Skip to content

HAIRUL AZREEN – KEBANGKITAN SEORANG HERO

Kongsikan artikel ini

Agak lama juga pelakon ini diintip GLAM Lelaki untuk dijadikan penghias muka hadapan tetapi belum kesampaian. Akhirnya temu janji dipersetujui, itupun tidak lama kerana lusa harinya dia sudah mahu terbang  untuk mengerjakan umrah bersama keluarga. Memang menjadi kebiasaan Hairul bekerja kuat sepanjang 11 bulan, Disember adalah masa untuk keluarga. Tidak kira bercuti di luar negara atau dalam negeri, hujung tahun dia perlu memberi tumpuan kepada keluarga.  Dia mahu bersantai bersama orang  tersayang sekaligus memberi ruang pada dirinya, tubuh dan minda untuk berehat.

Sehari sebelum penggambaran, Hairul masih lagi di Australia, berkayuh basikal bersama teman-teman. Sayang sekali usai penggambaran, GLAM Lelaki tidak sempat menemubualnya tetapi sebaliknya berbicara lewat telefon keesokan harinya.  Justeru, tidak banyak yang dapat diselami daripada dasar hati pelakon yang kini melambung nama setelah berjaya dengan watak  Leftenan Komander Arman di dalam filem PASKAL The Movie. Namun daripada entri Insta-nya, video yang dimuatnaikkan dan cerita-cerita yang ditulis mengenai pelakon bertubuh sado ini cukup untuk dibuat kesimpulan; dia lelaki biasa tetapi luar biasa dengan kehendak dalam menggapai cita-citanya.  Semangat dan jiwanya kental. Ya, seperti yang ditulis di dalam profil Instagram-nya dan diulang-ulang sebagai motivasi diri; The Best Never Rest.

Itulah Hairul Azreen. Hero Malaysia yang mula mengukir nama cemerlang di dalam genre filem aksi padat rentetan kejayaannya sebagai juara Fear Factor bersama pelakon Dazrin Kamarudin yang kemudian dijulang nama dengan PASKAL,  filem yang sempat membuatkan industri perfileman geger seketika.  Bersandarkan kisah benar Pasukan Khas Angkatan Laut yang katanya sangat-sangatlah mencabar dirinya tetapi berpuas hati diberi peluang dan kepercayaan membawa watak Leftenan Arman. Filem ini benar-benar telah membuka mata rakyat Malaysia khususnya pencinta filem tempatan. Label wajah jambu, hero cerita romantik yang sering mengekori kerjayanya sudah mula meminggirkan diri. Pun begitu bagi Hairul ini bukan bermakna dia hanya mahu memberi fokus atau berlakon aksi padat sahaja. Cuma filem aksi  adalah jiwanya. Tetapi sebagai pelakon dia mahu versatil membawa apa jua watak.

Melihat kesungguhan dia membuat latihan persediaan sebelum melakonkan watak Arman, ternyata Hairul tidak main-main dengan  dengan cita-cita dirinya. Malah dia juga menyebut membawa watak komando Pasukan Tentera Laut ibarat doa masa kecilnya yang dimakbulkan Allah. Semasa kecil dia pernah berangan-angan menjadi seorang komando. Pelakon lasak ini menanam disiplin tinggi dalam dirinya terutama di dalam membuat senaman membina tubuh  untuk memantapkan lakonannya. Latihan yang dijalani amat mencabar minda dan fizikal. Meski cedera, patah tangan dia mengumpulkan semua kekuatan dan semangat dalaman untuk meneruskan latihan juga penggambaran filem. Adakala rasa tidak mampu dan keyakinan diri yang bersilih ganti mendatangi dirinya, namun dia akan cepat-cepat merujuk kepada tandapagar #thebestneverrest.

Kekuatan minda, berjiwa lasak dengan fizikal sasa ternyata mencipta persona tersendiri pada aktor yang kini berusia 30 tahun. Dengan bilangan pengikut atau followers seramai 3.4 juta meletakkan dia sebaris dengan Neelofa, Nora Danish, Datuk Siti Nurhaliza  malah isterinya sendiri Hanis Zalikha, sehingga turut tersenarai sebagai artis Malaysia dengan followers terbanyak. Populariti Hairul serta kebolehan dalam sukan lasak juga telah  membuka pintu rezekinya dengan tawaran sebagai duta produk seperti 100 plus, Under Amour, Rudy Project dan bisnesnya sendiri seperti pakaian jenama Malead.

“Saya sangat-sangat bersyukur kerana tahun 2018 adalah tahun rahmat. Alhamdullilah tahun lepas adalah tahun rezeki saya. Walaupun dah lama berlakon tetapi hanya tahun ini filem lakonan saya betul-betul menjadi sekaligus melakar kejayaan saya dalam perfileman,” Hairul meluahkan rasa syukur kerana rezekinya di dalam lakonan dimakmurkan Allah.

SEMEMANGNYA JIWA LASAK

Sukan ekstrem, aksi lagak ngeri, segala jenis workout dan  apa juga yang sewaktu dengannya adalah jiwa Hairul. Hairul aktif bersukan waktu kecil dan dia bukan sahaja pernah bertanding kejohanan di dalam negeri sahaja  tetapi pernah mewakili Malaysia dalam kejohanan Taekwando di Thailand.  Mungkin jiwa lasak di dalam dirinya sentiasa meronta sehinggakan dia tidak pernah berasa puas dengan satu jenis sukan atau senaman sahaja. Kata Hairul langkah pertamanya di dalam bidang lakonan adalah sebagai pelagak ngeri sebelum akhirnya diberi peluang berlakon drama tv.

Untuk bacaan lanjut dapatkan isu Januari 2019 yang kini sudah berada di pasaran.

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

must watch December 2023

15 RANCANGAN ‘MUST WATCH’ SEPANJANG DISEMBER 2023

Bacaan Lanjut
hairul azreen bersara

HAIRUL AZREEN UMUM BERHENTI BERLAKON

Bacaan Lanjut
10 BAPA PALING HANGAT DI MALAYSIA PILIHAN GLAM LELAKI

10 BAPA PALING HANGAT DI MALAYSIA PILIHAN GLAM LELAKI

Bacaan Lanjut
glenn yong

“SAYA SUDAH KENALI KEKUATAN DAN KELEMAHAN DIRI SAYA” – GLENN YONG

Bacaan Lanjut

10 ‘MUST WATCH’ SEPANJANG OGOS 2022

Bacaan Lanjut
hael husaini

THE UNSTOPPABLE HAEL HUSAINI

Bacaan Lanjut