Skip to content

PARISA ARDINA DEDAH PENGALAMAN AWKWARD DATE YANG TAK DISANGKA

Kongsikan artikel ini

Parisa Ardina Dadashpour, pempengaruh berdarah campuran Melayu dan Azerbaijan-Iran, bukan sahaja aktif dalam dunia digital sebagai pencipta kandungan, tetapi juga sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Wanita menawan ini adalah definisi sebenar beauty with brains.

 

Ceritakan sedikit tentang diri kamu. Apakah yang orang lain tidak tahu tentang Parisa?
Saya berdarah campuran Melayu dan Azerbaijan-Iran. Sesuatu yang orang tak tahu tentang saya ialah saya sangat suka makanan kampung Melayu dan sering memasaknya di rumah. Saya juga minat melukis!

PARISA ARDINA

Parisa dalam 3 patah perkataan?
Determined, artistic, empathetic.

Apakah perkembangan terkini anda?
Saya kini merupakan pelajar sepenuh masa dalam pengajian sarjana jurusan pendidikan awal kanak-kanak (semester dua), selain aktif menjalankan kempen dan menghasilkan kandungan digital di media sosial.

Apakah cabaran yang anda hadapi sebagai figura awam?
Orang ramai sering menilai saya berdasarkan apa yang mereka lihat tanpa benar-benar mengenali saya secara peribadi. Saya rasa tidak bebas memuat naik apa-apa tanpa risau disalahertikan.

Pada pendapat anda, apakah definisi seksi buat Parisa?
Seseorang itu seksi apabila dia yakin dengan diri sendiri, memiliki karisma yang hebat, serta menunjukkan kebaikan dan kerendahan hati. Kualiti seperti kejujuran dan sifat baik hati semakin jarang ditemui zaman sekarang.

Siapakah wanita/lelaki yang seksi di mata anda?
Megan Fox dan Ian Somerhalder.

Kamu rasa lelaki itu seksi bila…?
Bila dia tahu apa yang diinginkan dan tidak takut untuk mengejarnya. Dia setia kepada pasangannya dan berusaha untuk membuatkan pasangannya gembira.

PARISA ARDINA

Gambarkan lelaki idaman anda.
Lelaki yang berorientasikan keluarga, rajin dan berdedikasi (penting: tidak malas). Dia tahu mengimbangi kerjaya dan kehidupan peribadi, bersifat tulen, jujur, dan rendah hati. Dia membawa rasa selamat dalam hubungan, setia, dan boleh dipercayai. Dia tahu bagaimana membuatkan saya rasa dihargai dan difahami serta hebat dalam komunikasi. Yang paling penting, dia sanggup menghadapi jatuh bangun bersama.

Apakah ‘red flags’ pada lelaki?
Tidak jujur, tidak konsisten, kurang hormat terhadap wanita, dan tidak menunjukkan minat atau sokongan terhadap matlamat peribadi dan kerjaya saya.

Pernah mengalami ‘awkward date’ sebelum ini?
Ya, pernah. Paling canggung adalah apabila sepanjang dua jam, dia hanya bercakap tentang hartanya dan suka menunjuk-nunjuk. Dia asyik membanggakan kekayaan dan barang miliknya. Saya langsung tak diberi peluang untuk bercakap atau berkongsi minat saya. Ia sangat menjengkelkan dan membuatkan saya hilang minat.

Apakah tiga perkara yang wanita tidak patut buat jika pertama kali keluar dengan lelaki?

  1. Berpura-pura menjadi orang lain. Jadilah diri sendiri.
  2. Elakkan bercakap tentang hubungan masa lalu, masalah peribadi, atau topik sensitif.
  3. Jangan terlalu mendesak atau melanggar batasan. Tidak perlu menjadi ‘people pleaser.’

parisa ardina

Apakah nasihat anda kepada wanita yang ingin mencapai kejayaan dalam bidang mereka?
Setiap individu, tidak kira jantina, perlu tahu apa yang diinginkan. Lakukan sesuatu atas kehendak sendiri, bukan paksaan orang lain. Fokus, dan ingat bahawa hanya diri sendiri yang boleh membantu anda mencapai kejayaan.

Siapakah wanita yang menjadi inspirasi terbesar dalam hidup anda, dan mengapa?
Ibu saya! Beliau sangat tegas dalam membesarkan saya dan adik perempuan saya. Ibu sering mengingatkan kami untuk menjadi wanita berkelas dan sentiasa memperbaiki diri agar tidak mudah diambil kesempatan oleh orang lain.

Bagaimana anda menggunakan platform anda untuk mempromosikan pemerkasaan wanita?
Saya sering berkongsi tip kecantikan dan penjagaan diri kerana wanita harus sentiasa kelihatan cantik dan sihat. Berhiaslah untuk diri sendiri dan jangan takut mencuba fesyen baru selagi ia membuatkan anda selesa.

Apakah pandangan anda tentang peranan wanita dalam membentuk masa depan dunia?
Wanita zaman sekarang semakin dihormati dalam memberikan pendapat dan memimpin organisasi. Wanita mempunyai kualiti dan peluang yang sama untuk menjadi pemimpin.

Apa yang anda ingin sampaikan kepada wanita di luar sana yang masih ragu-ragu untuk mengejar impian mereka?
Lakukan sekarang atau tidak sama sekali. Tiada istilah terlambat kerana selagi anda bernafas, anda masih mempunyai peluang untuk mengejar impian.

Kredit Gambar: Parisa Ardina 

 

Artikel Berkaitan: HEROIN PROJECT EXIT: SHASHA ABEDUL TIMBA ILMU MELALUI PENGALAMAN