Skip to content

M. NASIR BAKAL HANGATKAN PENTAS AXIATA ARENA DENGAN CIPTA

M. NASIR BAKAL HANGATKAN PENTAS AXIATA ARENA DENGAN CIPTA

Kongsikan artikel ini

Selepas kejayaan konsert pada 2023, Dato’ M. Nasir akan menghiburkan peminat sekali lagi dengan persembahan yang lebih besar pada tahun ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, pemuzik legenda tanah air itu memaklumkan dia bakal mengadakan konsert Konsert Dato’ M.N45ir Cipta pada 10 Ogos 2014. Bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil, konsert akan bermula pada pukul 8.30 malam.

“Sebuah CIPTA untuk anda semua para pencinta karya-karya Dato’ M. Nasir. Besar maknanya CIPTA itu jika 10 Ogos 2024 nanti kita bakal bersama-sama berkumpul di bawah bumbung yang sama. 10 Ogos 2024, di bawah bumbung Axiata Arena, satu lagi sejarah terCIPTA bagi Dato’ dan penggemar melodi, muzik dan lirik-liriknya.

“Di bawah bumbung yang sama, irama dan lagu mengalir masuk ke dalam hati sanubari masing-masing dalam lingkaran kenangan terdahulu yang akan menambahkan momen masa hadapan,” tertulis di ruangan kapsyen dalam satu hantaran.

konsert m. nasir cipta

Foto: Maestro Media

Konsert itu juga bersempena ulang tahun ke-45 penglibatannya dalam industri hiburan tanah air. M. Nasir bukan saja akan mempersembahan karya popular nyanyiannya malah lagu-lagu yang diciptanya untuk penyanyi lain. Ini termasuk Padang Lalang (Hattan), Rintik Hujan Di Kelopak Mawar (Dayangku Intan) dan Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon).

Konsert anjuran Icon Entertainment ini akan turut menampilkan segmen khas sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang masih menanggung penderitaan akibat kekejaman rejim zionis di Gaza.

Tiket boleh didapati secara atas talian pada 27 Mei pukul 11 pagi menerusi laman web Ticket2u. Ia dijual pada harga RM238 (Awan Nano), RM338 (Sejati), RM458 (Fenomena), RM488 (Cinta Kristal), RM528 (Mustika) dan RM588 (Apokalips).

Foto: Instagram

M. Nasir Mahu Terus Berkarya

Walaupun sudah hampir lima dekad dalam industri seni, legenda berusia 67 tahun ini berkata dia tidak meletakkan sebarang tarikh luput pada kerjayanya.

“Selagi saya rasa saya boleh berkarya dan itu sebahagian satu pekerjaan. Bila bersara, rasa susah nak hidup. Saya risau juga. Tapi saya suka dengan bidang ini, bidang mencipta lagu.

“Kita buat daripada benda itu tak ada, kemudian ada ‘bentuk’ dan kemudian orang suka. Itu satu nikmat yang orang lain tak dapat. Jadi susah kalau ditanya bila saya nak berhenti atau apa. Selagi saya dapat rasa nikmat itu, saya susah nak berhenti,” katanya, menurut Harian Metro.

 

Foto: Instagram/Maestro Media

Pautan berkaitan: AMIR MASDI TERUJA TERAJUI KONSERT SEARCH GEMURUH