggunaan bahasa, mungkin kita di zaman ini akan tertawa dengan lenggoknya. Cara gaya penulisan erotik ini boleh dibahagikan kepada tiga; pertama secara perlambangan simbol, kedua secara gesture dan ketiga secara terus terang (direct).

‘Che Juliana’ ( 1965) hasil tulisan Masmera

Kebanyakan penulisan menggunakan bahasa sarat simbolisme, seperti petikan dari novel ‘Che’ Juliana’ tulisan Masmera:

Juliet mengharapkan akan sesuatu air embun dari Cikgu Muhammad untuk menyegarkan kekeringan rumputnya yang telah menguning tapi sia-sia tapi keperchayaannya penuh diharap biarlah lambat asalkan selamat.

Dalam ‘Terdedah’ tulisan Shahnon Ahmad kita boleh lihat bagaimana Shahnon secara nakal menggambarkan apa yang berlaku di dapur dengan satu bayangan erotik, dalam perenggan bila mana Sharifah memecahkan telur:

Keadaan telur merah bergelumang dengan lendir-lendir putih itu menciptakan satu senyuman pula.

Di samping itu, ada juga yang mengambil pendekatan gambaran secara jelas dan kelakuan yang menjurus kepada perbuatan seksual seperti dalam novel Haron Yusof berjudul ‘Serang Hendap’ (1966):

Tangan Leha menjalar2 di-segala tubuh Mat. Sekejap lagi, tangan itu terkena pada sebelah hadapan seluar Mat. Leha buat2 terkejut terpegang senjata Mat yang menunjul seluar-nya itu.

Gambaran secara gestur ada tarikan erotik yang misteri dan ini ternyata kurang digunakan walaupun terdapat beberapa baris yang boleh dilihat dalam novel ‘Terdedah’. Di dalam novel ini dilukiskan perbuatan kecil yang boleh membangkitkan semangat erotik si pembaca. Misalnya lirik senyum protagonisnya Sharifah yang ditempatkan pada adegan-adegan tertentu yang membolehkan pembaca merenung dan mendapat ilham erotik daripadanya.

Dalam penulisan erotik, bergantung kepada kemahiran dan keselesaan pengarang dalam melukiskan cerita. Teknik yang digunakan juga terkait rapat dengan khalayak pembacanya dan zaman di mana ianya diterbitkan. Perbezaan  suasana luaran ini juga mempengaruhi cara gaya seorang penulis.

Erotika Sebagai Alat Penarik

Sukar​ ​untuk​ ​kita​ ​dapatkan​ ​sebuah​ ​novel​ ​yang ​dalamnya​ ​sepenuhnya ​unsur​ ​erotik​ ​pada​ ​zaman itu.​ ​Kebanyakannya​ ​cuma​ ​adegan-adegan​ ​pendek​ ​yang​ ​selalunya​ ​melibatkan  ​samada​ ​perempuan janda​ ​atau​ ​anak​ ​dara​ kampung ​yang​ ​berhijrah​ ​ke​ ​bandar​ ​ataupun​ ​lelaki​ ​yang​ ​punya status​ ​baik​ ​dan​ ​terhormat ​di kalangan​ ​masyarakat​ ​seperti tok kadi, penghulu kampung atau ahli politik yang​ ​cuba​ ​menggunakan​ ​status​ untuk​ ​memuaskan nafsunya.

Walaupun​ ​kebanyakan​ ​novel ini​ ​ada​ ​diselitkan ​adegan​ ​dan​ ​perbuatan​ ​sensasi yang​ ​mungkin​ ​dapat memberikan kesan erotik, kesemua​ ​novel ini​ ​punya​ ​penyudah​ ​pengajaran.​ ​Sehinggakan terdapat prakata pada sesetengah novel ini yang cuba menjelaskan sudut moralnya dan memberi peringatan kepada pembaca supaya mengamati keseluruhan isi novel dan bukan hanya sebahagian kecil yang tertumpu kepada adegan-adegan seksual saja.

Boleh​ ​dikatakan ​unsur-unsur​ ​erotik​ ​itu​ ​cuma​ ​sekadar​ ​alat​ ​untuk​ ​menarik​ ​pembaca​ dalam​ ​memberikan​ ​mereka pengajaran​ ​moral​ ​sesudah​ ​selesai​ ​membaca​ ​keseluruhan​ ​novel​ ​itu.

 

Teks: Nazir Harith Fadzilah
Buku-buku ihsan Tintabudi Bookshop (@tintabudi)

 

By Abdul Aziz Draim
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

REXKL MELANCARKAN REXPERIENCE – SEBUAH GALERI SENI IMERSIF TERBAHARU DI KUALA LUMPUR

Bacaan Lanjut

PAMERAN VAN GOGH ALIVE KINI DI MALAYSIA

Bacaan Lanjut
LOUIS VUITTON AEROGRAM SIMBOL APRESIASI MODEN

LOUIS VUITTON AEROGRAM SIMBOL APRESIASI MODEN

Bacaan Lanjut

#GL15TAHUN HIS LASTING IMPACT, KENJI CHAI

Bacaan Lanjut

5 MUZIUM YANG PERLU DILAWATI SETIAP PEMINAT FESYEN

Bacaan Lanjut

ART IN MOTION: SNIKER IKONIK ASICS SPORTSTYLE BERSAMA ARTIS SENI ASIA TENGGARA

Bacaan Lanjut