TREND GROOMING LELAKI YANG AKAN MENDOMINASI HUJUNG TAHUN 2026
Daripada skinimalism hingga teknik fragrance layering, trend grooming lelaki kini mengutamakan rutin yang ringkas dan praktikal.
Dunia grooming lelaki terus berkembang seiring perubahan gaya hidup moden. Jika dahulu rutin penjagaan diri lelaki sering dikaitkan dengan sekadar mencuci muka, menggunakan minyak rambut dan menyembur wangian sebelum keluar rumah, 2026 menyaksikan perspektif yang jauh lebih menyeluruh. Hari ini, grooming bukan lagi sekadar tentang kelihatan kemas. Ia menjadi sebahagian daripada identiti, keyakinan diri dan cara seseorang lelaki menampilkan dirinya kepada dunia.
Menjelang penghujung 2026, beberapa trend dijangka terus mencuri perhatian. Daripada penjagaan kulit yang lebih minimal hingga perhatian terhadap kulit kepala, tubuh dan kening, berikut antara trend grooming lelaki yang boleh anda perhatikan.
#1 SKINIMALISM: LEBIH SEDIKIT, LEBIH BERKESAN
Rutin penjagaan kulit yang panjang bukan semestinya lebih baik. Trend skinimalism terus mendapat tempat kerana pendekatan ini mengutamakan rutin yang lebih ringkas dengan produk yang benar-benar diperlukan. Bagi lelaki yang tidak mahu menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan cermin, asas seperti pencuci muka, pelembap dan pelindung matahari sudah menjadi permulaan yang baik. Fokus kini beralih daripada memiliki sebanyak mungkin produk kepada memahami keperluan kulit sendiri. Kulit yang sihat dan terjaga menjadi keutamaan, manakala penampilan yang terlalu “overdone” semakin ditinggalkan. The less, the better.

#2 KEPENTINGAN PENJAGAAN KULIT KEPALA
Rambut yang kelihatan sihat bermula daripada kulit kepala yang sihat. Justeru, penjagaan kulit kepala semakin dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam rutin grooming lelaki. Daripada syampu yang sesuai dengan jenis kulit kepala kepada penggunaan serum kulit kepala dan rawatan khusus, lelaki kini semakin mengambil berat tentang keadaan kulit kepala. Bukan sekadar bagaimana rambut kelihatan selepas digayakan. Pendekatan ini juga selari dengan trend rambut yang lebih natural. Daripada gaya yang terlalu keras dengan produk berlebihan, lelaki kini cenderung memilih rambut yang kelihatan sihat, ringan dan mudah diurus.
:max_bytes(150000):strip_icc()/ouaiproducts_recirc-326ad7a00991485a819fe2dd68299ad1.jpg)
Baca: NAIL ART KINI UNTUK LELAKI JUGA! TREND TERBAHARU UNTUK TAMBAH GAYA
#3 FRAGRANCE LAYERING UNTUK IDENTITI AROMA YANG LEBIH PERSONAL
Satu wangian untuk setiap hari? Tidak semestinya. Fragrance layering menjadi cara baharu untuk lelaki bereksperimen dengan aroma dan mencipta bau yang lebih tersendiri. Teknik ini melibatkan penggunaan dua atau lebih produk wangian yang mempunyai nota yang boleh saling melengkapi. Sebagai contoh, anda boleh bermula dengan body wash atau body lotion yang mempunyai aroma lembut sebelum menyempurnakan rutin dengan eau de parfum pilihan. Hasilnya, wangian tidak sekadar melekat pada kulit tetapi membentuk pengalaman aroma yang lebih kompleks. Namun, kuncinya adalah keseimbangan. Pilih kombinasi yang mempunyai karakter serasi dan elakkan terlalu banyak wangian pada satu masa.

Baca: DUA HARUMAN BAHARU YSL BEAUTY, MYSLF EAU DE TOILETTE INTENSE & LE VESTIAIRE DES PARFUMS COEUR
#4 BODY GROOMING BUKAN LAGI PERKARA TABOO
Grooming tidak berhenti pada wajah. Penjagaan tubuh lelaki kini semakin mendapat perhatian, daripada penggunaan skrub badan dan losyen badan hinggalah kepada penjagaan rambut badan. Perubahan ini mencerminkan bagaimana lelaki moden semakin selesa mengambil berat tentang keseluruhan penampilan dan kebersihan diri. Body grooming juga tidak semestinya bermaksud membuang semua rambut badan. Sebaliknya, ia lebih kepada memastikan penampilan kelihatan terurus dan sesuai dengan pilihan peribadi. Sama ada memilih untuk trim, cukur atau mengekalkan rambut badan secara natural, perkara paling penting ialah rutin yang membuatkan anda berasa selesa dan yakin.

#5 KENING LELAKI: KEMAS, BUKAN TERLALU SEMPURNA
Kening mungkin kelihatan seperti perkara kecil, tetapi ia boleh mengubah keseluruhan penampilan wajah. Untuk penghujung 2026, pendekatan yang lebih natural dijangka terus menjadi pilihan. Daripada membentuk kening sehingga kelihatan terlalu tajam, lelaki kini lebih cenderung untuk merapikan bentuk asal kening dengan membuang rambut-rambut yang tidak teratur. Hasil akhirnya? Wajah kelihatan lebih kemas tanpa kehilangan karakter semula jadi.
#6 GAYA RAMBUT LOW-MAINTENANCE SEMAKIN POPULAR
Tidak semua lelaki mempunyai masa untuk menggayakan rambut setiap pagi. Sebab itu, gaya rambut low-maintenance terus menjadi pilihan praktikal. Potongan yang mempunyai bentuk dan tekstur semula jadi membolehkan rambut kelihatan kemas tanpa memerlukan terlalu banyak produk atau masa untuk digayakan. Trend ini juga membawa satu mesej penting: rambut tidak perlu kelihatan sempurna untuk kelihatan bergaya. Potongan yang sesuai dengan bentuk wajah, tekstur rambut dan gaya hidup sebenarnya lebih penting daripada mengejar setiap trend yang muncul di media sosial.

Apa yang menarik tentang trend grooming lelaki 2026 ialah kebanyakannya tidak menuntut rutin yang rumit. Sebaliknya, fokus diberikan kepada penjagaan diri yang konsisten, penampilan yang natural dan pemilihan produk yang benar-benar sesuai dengan individu. Daripada kulit yang sihat dan rambut yang terurus kepada wangian yang menjadi identiti tersendiri, grooming kini semakin dilihat sebagai satu bentuk ekspresi diri. Kerana pada akhirnya, grooming terbaik bukanlah tentang kelihatan seperti orang lain, tetapi versi diri anda yang paling kemas, yakin dan selesa.
Pautan berkaitan: GL APA KATA: JARED CHUAH PENGASAS NATESKIN YANG MENGUBAH LANDSKAP GROOMING LELAKI
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
MEN’S FASHION WEEK SS27: BARISAN DUTA GLOBAL & BINTANG KPOP YANG DIJANGKA MENGGEGARKAN ‘FRONT ROW’
Jelajahi jangkaan barisan duta global dan bintang K-Pop di pentas Menswear RTW SS27. Ikuti perkembangan trend terkini bersama GLAM LELAKI.
BOGGI MILANO MERAIKAN KEHANGATAN PIALA DUNIA 2026 BERSAMA KOLEKSI EKSKLUSIF
Boggi Milano melancarkan Koleksi Kapsul Piala Dunia 2026 di TRX. Terokai gaya sukan mewah lelaki urban moden di sini.
CONCERT LOOK: JENAMA MALAYSIA YANG SESUAI UNTUK GAYA KONSERT ANDA
Inspirasi gaya street luxury maksimum ke konsert akan datang dengan padanan eksklusif jenama tempatan popular pilihan GLAM Lelaki.
ALPHA, BOY GROUP PALING ‘STUNNING’ & BERPENGARUH TAHUN INI
Kenali kumpulan ALPHA, ikon M-Pop paling berpengaruh tahun ini. Ketahui rahsia estetika visual dan dominasi karya hebat mereka sekarang.
5 PEREKA FESYEN LELAKI MALAYSIA YANG BERJAYA MENEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA
Kenali lima pereka fesyen lelaki Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Teroka kisah kejayaan luar biasa mereka di sini.
SWATCH X AUDEMARS PIGUET MERUNTUHKAN SEMPADAN TRADISI HOROLOGI
Kolaborasi Royal Pop antara Swatch dan Audemars Piguet kini dilancarkan bagi mencabar tradisi horologi mewah dunia. Dunia horologi global telah digegarkan oleh pelancaran kolaborasi yang paling ditunggu-tunggu tahun ini. Jenama gergasi Swatch secara rasminya telah bergabung tenaga dengan Audemars Piguet (AP). Pelancaran ini ternyata telah meruntuhkan sempadan tradisi jam tangan mewah yang sekian lama bertahan….











