PENAMPILAN PERTAMA JEREMY ALLEN WHITE SEBAGAI ‘THE BOSS’ BRUCE SPRINGSTEEN
Filem biopik mengenai Bruce Springsteen yang dinantikan peminat akhirnya memulakan penggambaran baru-baru ini.
Dalam naskah arahan Scott Cooper ini, Jeremy Allen White diberi tanggungjawab menggalas watak sebagai pemuzik rock tersohor itu. Filem yang diberi judul Deliver Me From Nowhere menjalani penggambaran di sekitar New Jersery, New York dan Los Angeles.
Beberapa hari lalu penampilan pertama Jeremy sebagai Bruce didedahkan kepada peminat di media sosial. Dalam foto tersebut dia dilihat menggayakan kemeja kotak dengan jaket kulit berwarna hitam, saling tidak tumpah seperti pemuzik itu pada zaman mudanya.
Biopik ini berkisar tentang album klasik Bruce pada 1982 berjudul Nebraska. Ia berdasarkan buku nukilan Warren Zanes yang diterbitkan pada 2023 dengan tajuk sama. Bruce dan pengurusnya, Jon Landau dilaporkan terlibat dalam pembikinan filem ini.
Scott selaku pengarah dan penulis lakon layar memuji hasil karya Warren dan penceritaannya tentang bab penting dalam kehidupan Bruce. “Filem ini berpotensi memberi pengalaman sinematik transformatif kepada penonton, menawarkan jendela ke dalam jiwa Bruce Springsteen dan kebenaran mengenai kehidupannya,” kata Scott.
Jon turut menggelar Deliver Me From Nowhere sebagai salah satu buku terbaik yang pernah ditulis mengenai pemuzik itu.
Nebraska Karya Agung Bruce Springsteen
Pemilik nama Bruce Frederick Joseph Springsteen ini bukan saja merupakan penyanyi rock tersohor malah juga penulis lagu dan pemain gitar disegani. Diberi gelaran ‘The Boss’, dia telah mengeluarkan 21 album studio sepanjang enam dekad kerjayanya. Kebanyakan album itu menampilkan kumpulan sokongannya, E Street Band.
Album Nebraska memberi impak besar terhadap Bruce, sebagai sebuah karya agung abadi dan penanda salah satu detik paling sukar dalam hidupnya. Dia merakam album itu di sebuah rumah sewa tepi tasik di New Jersey susulan kejayaan album The River pada 1980. Lagu-lagu ini pada awalnya hanyalah demo, namun selepas berbincang dengan kumpulannya, Bruce dan Jon bersetuju menggunakan versi ini dalam album.
Dalam satu temu bual tahun lalu, Bruce berkata selepas kejayaan The River, dia ditimpa gangguan mental yang langsung tidak dijangkanya. “Saya mengalami kemurungan teruk buat pertama kali dan terfikir, ‘Saya perlu lakukan sesuatu untuk tanganinya,’” ujarnya. Dari situ terhasillah Nebraska.
Pemuzik berusia 75 tahun ini menggelar album itu sebagai ‘happy accident’. “Cadangnya saya mahu menulis beberapa lagu hebat, perdengarkan kepada kumpulan, kemudian masuk studio dan rakam. Namun setiap kali saya cuba perbaiki lagu yang saya rakam di rumah tepi tasik, ia tidak menjadi semakin baik. Jadi kami teruskan saja dengan versi demo.”
Foto: Calvin Klein/Getty Images
Pautan berkaitan: PENAMPILAN PERTAMA TIMOTHEE CHALAMET UNTUK FILEM BIOPIK BOB DYLAN
Tags
Artikel Yang Berkaitan
5 BINTANG ROCK PALING KAYA DI DUNIA PADA 2024
Barisan artis ini menghangatkan pentas dunia dan melakukan jelajah kembara besar-besaran, sehingga berjaya mencipta nama sebagai penyanyi rock terkaya dunia. Siapakah mereka?
JEREMY ALLEN WHITE BAKAL TERAJUI FILEM BIOPIK BRUCE SPRINGSTEEN
Sebuah filem Bruce Springsteen yang berkisar tentang album klasiknya pada 1982, Nebraska kini sedang dalam pembikinan.
OPPENHEIMER DIISYTIHAR FILEM BIOPIK PALING BERJAYA DALAM SEJARAH
Oppenheimer kini menjadi filem biopik yang meraih kutipan tertinggi sepanjang masa, mengatasi rekod filem muzikal Bohemian Rhapsody.
5 BINTANG ROCK TERKAYA SEPANJANG ZAMAN
Walau ada yang berpendapat muzik rock tidak segah dahulu, tuah tetap menyebelahi lima penyanyi ini.