8 LAGU TERBAIK TAHUN 2025 PILIHAN GLAM LELAKI
Tahun 2025 menyaksikan landskap muzik tempatan dan serantau terus berkembang dengan karya yang bukan sahaja mencetuskan trend. Malah membentuk emosi, perbualan dan budaya pop.
Daripada balada, pop nostalgik hingga karya berunsur keagamaan, setiap lagu dalam senarai ini dipilih kerana impaknya yang besar untuk tahun 2025. Inilah 8 lagu terbaik tahun 2025 pilihan GLAM Lelaki, yang mencerminkan denyut nadi muzik semasa.
#1 Peluk: Hael Husaini & Nadeera
“Peluk” muncul sebagai salah satu kolaborasi paling dibicarakan tahun ini. Didorong oleh keserasian vokal Hael Husaini dan Nadeera yang begitu kuat dan semula jadi. Bertemakan hubungan jarak jauh (long-distance relationship), lagu ini terasa sangat dekat dengan realiti ramai pendengar, terutama generasi muda. Spekulasi hubungan mereka di luar studio turut menambah daya tarikan lagu ini. Manakala kejayaan muzik video yang mencatat lebih 2 juta streams di YouTube membuktikan lagu ini bukan sekadar sensasi sementara. Penyatuan suara mereka, yang pernah mencuri perhatian menerusi lagu raya Meriah Lain Macam, sekali lagi membuktikan kekuatan kolaborasi ini sebagai sesuatu yang autentik dan disukai ramai.
#2 LOWKEY: Lucidrari & Heil Nuan
Sebagai sebuah single pop yang bersahaja tetapi melekat di ingatan, “LOWKEY” berjaya menawan pendengar dengan melodi adiktif, dan lirik yang mudah dikaitkan dengan pengalaman seharian. Kolaborasi Lucidrari dan Heil Nuan menghasilkan lagu yang membawa sentuhan nostalgia, namun disampaikan dalam acuan pop moden. Strategi pelancaran lagu ini sebagai ‘soft launch’ kepada projek besar Lucidrari seterusnya juga terbukti berkesan, mencipta jangkaan dan perbualan dalam kalangan peminat. Ia adalah contoh bagaimana lagu pop yang ringkas mampu memberi impak besar.
#3 Sesaat: Aina Abdul
“Sesaat” menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni Aina Abdul. Lagu ini mengetengahkan kisah cinta singkat yang meninggalkan kesan mendalam. Satu tema universal yang disampaikan melalui lirik puitis tentang harapan dan kekecewaan. Berbeza daripada karya-karya terdahulu yang sering dikritik, “Sesaat” tampil lebih segar hasil kolaborasi Aina dengan komposer Indonesia seperti Fabio Asher, Trakast dan Yafi Aria. Perubahan ini bukan sahaja mencetuskan respons positif, malah membina semula hype terhadap Aina sebagai penyanyi yang berani keluar daripada zon selesa demi karya yang lebih bermakna.
#4 P. Ramlee & Saloma: ALPHA
Menggabungkan elemen nostalgia dengan sentuhan kontemporari, “P. Ramlee & Saloma” oleh ALPHA menjadi fenomena besar di Malaysia. Lagu ini meraih jutaan streams di Spotify dan YouTube, mendominasi carta seperti RIM’s Most Streamed Malay Singles. Serta menjadi lagu tema untuk drama popular Thariq Ridzuwan: His Treasure yang dibintangi oleh Meerqeen, Qasrina Karim, Evertts Gomes, Noki K-Clique, Thompson Goh dan ramai lagi. Sokongan padu peminat yang mengharapkan lagu ini melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) turut memperkukuh statusnya sebagai antara karya paling berpengaruh tahun ini.
#5 Ingat: ALYPH
“Ingat” oleh ALYPH membawa emosi yang mendalam dan bersifat reflektif. Menjadikannya antara lagu paling banyak dimainkan di peringkat serantau. Kejayaannya menduduki tempat teratas Southeast Asia Chart membuktikan kekuatan lagu ini merentasi sempadan Malaysia dan Singapura. Sebagai sebahagian daripada album The Storm, “Ingat” sarat dengan nuansa nostalgia dan kerinduan, menyebabkan ia mudah dikongsi dan dihayati di platform seperti TikTok dan Instagram. Penggunaan lirik lagu ini dalam kandungan media sosial memperluaskan lagi jangkauannya. Menjadikan “Ingat” sebagai lagu yang bukan sahaja didengar, tetapi dirasai.
#6 Seni Berdamai Dengan Takdir: Naim Daniel & Ustaz Adnin
Menduduki tangga nombor satu di YouTube, “Seni Berdamai Dengan Takdir” membuktikan bahawa lagu dengan mesej positif dan rohani masih mempunyai tempat yang kuat dalam arus perdana. Lagu ciptaan Naim Daniel bersama Ustaz Adnin Roslan ini mengangkat tema redha, penerimaan dan usaha berterusan dalam menghadapi kehidupan. Liriknya mengajak pendengar untuk tidak terperangkap dalam kesedihan masa lalu, sebaliknya menikmati hari ini dan memperjuangkan masa depan dengan penuh harapan. Muzik video yang menyentuh emosi, menampilkan lakonan Faizal Hussein, menambah kedalaman naratif dan menjadikan lagu ini relevan di saat ramai mencari ketenangan jiwa.
#7 Serumpun: MimiFly
Serumpun berkembang menjadi fenomena budaya yang melangkaui muzik semata-mata. Dengan melodi ceria yang menggabungkan elemen tradisional dan moden, lagu ini membawa mesej perpaduan yang kuat ketika Aidilfitri. #SerumpunChallenge di TikTok menyaksikan ribuan penyertaan. Sekali gus menjadikan lagu ini tular dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan. Kontroversi awal berkaitan penampilan Mimi Fly dalam muzik video asal akhirnya bertukar menjadi momen pembelajaran dan keberanian apabila Mimi tampil memohon maaf. Mimi dan team produksi menarik semula video tersebut dan menerbitkan versi yang lebih mesra keluarga. Tindakannya itu bukan sahaja meningkatkan populariti lagu, malah mengukuhkan mesej kebersamaan yang menjadi teras “Serumpun”.
#8 Seribu Tahun Lagi: Imran Ajmain
“Seribu Tahun Lagi” ialah kesinambungan moden kepada lagu ikonik “Seribu Tahun” yang pernah mencipta fenomena pada tahun 2007. Diterbitkan sebagai lagu tema drama popular Seribu Tahun diarahkan oleh Shahrulezad Mohameddin di Astro One terbitan Radius One Sdn. Bhd. Dibintangi pelakon hebat seperti Emma Maembong, Azhan Rani, Noorkhiriah, Zhariff Ghazi, Nazrief Nazri, Ali Reza, Laila Nasir,Ashraf Muslim, dan ramai lagi.
Lagu ini diberi nafas baharu oleh komposer Amylea Azizan, menjadikannya relevan untuk generasi masa kini. Dengan barisan pelakon hebat dan jalan cerita yang kuat, lagu ini mendapat sokongan padu penonton drama serta pendengar muzik. Ia bukan sekadar sebuah ‘remake’, tetapi reinterpretasi yang menghormati karya asal sambil memperkenalkan estetika muzik yang lebih segar.
Lapan lagu ini membuktikan bahawa tahun 2025 adalah tahun di mana muzik kembali menjadi medium emosi, identiti dan perbualan budaya. Sama ada melalui kisah cinta, pencarian diri, nostalgia atau perpaduan, setiap lagu dalam senarai ini meninggalkan kesan tersendiri . Menjadikannya bukan sekadar trending, tetapi signifikan dengan arus semasa.
Artikel Berkaitan: ZARIF GHAZZI, MEERQEEN & WAJAH BARU LEBIH SENSASI
Penulis bermata pereka, mengubah trend dan momen harian menjadi cerita bergaya;— dan juga mungkin menyerlahkan pesona.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
5 Atlet Lelaki Kacak & Mesti Kenali di Sukan SEA 2025
Sukan SEA 2025 memperkenalkan barisan atlet baharu dan sedia ada yang berada di kemuncak prestasi. Berikut lima atlet hangat mencuri tumpuan.
HAUS NOWHERE BANGKOK KINI DIBUKA DI ICONSIAM
Haus Nowhere Bangkok kini berada di Iconsiam dengan kehadiran Felix Stray Kids, Bright, Win, Orm dan Fourth di hari pembukaan. HAUS NOWHERE Bangkok kini secara rasmi dibuka di Iconsiam, menandakan butik ketiga Gentle Monster dan butik pertama Tamburins di Bangkok. Selepas kejayaan di Seoul, Shanghai dan Shenzhen, projek HAUS NOWHERE tampil sebagai ruang runcit eksperimental…
PENGALAMAN MAGIS POP-UP COACH HOLIDAY 2025
#StyledByJK bersama GL Gang, Jansen menampilkan trik mudah penggayaan musim percutian daripada koleksi Coach Holiday 2025.
5 HADIAH MENARIK SEMPENA ‘GIFTING SEASON’
5 pilihan hadiah sempena ‘gifting season’, termasuk pilihan parfum ikonik, koleksi skincare premium dan set eksklusif yang menarik.
PANTONE’S COLOUR 2026: 6 TAS TANGAN BERONA CLOUD DANCER BUAT LELAKI
Rona pilihan Pantone buat tahun 2026 merupakan Cloud Dancer dan banyak tas tangan buat lelaki boleh ditemui dalam rona penuh gaya ini.
SHARUL AIMY RAIH PINGAT EMAS DI SUKAN SEA, “SAYA GEMBIRA KEMBALI DI ATAS PODIUM KEMENANGAN.”
Sharul Aimy meraih pingat emas di Sukan SEA. Mencatat 13.833 mata pada aksi akhir dalam acara melombol lelaki.











