Skip to content

LAPAN TAHUN MENDERITA MASALAH BUAH PINGGANG, NAZRUL RABBANI MENINGGAL DUNIA

LAPAN TAHUN MENDERITA MASALAH BUAH PINGGANG, NAZRUL RABBANI MENINGGAL DUNIA

Kongsikan artikel ini

Kebelakangan ini industri hiburan dikejutkan dengan pemergian artis tanah air. Terbaharu adalah ahli kumpulan Rabbani, Nazrul Azhar.

Nazrul atau nama sebenarnya Mohd Nazrul Azhar Tamrin disahkan meninggal dunia di kediamannya di Saujana Utama, Sungai Buloh pada 22 Mei sekitar pukul 4.40 petang.

Pemergiannya dilaporkan berpunca daripada masalah kegagalan buah pinggang. Khabar duka itu dikongsikan ahli kumpulan Rabbani menerusi satu hantaran di Facebook.

“Al-Fatihah buat Allahyarham Nazrul Azhar Tamrin anggota Rabbani yang telah meninggal dunia sebentar tadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang bertakwa. Beliau menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Saujana Utama,” menurut kenyataan itu.

Rakan sekumpulannya Azadan Abdul Aziz berkata, dia mendapat panggilan daripada anak Nazrul pada pukul 4 petang memaklumkan Allahyarham tidak sedarkan diri dan sedang menunggu ketibaan ambulans. “Bagaimanapun dia disahkan meninggal pada pukul 4.45 petang,” katanya, menurut mStar.

Nazrul Rabbani

Nazrul Direhatkan Daripada Aktiviti Kumpulan Rabbani

Penyanyi berusia 47 tahun dikhabarkan telah menderitai penyakit buah pinggang sejak 2016. Menurut Azadan, Nazrul sudah tidak terlibat dengan sebarang persembahan Rabbani sejak lebih tujuh tahun lalu akibat penyakit itu.

“Buah pinggang arwah memang sudah lama rosak kedua-duanya. Kami juga sudah lama rehatkan dia. Hampir lapan tahun juga dia berehat. Mata pun sudah kabur,” tambahnya.

Azadan berkata dia berkesempatan berjumpa Allahyarham beberapa hari lalu untuk berbincang mengenai kutip dana bagi menampung kos rawatannya.

“Dua hari lalu saya sempat bertemunya, ketika itu tangan kirinya sedang membengkak. Kami berpakat untuk mencari dana sebanyak RM15,000 bagi tujuan pembedahan. Malangnya niat itu tidak kesampaian,” ujarnya.

 

Foto: Facebook

Pautan berkaitan: PENGHIBUR IKONIK 70-AN, HAIL AMIR MENINGGAL DUNIA