Skip to content

THE GENTLEMEN SEASON 2: 5 SEBAB KENAPA SIRI INI WAJIB DITONTON OLEH LELAKI

THE GENTLEMEN SEASON 2: 5 SEBAB KENAPA SIRI INI WAJIB DITONTON OLEH LELAKI

Kongsikan artikel ini

Selepas kejayaan musim pertamanya, The Gentlemen Season 2 kembali dengan Theo James sebagai Eddie Horniman dengan plot baharu. 

Ada sesuatu tentang lelaki yang mengenakan sut dengan sempurna, bercakap tenang di tengah situasi kacau-bilau dan masih mampu kelihatan bergaya ketika berdepan bahaya. Itulah antara daya tarikan The Gentlemen, siri ciptaan Guy Ritchie yang menggabungkan dunia aristokrasi British dengan jenayah, humor gelap dan gaya maskulin yang cukup tersendiri. Kali ini, Eddie bukan lagi sekadar pewaris keluarga aristokrat yang cuba melarikan diri daripada dunia jenayah. Setahun selepas bekerjasama dengan Susie Glass, dia kini semakin selesa memainkan peranan sebagai pemain utama dalam empayar jenayah tersebut.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Netflix UK & Ireland (@netflixuk)

Musim kedua hadir di Netflix pada 3 September 2026, menjadikannya antara tontonan yang sesuai dimasukkan ke dalam watchlist hujung minggu ini. Tetapi selain jalan cerita dan aksi, ada beberapa sebab lain mengapa The Gentlemen cukup relevan untuk penonton lelaki. Terutamanya mereka yang mengambil berat tentang gaya, personaliti dan bagaimana seorang lelaki membawa dirinya.

#1 Gaya Effortless Old Money Eddie Horniman

Theo James sebagai Eddie Horniman merupakan antara sebab utama mengapa siri ini begitu menarik untuk ditonton. Wataknya membawa imej seorang aristokrat British yang tidak perlu terlalu mencuba untuk kelihatan berkelas. Daripada sut berpotongan kemas kepada jaket, knitwear dan pakaian formal yang bersahaja, gaya Eddie banyak bermain dengan konsep understated elegance. Tiada keperluan untuk logo besar atau trend yang terlalu menonjol. Sebaliknya, siluet, material dan potongan pakaian menjadi perkara utama.

Ini juga antara elemen yang menjadikan gaya Eddie relevan di luar skrin. Untuk mendapatkan estetika yang sama, lelaki tidak semestinya memerlukan almari penuh pakaian mahal. Sebuah blazer yang mempunyai potongan baik, kemeja putih, seluar tailored dan sepasang loafers sudah cukup untuk membina asas gaya yang lebih refined.

#2 ‘British Gentleman’ Bukan Sekadar Tentang Sut

Jika ada satu perkara yang The Gentlemen faham dengan baik, ia adalah estetika lelaki British. Dunia Eddie dipenuhi elemen yang sinonim dengan gaya British klasik. Rumah agam, kawasan luar bandar, tweed, tailoring, kasut kulit dan palet warna yang lebih neutral. Namun, semuanya diberikan sentuhan moden supaya tidak kelihatan terlalu konservatif. Konsep ini sebenarnya boleh diterjemahkan ke dalam gaya harian. Gabungkan pakaian klasik dengan item yang lebih santai seperti knit polo, seluar straight-cut atau jaket suede. Hasilnya ialah penampilan yang kelihatan effortless tetapi masih mempunyai karakter.

Kerana pada akhirnya, menjadi seorang gentleman bukan bermaksud sentiasa mengenakan sut tiga helai. Ia lebih kepada bagaimana seseorang lelaki memahami pakaian yang dipakainya dan membawanya dengan yakin.

#3 Tailoring Yang Menjadi Sebahagian Daripada Personaliti

Dalam The Gentlemen, pakaian bukan sekadar aksesori kepada watak. Ia membantu membentuk identiti mereka. Eddie misalnya, membawa imej seorang lelaki daripada dunia aristokrat yang perlahan-lahan menyesuaikan dirinya dengan kehidupan yang jauh lebih berbahaya. Perubahan dalam dirinya turut terasa melalui cara dia membawa pakaian dan tubuhnya.

Tailoring juga memainkan peranan penting dalam membina imej seorang lelaki. Sut yang baik bukan semata-mata tentang harga, tetapi tentang fit. Bahu yang tepat, panjang lengan yang sesuai dan seluar yang jatuh dengan baik boleh mengubah keseluruhan penampilan. Jadi, jika ada satu pelajaran fesyen yang boleh diambil daripada Eddie, ia mudah: fit lebih penting daripada jenama.

#4 Gabungan Aksi, Humor Dan Dunia Jenayah

Sudah tentu, The Gentlemen bukan siri fesyen. Di sebalik visual aristokratik dan pakaian yang kemas, siri ini masih merupakan sebuah drama jenayah dengan aksi, konflik kuasa dan humor gelap yang menjadi identiti Guy Ritchie. Pada musim kedua, Eddie dan Susie semakin jauh terlibat dalam empayar jenayah Bobby Glass. Mereka cuba mengembangkan perniagaan tersebut, namun keputusan yang dibuat oleh Bobby mula menimbulkan masalah baharu. Ambisi Eddie untuk mendapatkan lebih banyak kuasa juga semakin jelas.

Gabungan dunia elit British dengan jenayah menjadikan siri ini mempunyai identiti tersendiri. Ia bukan sekadar kisah gangster dan bukan juga sekadar drama aristokratik. Kedua-duanya bertembung dalam satu dunia yang penuh gaya tetapi berbahaya.

#5 Ia Mendefinisikan Semula Imej ‘Gentleman’ Moden

Mungkin perkara paling menarik tentang The Gentlemen ialah bagaimana siri ini bermain dengan idea tentang seorang gentleman. Eddie datang daripada keluarga aristokrat dan mempunyai status sosial yang tinggi. Namun, status tersebut tidak semestinya menjadikan seseorang itu seorang gentleman. Sepanjang cerita, penonton melihat bagaimana Eddie berdepan dengan kuasa, tanggungjawab, ambisi dan keputusan moralnya sendiri. Dalam dunia The Gentlemen, menjadi lelaki berkelas bukan hanya tentang apa yang dipakai, tetapi bagaimana seseorang lelaki bertindak apabila berdepan tekanan.

Dan mungkin itu yang membuatkan siri ini lebih menarik daripada sekadar sebuah drama jenayah bergaya. Seorang gentleman moden tidak perlu menjadi sempurna. Dia cuma perlu tahu siapa dirinya, mempunyai prinsip sendiri dan tahu bagaimana untuk membawa dirinya dalam apa jua keadaan. Dengan musim kedua yang kini sudah tersedia di Netflix, mungkin sudah tiba masanya untuk kembali ke dunia Eddie Horniman. Kali ini bukan sekadar untuk melihat siapa yang akan menguasai empayar jenayah, tetapi juga untuk mencuri sedikit inspirasi daripada gaya lelaki paling bergaya dalam dunia The Gentlemen.

Pautan berkaitan: NOMINASI BEST K-POP VMAS 2026: SIAPA YANG LEBIH LAYAK TERCALON?

Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

new shows march 2024

15 RANCANGAN ‘MUST WATCH’ SEPANJANG MAC 2024

Bacaan Lanjut

Theo James Disunting Boss Parfums

Bacaan Lanjut