GL PICKS: RANCANGAN & DRAMA TV WAJIB TONTON KETIKA RAMADAN
Bulan Ramadan bukan sahaja menjadi masa umat Islam memperkukuhkan ibadah, tetapi juga waktu di mana televisyen Malaysia dipenuhi dengan program-program khas yang menyentuh jiwa. Dari rancangan masakan hingga drama penuh pengajaran dan emosi.
Sepanjang dekad, beberapa naskhah ini telah menjadi sebahagian daripada tradisi Ramadan rakyat Malaysia kerana cerita, mesej dan kenangan yang dibawa.
#1 Ketuk-Ketuk Ramadan
Disiarkan di TV1, Ketuk-Ketuk Ramadan pernah muncul sebagai antara rancangan masakan paling mendapat sambutan sepanjang bulan puasa. Konsepnya ringkas dan bersahaja. Jauh daripada produksi yang terlalu ‘curated’ atau dipentaskan. Lokasi penggambarannya yang pelbagai, dari taman rekreasi, pasar tani hinggalah ke pasar raya menjadikan program ini segar dan dekat dengan realiti kehidupan seharian.
Menampilkan barisan selebriti serta penggiat seni tempatan sebagai tetamu jemputan, ia bukan sekadar rancangan memasak, tetapi ruang santai yang menghidupkan suasana Ramadan di kaca televisyen. Tidak hairanlah ia menjadi pilihan tontonan seisi keluarga, khususnya para ibu yang mencari inspirasi juadah berbuka.
Walaupun kini tidak lagi bersiaran, klip-klip lama yang dikongsi semula di media sosial sering mengundang rasa rindu dan nostalgia mengingatkan kita pada momen Ramadan yang sederhana, namun penuh makna.
#2 Diari Ramadan Rafique
Disiarkan pada tahun 2004, Diari Ramadan Rafique muncul sebagai antara drama Ramadan yang benar-benar mencetuskan fenomena. Siri ini menampilkan gandingan pelakon kanak-kanak dan veteran yang cukup berkesan, dengan watak utama Rafique dilakonkan oleh Mirsad Kulasic. Antara pelakon utama yang lain ialah Normah Damanhuri sebagai Nenek, Mysara sebagai Maisara, Kamarul Eqifshah sebagai Sadiq, serta penampilan istimewa Rozita Che Wan dan Roy Azman.
Keistimewaan drama ini terletak pada pendekatannya yang ringan dan menghiburkan, memfokuskan telatah Rafique serta rakan-rakannya sepanjang menjalani ibadah puasa. Gelagat kanak-kanak yang lucu, nakal dan jujur dalam memahami erti berpuasa menjadikan naratifnya begitu dekat dengan pengalaman sebenar ramai penonton. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi gambaran realiti bagaimana kanak-kanak belajar erti sabar, lapar dan tanggungjawab ketika Ramadan.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa drama ini menjadi fenomena budaya pop pada zamannya. Antara tontonan wajib setiap kali menjelang waktu berbuka. Meskipun sudah lebih dua dekad berlalu, memorinya masih segar dalam ingatan. Setiap kali Ramadan tiba, nostalgia menonton bersama keluarga kembali terimbau.
Menariknya, lagu runut bunyi (OST) drama ini dinyanyikan oleh Bella Astillah, satu fakta menarik yang mungkin tidak disedari ramai ketika itu. Perkongsian semula lagu tersebut di media sosial atas permintaan peminat membuktikan bahawa Diari Ramadan Rafique bukan sekadar drama bermusim, tetapi sebuah karya yang meninggalkan kesan emosi yang berpanjangan.
@bellaastillah_94 Ramai betul permintaan lagu ni ya.. okayy saya tunaikan🙈 tapi ni suara dah besar dah😝 #DiariRamadhanRafique ♬ original sound – Bella Astillah
#3 Syurgamu Ramadan
Dalam deretan drama yang pernah menghiasi slot Ramadan, Syurgamu Ramadan barangkali antara yang paling dekat dengan rakyat Malaysia. Sebuah karya yang tidak lapuk dek waktu. Drama ini bukan sahaja mempertemukan barisan pelakon yang benar-benar menjiwai watak, malah turut memperkenalkan Almarhum Ungku Ismail Aziz kepada khalayak.
Menariknya, walaupun Ungku kemudiannya tampil dalam pelbagai naskhah lain, ramai berpendapat bahawa impaknya paling kuat tetap menerusi drama ini. Wataknya sebagai suami, anak, adik dan Pak Su ditulis dengan penuh rasa. Sederhana tetapi menyentuh jiwa penonton di kaca TV.
Fenomena drama ini jelas terasa apabila dua episod terakhirnya digabungkan menjadi satu jam siaran, susulan permintaan penonton yang tidak puas dengan durasi 30 minit seperti kebiasaan. Ia membuktikan betapa kuatnya keterikatan emosi penonton terhadap jalan cerita dan watak-wataknya.
Dari sudut skrip, mungkin ia tidak terlalu kompleks, namun sentuhan pengarahan yang kemas menjadikan keseluruhan drama ini memberikan impak yang besar buat penonton. Lakonan Ellie Suriaty berjaya mengundang rasa benci yang menyala-nyala, manakala Eira Syazira mempamerkan sisi anak yang terpinggir dengan penuh kesedihan. Zarina Zainuddin pula membangkitkan rasa marah meskipun karakternya mempunyai elemen ringan, sementara empat watak adik-beradik lain tampil tanpa kekok dan memberi persembahan yang meyakinkan.
#4 Seputeh Qaseh Ramadan
Seputeh Qaseh Ramadan merupakan siri drama televisyen Malaysia terbitan 2006 arahan Shahrulezad Mohameddin yang ditayangkan menerusi Slot Samarinda di TV3. Dibintangi oleh Eja, Arash Mohamad, Ifa Raziah dan Fahrin Ahmad. Drama ini segera mencuri perhatian penonton dan sehingga kini masih disebut-sebut setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Sebagai karya arahan Shahrulezad melalui produksi Radius One, drama ini berdiri sebaris dengan naskhah-naskhah ikonik lain sentuhannya seperti Nur dan Khunsa. Identiti pengarahannya yang sarat emosi dan konflik dalaman jelas terpancar dalam penceritaan Seputeh Qaseh Ramadan.
Plotnya mengisahkan pengorbanan seorang wanita bernama Seputih Qaseh yang berdepan ujian berat dalam perkahwinan yang tidak direstui, selain cabaran hidup yang menguji kesetiaan dan kekuatan jiwanya. Naratif yang menyentuh hati ini diperkukuh dengan lakonan mantap barisan pelakon utama. Menjadikan setiap konflik terasa dekat dan realistik.
Lebih dua dekad selepas tayangan asalnya, drama ini kekal relevan dan masih mempunyai pengikut setia. Ia turut boleh ditonton semula melalui platform digital seperti saluran YouTube Drama Sangat Official.
#5 Ramadan Yang Hilang
Ramadan Yang Hilang mula bersiaran di Slot Samarinda TV3 pada tahun 2013. Drama ini segera mencuri perhatian penonton Ramadan dengan konflik kekeluargaan yang sarat emosi serta barisan pelakon yang meyakinkan, antaranya Eira Syazira, Syatilla Melvin, Arja Lee dan Zamarul Hisham.
Mengangkat kisah dua beradik, Zafirah dan Delisha. Di mana Delisha merupakan anak angkat dalam keluarga tersebut. Drama ini berlegar pada konflik cemburu dan rasa tersisih. Layanan dan perhatian yang lebih diberikan kepada Delisha mencetuskan luka dalam diri Zafirah. Sekali gus mengheret hubungan adik-beradik itu ke dalam ketegangan yang berpanjangan.
Dalam masa yang sama, impian Zafirah untuk menjadi penulis novel terpaksa diketepikan demi membantu ayahnya menguruskan syarikat keluarga. Kesibukan itu turut menyebabkan dia menolak cinta Rafiq, hanya untuk menyaksikan perasaan lelaki tersebut beralih arah kepada Delisha. Konflik demi konflik yang memuncak menjadikan naskhah ini padat dengan emosi, pengorbanan dan kekecewaan. Lagu tema (OST) yang dinyanyikan oleh Amylea Azizan turut membantu menguatkan lagi kesan dramatik penceritaan, sekaligus menambah nilai sentimental dalam kalangan penonton.
Artikel Berkaitan: RAMADAN 2026 PENUH MAKNA: DESTINASI RASA DI LE MÉRIDIEN PUTRAJAYA
Penulis bermata pereka, mengubah trend dan momen harian menjadi cerita bergaya;— dan juga mungkin menyerlahkan pesona.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
CNY 2026: 5 FENG SHUI ‘WARDROBE HACKS’ UNTUK LELAKI
Ikuti 5 tips wardrobe feng shui untuk lelaki sempena Tahun Baru Cina 2026. Padanan warna, aksesori, tekstur dan gaya tahun ini.
GMWA 2025: ALPHA CIPTA SEJARAH DI GEMPAK MOST WANTED AWARD 2025
ALPHA mencipta sejarah berganda di GMWA 2025 dengan menjuarai Video Muzik Tergempak dan Lagu ERA Tergempak.
JACOB ELORDI ANTARA SELEBRITI PALING BERGAYA 2025
Daripada Wuthering Heights, Jacob Elordi mengukuhkan reputasi sebagai aktor versatil dan ikon gaya lelaki moden 2025.
SAINS DALAM FIRST IMPRESSION: APA WANITA PERASAN DALAM 7 SAAT
First impression seseorang lelaki ketika pertama kali bertemu merupakan satu perkara yang diambil berat oleh wanita.
PUTERI ZAHRA MARIAM: UNGKAPAN SYUKUR PRINCE MATEEN MELALUI UNGGAHAN INSTAGRAM RASMI
Denting 17 Meriam dan Harapan Baru: Sambutan Kelahiran Anak Diraja Putera Abdul Mateen, Puteri Zahra Mariam.
MULTIFORT TV BIG DATE SPECIAL EDITION: ELEGAN DENGAN SENTUHAN 70-AN
Multifort TV Big Date Special Edition tampil dalam kemasan emas kuning berani dengan gabungan gaya vintage dan presisi Swiss moden.











