RECAP KLFW 2026: 10 MODEL MENYERLAH DI KLFW 2026 PILIHAN PENULIS GLAM LELAKI
Selain dari dihiasi rekaan-rekaan penuh seni, KLFW 2026 juga menampilkan barisan model yang menghiasi pentas runway dengan aura mereka.
KL Fashion Week (KLFW) 2026 sekali lagi menjadi pentas penting buat industri fesyen tempatan. Acara ini menghimpunkan barisan pereka, model dan bakat kreatif yang mencorakkan landskap fesyen Malaysia. Dengan koleksi yang semakin berani, eksperimental dan pelbagai, edisi tahun ini bukan sahaja mengetengahkan rekaan menarik. Malah, memperlihatkan wajah-wajah model yang berjaya menghidupkan setiap helaian di atas pentas peragaan.
Setiap tahun, selain daripada melihat koleksi yang diraikan di pentas runway, GLAM Lelaki turut meninjau wajah-wajah yang berjalan di pentas runway. Daripada puluhan model yang menghiasi runway sepanjang KLFW 2026, GLAM Lelaki memilih 10 nama yang paling menyerlah. Semuanya menerusi kehadiran, karakter, versatiliti dan kemampuan mereka membawa setiap look dengan identiti tersendiri. Ada yang menjadi langganan KLFW serta ada yang kembali dengan penampilan baharu. Manakala sebahagian lagi menggunakan pentas ini untuk membuktikan bahawa mereka antara wajah yang wajar diperhatikan dalam generasi model Malaysia hari ini.
#1 Rafael
Rafael sekali lagi membuktikan mengapa dirinya kekal sebagai antara wajah model yang menyerlah di KLDW 2026. Tahun ini, Rafael berjalan untuk sebanyak 14 pertunjukan dalam tahun keempat penyertaannya. Buat Rafael, setiap tahun di KLFW hadir dengan cabaran tersendiri apabila persaingan dalam dunia peragaan semakin sengit. Lebih-lebih lagi dengan kemunculan wajah-wajah baharu yang unik dan berkarakter. Pengalaman ini bukan sahaja mengajarnya untuk terus berdisiplin dan bekerja keras, malah mengingatkannya tentang kepentingan sentiasa memperbaharui penampilan serta versatiliti sebagai seorang model. Dalam masa sama, KLFW menjadi ruang buat Rafael menyaksikan perkembangan industri fesyen tempatan serta meneroka idea dan karya terbaharu daripada barisan pereka Malaysia.
Dalam banyak-banyak koleksi yang diperagakannya tahun ini, Rafael mengakui sukar untuk memilih satu kegemaran. Namun, MSYD, Kit Woo dan Huntilanak menjadi antara koleksi yang paling mencuri perhatiannya. Khususnya, Huntilanak yang berjaya membuatkan dirinya jatuh cinta dengan idea serta visi koleksi tersebut. Rafael turut menitipkan penghargaan kepada Ryan kerana memberinya peluang untuk menjadi sebahagian daripada pertunjukan berkenaan. Ketika saya memberi Rafael peluang untuk mempromosi dirinya dengan hanya 15 patah perkataan, “Saya bersemangat, yakin, versatil, beridentiti kuat, dan sentiasa menyerlah dalam setiap pentas peragaan, kempen serta kolaborasi kreatif.”
#2 Rhy
Rhy menjadi antara model yang paling menyerlah di KLFW 2026, dengan pengalaman berjalan untuk lebih daripada 20 pereka fesyen sepanjang minggu fesyen tersebut. Tahun ini juga menandakan penyertaannya yang ketiga di KLFW, namun buat pertama kalinya Rhy dipilih sebagai salah seorang KLFW Model Picks. Baginya, ia memberikan pengalaman yang jauh berbeza apabila berpeluang berhubung dengan lebih ramai pereka ketika sesi fitting serta merasai debaran bertukar daripada satu koleksi ke koleksi lain sepanjang pertunjukan.
Apabila ditanya mengenai koleksi kegemarannya, Rhy mengakui sukar untuk memilih hanya satu daripada senarai yang panjang. Namun, MSYD, Huntilanak dan kedua-dua look Kit Woo menjadi pilihan utamanya, dengan Zaimi Zulkafli sebagai honourable mention. Menggambarkan dirinya dalam 15 perkataan, Rhy berkata: “Saya Rhy, seorang model yang meminati fesyen dan kejuruteraan, dengan harapan menghubungkan kedua-duanya.”
#3 Austin
Austin menjadi antara model yang mencuri perhatian di KL Fashion Week 2026, selepas berjalan untuk 10 pertunjukan sepanjang minggu fesyen tersebut. Tahun ini turut menandakan penampilan sulungnya di KLFW, yang disifatkannya sebagai pengalaman yang cukup surreal, menyeronokkan dan penuh penghargaan. Antara koleksi yang menjadi pilihan Austin ialah MYSD, Bev C dan HUNTILANAK, yang berjaya meninggalkan kesan sepanjang penglibatannya di pentas peragaan.
Lebih daripada sekadar model, Austin melihat fesyen sebagai medium untuk mengekspresikan diri dan membina keyakinan. Memperkenalkan dirinya sebagai peminat fesyen, pencipta kandungan dan model, Austin mahu menggunakan platform yang dimilikinya untuk memberi inspirasi serta menyuntik motivasi kepada golongan lelaki agar lebih yakin terhadap diri sendiri dan mengutamakan kesejahteraan.
#4 Shika
Shika juga antara yang menarik perhatian GLAM Lelaki di KLFW 2026, selepas berjalan untuk kira-kira 15 pertunjukan, termasuk beberapa pertunjukan yang disertainya pada saat-saat akhir. Tahun ini juga menandakan penampilan sulungnya di KLFW, menjadikan pengalaman tersebut lebih istimewa buat Shika. Walaupun mengakui jadual yang padat agak meletihkan, dia tetap menganggap pengalaman itu sebagai sesuatu yang mengujakan dan amat disyukuri.
Daripada kesemua look yang diperagakannya, Shika mengakui sukar untuk memilih kerana menyukai setiap busana yang diperagakan. Namun, MSYD, UZAIR SHOID dan HUNTILANAK menjadi pilihan utamanya. Dengan keyakinan, versatiliti, tenaga yang autentik, kehadiran yang menyerlah serta sikap profesional, Shika membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar wajah di pentas peragaan, malah seorang model yang mampu membawa karakter tersendiri dalam setiap kempen, runway dan kolaborasi kreatif.
#5 Ben
Ben menjadi salah seorang model yang menyerlah di KL Fashion Week 2026, selepas berjalan untuk sebanyak 15 pertunjukan sepanjang musim kali ini. Ini merupakan tahun keduanya di KLFW. Namun, pengalaman kali ini jauh berbeza apabila Ben memilih untuk memberikan komitmen sepenuhnya selepas tidak dapat berbuat demikian pada tahun sebelumnya kerana kekangan jadual. Menurut Ben, persiapannya untuk musim ini membuahkan pengalaman runway yang lebih menyeluruh. Terutama dengan reka bentuk pentas yang lebih menarik dan jauh lebih panjang. Ia memberi ruang untuk menghayati setiap busana, berinteraksi dengan penonton serta meninggalkan impak di pentas peragaan.
Daripada kesemua pertunjukan yang disertainya, look penutup Kit Woo menerusi “Nothing Is Finished” menjadi pilihan utama Ben. Bukan sahaja tertarik dengan siluetnya, Ben mengagumi pembinaan, perincian serta ketukangan yang diterapkan pada busana tersebut. Ia membuatkannya terus menoleh kembali kepada look itu walaupun selepas selesai berjalan di pentas. Dengan membawa karakter, keyakinan dan identiti tersendiri dalam setiap peragaan, kempen dan editorial, Ben terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara model Malaysia yang wajar diperhatikan.
Baca: “KUIL CHEEN SWEE SEBAGAI INSPIRASI UTAMA KOLEKSI ALPHINE & ALCHEMY HUNTILANAK,” – RYAN
#6 Milo
Tahun ini, Milo berjalan untuk enam pertunjukan, iaitu Huntilanak, Kit Woo, UglyPretty, Phyn Studio, Bev C dan 99% Angel. Impak yang diberikan oleh Milo cukup besar menjadikannya antara model yang menyerlah pada tahun ini. Bukan lagi wajah baharu di KLFW, Milo membuat penampilan sulung pada 2023 menerusi Kit Woo. Tahun ini dirasakannya lebih sibuk berbanding edisi-edisi terdahulu. Sesuatu yang sememangnya digemarinya kerana membolehkannya terus dekat dengan industri fesyen. Lebih bermakna, pengalaman bertahun-tahun di KLFW turut membolehkannya bertemu semula dengan kenalan lama yang ditemuinya sepanjang perjalanan dalam industri.
Daripada kesemua look yang diperagakannya, Huntilanak menjadi pilihan paling istimewa buat Milo. Sebagai seorang artis, dia merasakan sisi artistik dan luar kebiasaan yang dibawa jenama tersebut begitu dekat dengan dirinya. Apatah lagi hasil kolaborasi Ryan dan Shanee yang menggabungkan visi Huntilanak dengan seni crochet. Gaya rambut blonde serta kanta lekap putih turut menjadikan look tersebut cukup dekat dengan personalitinya. Malah, Milo berseloroh bahawa korset yang dipakainya begitu sesuai sehingga kini terasa seperti “kulit kedua”. Dalam menggambarkan dirinya, Milo memilih 15 perkataan yang mencerminkan sisi berani dan eksperimentalny. Raw, shapeshifter, expressive, original, instinctive, truthful, ethereal, androgynous, experimental, creative, radical, unphased, boundless, unpredictable dan fearless. Semuanya selari dengan sikap devil-may-care yang menjadi sebahagian daripada dirinya.
#7 Paul
Model seterusnya yang menyerlah pada tahun ini ialah Paul. Walaupun ini penampilan keduanya selepas tahun 2023, Paul berjalan untuk sebanyak 17 pertunjukan sepanjang minggu fesyen tersebut. Kepulangannya tahun ini hadir dengan perubahan besar apabila Paul tampil dengan penampilan dan gaya yang berbeza. Baginya, pengalaman kali ini terasa lebih istimewa apabila dapat memperkenalkan sisi baharu dirinya. Selain itu, menyaksikan sendiri perkembangan pesat industri fesyen Malaysia. Dengan KLFW yang semakin besar serta barisan pereka yang terus bereksperimen dengan kreativiti dan kepelbagaian, Paul berasa bangga dapat kembali menjadi sebahagian daripada landskap fesyen tempatan yang semakin berkembang.
Daripada 17 pertunjukan yang disertainya, Kit Woo turut menjadi pilihan utama Paul. Sejak dahulu lagi, dia berharap mendapat peluang untuk berjalan bagi jenama tersebut. Justeru, peluang itu akhirnya menjadi sesuatu yang cukup bermakna buatnya. Menurut Paul, setiap busana yang diperagakannya bukan sahaja menepati cita rasanya, malah membolehkannya menghayati emosi koleksi ketika berada di atas pentas. Dengan ketinggian yang sesuai untuk runway, penampilan yang sentiasa segar serta personaliti yang tersendiri, Paul menggambarkan dirinya sebagai model yang “cukup tinggi untuk runway, berbau harum dan tidak meninggalkan bau yang tidak diingini pada busana pereka.”
#8 Cassie
Antara model wanita yang menarik perhatian GLAM Lelaki tahun ini ialah Cassie. Dia berjalan sebanyak 11 pertunjukan sepanjang minggu fesyen kali ini. Angka tersebut merupakan peningkatan ketara berbanding hanya tiga pertunjukan yang disertainya pada tahun lalu. Ia menjadikan edisi kali ini satu pengalaman yang cukup bermakna dan surreal buat Cassie. Dia turut melahirkan rasa terima kasih kepada barisan pereka serta pasukan yang terus memberikan kepercayaan dan peluang untuk menjadi sebahagian daripada KLFW, selain dapat menyaksikan sendiri perkembangan yang dilalui semua yang terlibat dalam tempoh setahun.
Apabila ditanya mengenai look kegemarannya, Cassie mengakui sukar untuk memilih kerana banyak busana yang diperagakannya tahun ini merupakan koleksi yang ingin ditambah ke dalam almari peribadinya. Namun, Uzair Shoid dan MSYD akhirnya menjadi pilihan utama. Dengan pendekatan yang tenang terhadap perjalanan kerjayanya, Cassie memilih untuk kekal berpijak di bumi nyata, menikmati setiap pengalaman dan mengambil segala yang hadir seadanya.
#9 Dyllon
Seperti tahun lepas, Dyllon turut mencuri perhatian sebagai antara 10 model menyerlah pilihan GLAM Lelaki di KLFW 2026. Tahun ini, dia berjalan untuk 14 pereka, jumlah yang sama seperti musim sebelumnya. Ini merupakan tahun ketiganya di KLFW dan pengalaman kali ini dirasakan jauh lebih tenang baginya. Namun, pada masa yang sama lebih menyeronokkan. Dengan pengalaman dua tahun terdahulu, Dyllon sudah lebih memahami rentak minggu fesyen, sekali gus memberinya ruang untuk melakukan lebih banyak perkara di luar pentas seperti menghasilkan kandungan dan bergaul bersama barisan model lain.
Walaupun hampir setiap look tahun ini dirasakan cukup serasi dengan dirinya, Huntilanak menjadi pilihan yang paling menonjol buat Dyllon. Memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang yakin, berani, sporty, effortless, seksi, berkarisma dan serba boleh, Dyllon turut melihat dirinya sebagai seorang yang menyeronokkan, memberi inspirasi, gemar mencuba makanan serta tidak takut mengekspresikan gaya dan personalitinya sendiri.
#10 Rowan
Nama terakhir yang mencuri perhatian pada tahun ini ialah Rowan. Tahuni ini, Rowan berjalan untuk empat pertunjukan iaitu Shaz Nash, RR by Rizman Ruzaini, L’Oréal Professionnel dan Behati. Tahun ini menandakan tahun kelimanya bersama KLFW sejak membuat penampilan sulung pada 2022. Menurut Rowan, hala tuju fesyen di KLFW sentiasa berubah dari tahun ke tahun, dengan edisi kali ini menampilkan kepelbagaian serta versatiliti yang lebih ketara. Buatnya, KLFW mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana acara inilah yang menjadi titik permulaan perjalanan kerjayanya sebagai model.
Daripada empat pertunjukan yang disertainya, look Behati menjadi pilihan kegemaran Rowan. Sememangnya gemar menggayakan busana berinspirasikan sut, Rowan merasakan look tersebut cukup dekat dengan gaya peribadinya. Praktikal, kemas dan klasik. Memperkenalkan dirinya sebagai seorang model lelaki yang cukup mencintai industri ini serta bangga dengan pencapaian Malaysia dalam dunia fesyen, Rowan terus membawa semangat dan kecintaan terhadap industri fesyen tempatan di setiap pentas yang disertainya.
Pautan berkaitan: LET’S TALK – PENINGKATAN AI SLOP DI KLFW.
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
LET’S TALK – PENINGKATAN AI SLOP DI KLFW.
Peningkatan AI slop di KLFW tahun ini membuktikan bahawa ia merupakan satu isu yang tidak boleh lagi diketepikan.
SENARAI PENAMPILAN BELLA ASTILLAH DI KLFW 2026
Selain momen-momen fesyen ikonik, KLFW juga melihatkan siri selebriti yang berpakaian serba megah termasuk Bella Astillah.
8 MOMEN PALING STANDOUT DI KLFW 2026
Dari backstage hingga ke barisan hadapan, ini lapan sorotan pilihan GLAM Lelaki dari KLFW tahun ini.
ANALISIS TREND UTAMA DI PENTAS KLFW 2026
Terokai trend utama KLFW 2026 dari sentuhan batik moden, gaya jalanan berani, hingga busana lelaki terkini di pentas peragaan tempatan.
5 PEREKA FESYEN MUDA WAJIB TAHU DI KLFW 2026
Terokai 5 pereka dan label fesyen lelaki muda yang wajib anda tonton tahun ini, daripada Huntilanak hingga MSYD.
VISI KREATIF BERWAWASAN UZAIR SHOID
Bayu, koleksi keempat oleh Uzair Shoid, terus menjadi bukti bahawa pereka fesyen dari Utara ini perlu diperhati.











