Skip to content

zarif ghazzi khunsa

GLAM LELAKI FEBRUARI 2026, BERSAMA AKTOR GENERASI BAHARU ZARIF GHAZZI

Kongsikan artikel ini

Pengarah Kreatif: JOHAN KASSIM, Pengarah Seni Kanan: KHAIRANI RAMLI, Pereka Seni Grafik: HILMAN HISHAM, Pembantu Editorial: SHAKIF MD NOOR Dandanan: CKAY LIOW Grooming: ROZLAN NASIR, Gambar: CHUAN LOOI Teks & temu bual: JOHAN KASSIM

Meskipun masih baharu dalam industri, Zarif Ghazzi semakin mencuri perhatian sejak penampilannya dalam drama hit Khunsa dan Seribu Tahun. Dengan bakat yang semakin menyerlah serta kesungguhan memperhalusi setiap watak, Zarif membuktikan dirinya bukan sekadar pelakon pendatang baharu. Tetapi satu nama yang wajar diberi perhatian.

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by GLAM Lelaki (@glamlelaki)

Sebagai pelakon baharu, bagaimana Zarif melihat diri Zarif memasuki industri hiburan ini buat kali pertama? Apakah perasaan yang paling kuat ketika itu?

Sejujurnya, saya akui ada rasa gementar yang kuat apabila membuat keputusan untuk mula bertapak dalam industri hiburan. Namun, dengan sokongan keluarga dan orang-orang dalam industri ini. Saya menjadi lebih bersedia dan yakin untuk melangkah.

Apakah momen atau projek awal yang membuatkan Zarif sedar bahawa lakonan adalah sesuatu yang benar-benar ingin Zarif kejar secara serius?

Saya bermula sebagai pelakon ekstra. Tidak dinafikan, setiap pelakon ekstra pasti menyimpan impian untuk berada di tempat pelakon utama. Setiap hari di set, saya sentiasa memanifestasikan impian itu. Langkah pertama saya bermula di set drama Isteri Halal dan dari situlah saya mula membina perjalanan ini sedikit demi sedikit.

Kemeja T & seluar, COACH

Bagaimana Zarif menyesuaikan diri dengan perhatian, ekspektasi dan tekanan yang datang seiring dengan kerjaya sebagai pelakon baharu?

Sejujurnya, perkara seperti persepsi dan penerimaan sering bermain di fikiran setiap kali saya melangkah ke set baharu. Lumrah bagi pelakon baharu untuk dinilai. Jadi bagi saya, cara terbaik adalah dengan menggandakan usaha dari segi pembacaan skrip, kajian watak dan persediaan lakonan. Menggandakan usaha bukan bermaksud berlebihan di set, tetapi memastikan saya benar-benar bersedia apabila bekerja bersama pelakon senior, pengarah dan kru yang saya hormati.

Sebagai individu yang masih dalam fasa pembentukan, bagaimana Zarif memastikan diri kekal jujur dengan identiti sendiri dalam industri yang kompetitif?

Saya percaya setiap individu yang hadir dalam industri ini membawa warna dan keunikan tersendiri. Sejak awal pembabitan, saya sentiasa berpegang pada prinsip bahawa saya masih dalam proses pembelajaran. Pada saya, sehebat mana pun seseorang, mereka tetap akan terus belajar perkara baharu. Keinginan untuk menimba ilmu dan memperbaiki diri itu yang sentiasa saya pegang hingga hari ini.

Walaupun saya bersaing dengan ramai bakat lain dalam industri ini, saya percaya saya mampu mencipta sesuatu yang baharu setiap kali diberi tugasan. Sama ada melalui pembinaan watak mahupun dalam mendepani cabaran baharu. Bagi saya, setiap peluang adalah ruang untuk saya menampilkan sisi berbeza dan memberikan kelainan dalam setiap karya.

zarif ghazzi glam lelaki

Top, seluar & but kulit, PRADA

Apakah cabaran terbesar yang Zarif hadapi setakat ini dalam dunia lakonan, dan bagaimana pengalaman tersebut membentuk anda sebagai seorang pelakon?

Cabaran terbesar buat saya mungkin adalah proses menyesuaikan diri dengan persekitaran. Saya seorang yang cenderung untuk memerhati terlebih dahulu bagi memahami situasi sebelum benar-benar selesa. Kadang-kadang, sikap ini boleh disalahertikan seolah-olah saya kurang pandai bergaul. Namun begitu, ia tidak pernah menjejaskan komitmen dan kualiti kerja saya. Saya juga sedang memperbaiki diri sedikit demi sedikit agar dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam apa jua suasana.

Bagaimana proses pembelajaran Zarif sebagai pelakon. Adakah melalui latihan formal, pemerhatian atau pengalaman di set penggambaran?

Dari segi proses pembelajaran sebagai pelakon, saya ada mengikuti beberapa kelas lakonan sebelum memulakan projek tertentu. Namun saya akui, pengalaman adalah guru terbaik. Pada saya, untuk menjadi pelakon yang baik, seseorang itu perlu kaya dengan pengalaman hidup. Walaupun saya masih muda, saya telah melalui pelbagai situasi dan sering mendengar kisah serta pengalaman orang lain. Ia membantu saya berimaginasi seolah-olah saya berada di tempat mereka, sekali gus memudahkan saya menghayati dan menjayakan sesuatu watak dengan lebih berkesan.

ZARIF GHAZZI X GLAM LELAKI

Kot trench, FERRAGAMO

Apakah jenis watak atau cerita yang Zarif impikan untuk bawakan, dan mengapa ia penting bagi Zarif secara peribadi?

Impian saya adalah untuk melakonkan dua watak berbeza dalam satu filem, terutamanya watak yang mencemaskan — seorang individu yang sentiasa berada dalam keadaan terancam tetapi pada masa yang sama perlu berfikir dengan rasional untuk terus hidup. Saya sangat terinspirasi dengan filem Sinners arahan Ryan Coogler yang turut dibintangi oleh Michael B. Jordan. Bagi saya, lakon layar filem tersebut sangat indah dan penuh lapisan emosi. Saya sendiri menontonnya lebih daripada tiga kali kerana ia banyak membantu saya memahami kekuatan lakonan yang bersifat minimal tetapi berkesan.

Daripada filem itu juga, saya belajar bahawa kita tidak perlu terlalu berlebihan dalam melakonkan sesuatu adegan. Cukup dengan meletakkan emosi dan niat yang tepat dalam setiap dialog, serta mengawal bahasa tubuh dengan baik. Bagi saya, gerak-geri kecil dalam lakonan pun mampu menyentuh hati penonton jika dilakukan dengan jujur dan penuh rasa.

Siapakah figura atau pelakon yang banyak memberi inspirasi dalam membentuk pendekatan lakonan Zarif hari ini?

Sejak dahulu lagi, saya memang mengidolakan Shukri Yahaya sebagai figura yang banyak membentuk gaya lakonan saya dalam drama-drama tempatan. Hingga hari ini, pandangan saya terhadap beliau tidak pernah berubah. Selain itu, Syafiq Kyle juga antara pelakon yang memberi impak besar kepada saya. Setiap lakonan beliau sentiasa meninggalkan kesan mendalam. Saya percaya gelaran “second lead syndrome” yang sering diberikan kepada saya sedikit sebanyak terinspirasi daripada aura dan pengaruh beliau, terutamanya menerusi filem Blood Brothers: Bara Naga yang baru-baru ini mendapat perhatian ramai.

zarif ghazzi

Top, seluar & tali pinggang, PRADA

Dalam industri yang sering menilai dari luaran, bagaimana Zarif menjaga keseimbangan antara kerjaya, emosi dan kehidupan peribadi?

Perkara ini sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Sejak awal lagi, saya memang menetapkan bahawa menjadi seorang figura awam adalah impian saya. Bagi saya, menjadi figura awam bererti saya sendiri bersedia melangkah ke hadapan dan menerima bahawa kehidupan serta karya saya akan menjadi perhatian masyarakat. Saya tidak pernah sekalipun mengeluh atau menyesal dengan keputusan ini. Apa pun cabaran yang mendatang, saya akan tetap memberikan yang terbaik buat mereka yang sentiasa menyokong saya. Mereka adalah tulang belakang dan kekuatan utama saya untuk terus berdiri dalam industri ini.

Apabila Zarif melihat perjalanan ini sebagai satu permulaan, apakah harapan dan matlamat yang Zarif simpan untuk diri Zarif sebagai pelakon pada masa hadapan?

Pesanan saya, sentiasalah percaya pada diri sendiri dan jangan pernah takut untuk mencuba. Yang lebih menakutkan sebenarnya adalah apabila kita tidak berani mencuba langsung. Prinsip ini bukan sahaja saya pegang untuk diri saya, malah sering saya kongsikan kepada rakan-rakan pelakon baharu yang ingin melangkah lebih jauh. Keberanian untuk bermula dan kesungguhan untuk terus belajar itulah yang akan membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam perjalanan seni kita.

Artikel berkaitan: GLAM LELAKI FEBRUARI 2026, BERSAMA AKTOR GENERASI BAHARU JAZMY JUMA

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

WATAK LAKONAN ZARIF GHAZZI DENGAN 'SECOND LEAD SYNDROME'

WATAK LAKONAN ZARIF GHAZZI DENGAN ‘SECOND LEAD SYNDROME’

Bacaan Lanjut
duta raya 2026

9 DUTA JENAMA KOLEKSI BAJU RAYA 2026, FATTAH AMIN, ZARIF GHAZZI & SIAPA LAGI?

Bacaan Lanjut
jemput dengar

KENALI JEMPUT DENGAR, MERAYAKAN MUZIK, GAYA & INSPIRASI MERENTAS GENERASI

Bacaan Lanjut
jazmy juma abpbh 2025

Ernie Zakri, Fattah Amin, Adam Lee & Jazmy Juma Cemerlang di ABPBH ke-37

Bacaan Lanjut
aniq aqil model

ANIQ AQIL, “BERSIKAP BAIK KEPADA SEMUA ORANG, KEKAL RENDAH DIRI.”

Bacaan Lanjut
influencer lelaki malaysia

SENARAI INFLUENCER LELAKI YANG MENGINSPIRASIKAN SEMPENA HARI LELAKI SEDUNIA

Bacaan Lanjut