Skip to content

“KEPALA BRO MACAM TELUR LA!” – ANGKARA ALOPESIA, AMINHAYAT BANGKIT DI SEBALIK MUSIBAH DENGAN #ADAJALANNYA

Kongsikan artikel ini

Penampilan segak menjadi keutamaannya. Namun dek tersilap langkah, dirinya menerima padah. Kehilangan ‘mahkota’ mencacatkan personalitinya. Walau angguk menerima keadaan dengan pasrah, beliau bangkit melawan penyakit dialaminya dengan tabah. Kini, walau beransur reda, dirinya tetap optimis dalam menyebar kesedaran tentang penyakit dengan bermaruah. Biarlah apa orang nak kata. Memegang prinsip dalam diri iaitu janji tuhan, setiap penyakit ada ubatnya dan ubatnya adalah diri kita sendiri, AminHayat Abd Rahim, seorang personaliti tv popular dan penyampai berita berkongsi kisah suka dan duka sepanjang dirinya bergelar Alopesian, penghidap penyakit kehilangan rambut kritikal. Jom ikuti temubual eksklusif GLAM Lelaki bersama dirinya.

GLAM Lelaki: First thing first, how are you doing now Amin?

AMINHAYAT: Alhamdulillah. Semakin sihat dan lebih berkeyakinan.

GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan tentang diri anda. Nama penuh, umur, kerjaya, tarikh lahir, asal, adik beradik, hobi dan apa saja yang ingin anda kongsikan bersama-sama pembaca kami.

AMINHAYAT: Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penulis GLAM Lelaki kerana sudi menemubual saya. Baiklah, nama penuh saya AminHayat Abd Rahim, berusia 36 tahun dan bertugas sebagai Pembantu Editor & Penyampai Berita TV9. Lahir pada 7 Nov 1981, di Johor Bahru dan merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik. Hobi saya adalah bersukan dan bersenam di gim. Kini saya menjadi Wellness Advocate untuk doTERRA Pure Therapeutic Essential Oils daripada Amerika Syarikat www.mydoterra.com/aminhayat.

Saya turut mempunyai segmen khas berkaitan kemasyarakatan #pulihkanharapan dan berkaitan kesihatan #cergastv9 & sebagai mentor kepada pelapis wartawan dan penyampai Berita TV9.

GLAM Lelaki: Anda dikenali sebagai salah seorang pembaca berita senior yang sudah lama berada di dalam industri penyiaran berita. Mungkin anda boleh ceritakan serba sedikit tentang perjalanan karier anda.

AMINHAYAT: Saya bermula daripada bawah. Latar belakang pendidikan tiada kaitan dengan penyiaran atau kewartawanan. Memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Perisian di UTM Skudai, Johor Bahru. Karier bermula pada akhir Disember 2006. Antara tamparan manis yang saya tidak akan lupakan dalam dunia kewartawanan apabila diherdik oleh Mendiang Tun Lim Keng Yaik, Menteri Komunikasi sewaktu akibat bertanyakan soalan tanpa saya faham latarbelakang isu dibangkitkan. Maklumlah, baru sahaja kurang satu minggu bekerja sebagai wartawan. Sejak itu sebelum menjalankan satu-satu tugasan, saya akan membuat kajian dahulu berkaitan isu-isu semasa. Alhamdulillah, sepanjang 11 tahun karier saya dalam bidang kewartawanan, saya telah merangkul 5 anugerah berprestij dan lebih 15 pencalonan. Pernah dipilih mewakili media Malaysia sebanyak dua kali ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UN-ESCAP di Bangkok Thailand dan pernah menjadi delegasi Malaysia ke Zurich Switzerland bagi mengkaji Polisi Dadah negara maju berkenaan.

GLAM Lelaki: Tip untuk sukses buat mereka di luar sana yang ingin menjadi seperti anda.

AMINHAYAT: Jangan jadi seperti saya tetapi jadilah lebih baik daripada saya. Jadi diri sendiri adalah yang terbaik. Lakukan sesuatu dengan ikhlas. Berjihad dengan niat murni tanpa mengharapkan balasan kerana perkara yang baik pasti akan datang tanpa kita sedar. Inshallah.

GLAM Lelaki: Baru-baru ini, anda didiagnosis dengan penyakit alopesia, iaitu penyakit keguguran rambut yang kritikal. Boleh anda kongsikan serba sedikit pengalaman awal-awal selepas mengetahui anda mengidap penyakit tersebut.

AMINHAYAT: Penyakit ini menyerang saya pada tahun 2014 dan dilihat semakin kritikal pada 2016. Akibat stress, tidur yang tidak teratur, diet kurang sihat dan akibat pengambilan serbuk protein berlebihan dan steroids menjadi penyebab utama Alopesia menyerang. Saya kemudiannya mendapatkan nasihat pakar dan dimaklumkan bahawa saya menghidap alopesia areata iaitu berkaitan autoimun.

GLAM Lelaki: Bagaimana pula anda melaluinya seharian selepas didapati anda kini penghidap Alopesia? Apa yang anda takutkan?

AMINHAYAT: Pada mulanya agar sukar. Lebih kritikal apabila ramai rakan menegur rambut saya semakin tipis dan nampak berlubang pada kulit kepala, lalu membuatkan saya lebih stres. Sehinggakan, adakala memendam rasa apabila diejek oleh teman-teman biarpun dengan nada jenaka. Namun saya menjadi lebih bersemangat apabila mendapat berita seorang penyanyi terkenal Indonesia, Julia Perrez yang diduga dengan kanser sehingga menyebabkannya botak akibat rawatan kemoterapi yang dilakukan. Cerita beliau menyuntik motivasi saya kerana masalah saya kecil berbanding beliau yang diduga dengan penyakit lebih kronik. Kami ada berhubung melalui Instagram dan pernah mendapat liputan media Indonesia. (http://www.bennyrhamdani.com/2016/05/terinspirasi-jupe-pembaca-berita.html)

Namun saya merasa sedikit terkilan kerana tidak sempat menziarahi Jupe ketika beliau terlantar sakit di hospital. Akhirnya, Allah lebih menyayanginya pada Ramadan lalu. Semoga roh Allahyarhamah Julia Perrez ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Inshallah.

GLAM Lelaki: Dari pandangan mata anda sendiri, bagaimana anda boleh menghidap penyakit ini. Khabarnya kerana anda obses untuk kelihatan sado adalah antara punca utama.

AMINHAYAT: Iya benar. Pengambilan steroids dan serbuk protein yang tidak dikawal, menjadi punca utama Alopesia menyerang saya. Sememangnya kesan tidak dapat dilihat secara singkat tetapi kesan jangka panjang. Saya tidak menyalahkan sesiapa untuk mengambil steroid atau makanan tambahan kerana itu hak peribadi tetapi perlu ada pengawasan orang yang berpengalaman dan pakar.

GLAM Lelaki: Kongsikan dengan pembaca kesan penyakit ini yang tidak semua tahu.

AMINHAYAT: Sudah pasti kesan paling ketara adalah motivasi dan keyakinan merudum. Justeru, beri semangat kepada mereka yang mengalami masalah Alopesia bukan menjadikan kami sebagai bahan jenaka seperti yang berlaku sebelum ini, memalukan Malaysia apabila segelintir mengutuk seorang pesakit Alopesia Totalis dengan kata-kata kasar dan enak didengar. Pendedahan berkaitan Alopesia penting di Malaysia kerana ramai lagi tidak tahu apakah itu Alopesia. Apakah kesan kepada golongan yang diduga dan bagaimana cara merawatnya. Boleh rujuk laporan berkaitan Alopesia di TV9 https://www.youtube.com/watch?v=cLwcb1C4hpQ&t=3s.

GLAM Lelaki: Bagaimana pula dengan rawatan yang diambil. Mungkin anda boleh kongsika sedikit dari segi pemanakan, rutin, gaya hidup dan sebagainya?

AMINHAYAT: Sepanjang tempoh setahun, saya telah melakukan beberapa rawatan khas berkaitan Alopesia. Disebabkan masalah ini bergantung kepada tubuh individu, rawatan bagi setiap klien yang diserang Alopesia mungkin berbeza. Berikut jenis-jenis rawatan secara luaran dan dalaman yang saya lakukan sepanjang tempoh lebih satu tahun. Rawatan luaran yang dilakukan sepanjang tempoh Alopesia di Clique Clinic (Instagram @clique_clinic):

  1. iGrow Helmet
  2. Steroid injection
  3. Platelet Rich Plasma (PRP) injection
  4. Platelet Rich Plasma (PRP) laser
  5. Excimer Laser Therapy

Ini pula rawatan dalaman yang dilakukan sepanjang tempoh Alopesia. Rawatan ini bagi memulihkan emosi secara spiritual. Ia bertujuan membangkitkan keyakinan dan motivasi diri.

  1. Hydrotherapy Ice di Color Vibration Therapy (Instagram @hydrotherapyice)
  2. doTERRA Essential Oil www.mydoterra.com/aminhayat

GLAM Lelaki: Anda dikhabarkan melancarkan kempen Aku Alopesia #adajalannya. Ceritakan serba sedikit tentang kempen yang anda jalankan ini, perancangan untuk masa-masa hadapan dan sebagainya.

AMINHAYAT: Alhamdulillah, dengan kerjasama Clique Clinic dan rakan-rakan media, kempen Alopesia telah dapat dilaksanakan dengan jayanya pada 24 Ogos lalu. Pelbagai maklumbalas diterima dari dalam dan luar negara seperti Indonesia dan Singapura. Saya telah pun mewujudkan support group khas berkaitan Alopesia. Kepada sesiapa yang ingin menyertai group kami boleh hubungi saya di media sosial. Memberi ceramah berkaitan Alopesia sebagai acara tahunan adalah perancangan di masa hadapan.

GLAM Lelaki: Apakah hikmah yang anda nampak di sebalik apa yang berlaku?

AMINHAYAT: Selepas membuat kajian dan menerima sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan juga majikan, masalah ini bukan satu masalah besar tetapi rahmat daripada Tuhan. Saya bersyukur sebagai Penyampai Berita, diberi dugaan seperti ini untuk dikongsikan pengalaman bersama golongan senasib di luar sana yang mungkin segan atau malu untuk ke depan untuk membicarakan masalah berkenaan.

Pengalaman bergelar ‘Alopesian’ mengajar saya erti sabar, redha dan sentiasa berfikiran positif. Persoalan demi persoalan, adakah saya diterima lagi untuk bersiaran sebagai seorang Penyampai Berita? Bagaimana pula penerimaan masyarakat terhadap imej baharu saya ketika itu? Adakah saya ditakdirkan berimej sedemikian sehingga ke akhir hayat saya?

Menariknya, penampilan botak saya ketika menyampaikan berita, ianya telah menjadi viral sehingga ada yang menyamakan saya dengan watak Prof X dalam X-Men, watak komik Super Saiyan, ikon dunia Mahatma Gandhi dan juga watak permainan video, Hitman. Terima kasih kepada semua yang memberikan komen sama ada positif atau sebaliknya dengan penampilan berkenaan. Saya hargai semua itu.

GLAM Lelaki: Nasihat yang boleh anda berikan mereka semua yang terlampau ingin mengubah diri (atas desakan persekitaran) sampai mengabaikan kesihatan diri.

AMINHAYAT: Mengubah diri kepada yang lebih baik adalah digalakkan. Pastikan, perubahan yang diinginkan itu tidak melanggar hukum atau memudaratkan diri sendiri di kemudian hari. Fikir dahulu sebelum membuat keputusan. Bijak dalam mengatur langkah kehidupan. Tiada jalan mudah dalam apa jua perkara. Love yourself more!

GLAM Lelaki: Kata-kata terakhir anda?

AMINHAYAT: Kita adalah sebaik-baik kejadian. Sempurna biarpun kita memiliki kekurangan. Jadikan kekurangan itu sebagai satu kelebihan untuk kita menjadi lebih baik. Jika kita mempunyai masalah, jangan anggap ia sebagai satu bebanan tetapi anggaplah ia sebagai satu rahmat atau teknikal yang mampu kita ubah. Janji tuhan, setiap penyakit ada ubatnya dan ubatnya adalah diri kita sendiri.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 15 Disember 2017

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

9 KERABAT DIRAJA BRITAIN YANG MENGHIDAP KANSER

9 KERABAT DIRAJA BRITAIN YANG MENGHIDAP KANSER

Bacaan Lanjut
8 KERABAT DIRAJA BRITAIN YANG ANDA TIDAK TAHU MENGHIDAP KANSER

8 KERABAT DIRAJA BRITAIN YANG ANDA TIDAK TAHU MENGHIDAP KANSER

Bacaan Lanjut
RAJA CHARLES III TUNDA TUGAS RASMI AKIBAT KANSER

RAJA CHARLES III TUNDA TUGAS RASMI AKIBAT KANSER

Bacaan Lanjut
TEKNIK PERNAFASAN MUDAH UNTUK TIDUR LEBIH LENA & BERKUALITI

TEKNIK PERNAFASAN MUDAH UNTUK TIDUR LEBIH LENA & BERKUALITI

Bacaan Lanjut
kesihatan kaki

5 TIP PENJAGAAN KAKI LELAKI UNTUK KEKAL SIHAT

Bacaan Lanjut

BENTUK OTOT DALAM 30 HARI

Bacaan Lanjut