NOMINASI BEST K-POP VMAS 2026: SIAPA YANG LEBIH LAYAK TERCALON?
Senarai nominasi Best K-Pop untuk MTV Video Music Awards 2026 sudah diumumkan. Namun, peminat K-Pop nampaknya mempunyai beberapa nama lain yang mereka rasakan lebih layak berada dalam senarai.
Musim anugerah kembali hangat apabila MTV Video Music Awards (VMAs) 2026 mengumumkan barisan nominasi bagi kategori Best K-Pop. Seperti biasa, kehadiran nama-nama besar dalam industri K-Pop mencetuskan keterujaan peminat, namun pada masa yang sama turut mengundang perdebatan tentang siapakah yang benar-benar layak menerima pencalonan tahun ini. Untuk edisi 2026, kategori tersebut menampilkan enam pencalonan daripada beberapa nama terbesar dan paling mendapat perhatian dalam muzik global.
Antara nama yang bersaing untuk kategori Best K-Pop ialah BLACKPINK menerusi JUMP, BTS dengan SWIM, kumpulan rookie CORTIS menerusi REDRED dan KATSEYE dengan Pinky Up. Turut tercalon ialah LE SSERAFIM bersama j-hope daripada BTS untuk SPAGHETTI, selain LISA menerusi Dream yang menampilkan pelakon Jepun, Kentaro Sakaguchi.
Barisan ini sememangnya mempunyai kuasa bintang yang besar. BLACKPINK, BTS dan LISA misalnya bukan nama asing dalam senarai anugerah antarabangsa. Manakala pencalonan CORTIS dan KATSEYE pula mencerminkan kehadiran generasi baharu yang semakin mendapat perhatian di peringkat global. Namun, apabila senarai tersebut diumumkan, sebahagian peminat mula mempersoalkan beberapa pilihan yang dibuat.
Baca: KATSEYE, ILLIT & LE SSERAFIM CURI PERHATIAN, 5 LAGI KOLABORASI RENTAS KUMPULAN K-POP YANG IKONIK
Persoalannya: Adakah enam lagu ini benar-benar representasi terbaik K-Pop untuk tahun 2026?
Perdebatan dalam kalangan peminat di media sosial mula membuka ruang kepada beberapa lagu lain yang dianggap mempunyai impak, populariti atau penerimaan yang lebih kuat sepanjang tahun ini. Antara nama yang sering disebut oleh peminat termasuk:
#1 YENA – “CATCH CATCH”
Selepas beberapa karya yang mencuri perhatian, YENA terus membuktikan dirinya sebagai antara solois wanita yang mempunyai identiti tersendiri. Catch Catch menjadi antara lagu yang disebut oleh peminat sebagai calon yang sepatutnya diberikan perhatian lebih besar. Dengan tenaga pop yang catchy dan persembahan yang menyerlahkan personaliti YENA, lagu ini mempunyai elemen yang cukup kuat untuk kategori yang meraikan K-Pop di pentas global. Bagi peminat, persoalannya bukan sekadar tentang populariti tetapi sejauh mana sesebuah lagu berjaya meninggalkan impak.
#2 HEARTS2HEARTS – “RUDE”
Sebagai antara kumpulan generasi baharu yang semakin mencuri perhatian, HEARTS2HEARTS turut disebut dalam perbincangan mengenai lagu yang terlepas daripada senarai nominasi. Rude memperlihatkan sisi yang lebih berani dan youthful. Killing part dari lagu ini juga membuktikan kejayaan Rude dalam karier mereka. Pencalonan untuk kumpulan seperti ini juga boleh dilihat sebagai satu cara untuk memberi ruang kepada generasi baharu K-Pop membina nama mereka di pentas antarabangsa.
#3 KiiiKiii – ‘404’ (New Era)
Nama KiiiKiii mungkin masih baharu bagi sesetengah pendengar global, tetapi ‘404’ (New Era) antara lagu yang mendapat sokongan daripada peminat yang merasakan kumpulan tersebut patut diberi lebih perhatian. Karya ini juga menunjukkan bagaimana kumpulan generasi baharu semakin bereksperimen dengan bunyi, visual dan identiti mereka sendiri. Jika kategori Best K-Pop mahu menjadi gambaran tentang evolusi genre tersebut, peminat berpendapat nama seperti KiiiKiii juga tidak seharusnya diketepikan.
Baca: FENOMENA CHROME HEARTS DALAM DUNIA K-POP
#4 IVE – “BANG BANG”
IVE sudah mempunyai rekod yang kukuh sebagai salah satu kumpulan wanita K-Pop paling konsisten dalam menghasilkan lagu yang mudah mendapat perhatian pendengar. Tidak hairanlah Bang Bang turut disebut apabila peminat mula membincangkan lagu yang mereka rasakan layak berada dalam senarai nominasi. Dengan hook yang kuat dan identiti pop yang cukup jelas, lagu ini mempunyai formula yang sering menjadikan karya K-Pop mudah diterima bukan sahaja oleh peminat tegar tetapi juga pendengar kasual.
#5 AESPA – “LEMONADE”
Satu lagi nama besar yang disebut ialah aespa menerusi Lemonade. aespa sememangnya mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa dan identiti muzik yang cukup kuat untuk membezakan mereka daripada kumpulan lain. Justeru, sebahagian peminat mempersoalkan mengapa Lemonade tidak mendapat tempat dalam kategori Best K-Pop tahun ini. Dengan fanbase global yang besar serta pendekatan visual dan muzik yang tersendiri, pencalonan aespa juga dilihat oleh peminat sebagai pilihan yang masuk akal.
JADI, SIAPA YANG PALING LAYAK?
Inilah bahagian yang paling subjektif. Anugerah muzik bukan semata-mata pertandingan tentang lagu yang paling popular. Faktor seperti impak, video muzik, persembahan, pencapaian komersial dan pengaruh sesebuah karya juga boleh memainkan peranan. Pada masa yang sama, populariti dalam kalangan peminat tidak semestinya diterjemahkan kepada pencalonan rasmi. Apa yang jelas, senarai nominasi Best K-Pop VMAs 2026 telah membuka satu lagi perdebatan menarik tentang arah muzik K-Pop dan siapakah yang benar-benar mewakili genre tersebut pada tahun ini.
Adakah anda bersetuju dengan senarai rasmi VMAs? Atau YENA, HEARTS2HEARTS, KiiiKiii, IVE dan aespa sebenarnya lebih layak berada dalam perlumbaan?
Pautan berkaitan: 8 KUMPULAN K-POP SELF-PRODUCED YANG MENJADI BUKTI BAKAT MEREKA
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
10 DETIK PALING DIINGATI DALAM SEJARAH MTV VIDEO MUSIC AWARDS
Imbas kembali beberapa momen bersejarah yang berlaku di pentas MTV Video Music Awards sejak ia diperkenalkan pada 1984.
10 MOMEN BERSEJARAH DI PENTAS MTV VMA
Beberapa detik paling diingati dalam sejarah MTV Video Music Awards (VMA) sejak ia diperkenalkan pada tahun 1984.







