Skip to content

‘KRITIK LAH APA SAJA, YANG PENTING SAM YAKIN & SELESA’ – RESPON BALAS BRIAN KHOO PEREKA BUSANA ‘NASI LEMAK’ MISS UNIVERSE

Kongsikan artikel ini

Niat dirinya memartabatkan khazanah negara dengan interperatasi sendiri, menjadi topik bualan hingga ke hari ini. Ada memuji, tidak kurang menghina dan mencaci. Gaun ‘nasi lemak’ direka dengan penuh penjiwaan, malangnya tidak semua sanggup ‘telan’, sehingga ada membanding-bandingkan. Pun begitu, polemik yang dicetuskan langsung tidak memberi kesan pada Brian Khoo, pereka fesyen muda bertanggungjawab menghasilkan kostum nasional yang bakal disarung ratu cantik Malaysia, Samantha Katie James pada pertandingan Miss Universe 2017 di Las Vegas akhir bulan ini. Katalah apa saja, kerana bagi beliau, kreativiti itu subjektif. Ya, betul juga! Pandangan kami, others hate it, but the rest might be fine with it. Sekian lama mendiamkan diri, penulis mendapatkan beliau untuk respon balas eksklusif darinya. Teruskan membaca..

GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan serba sedikit tentang diri anda.

BRIAN KHOO: Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penulis GLAM Lelaki kerana sudi memberikan peluang ini kepada saya. Baiklah, nama saya Brian Khoo, berumur 27 tahun, berasal dari Sandakan Sabah, kini seorang pereka fesyen. Saya cukup bersyukur atas segala kurniaan dari Tuhan, apatah lagi bernasib baik kerana berpeluang untuk bekerja di Christian Dior.

GLAM Lelaki: Sila gambarkan perjalanan karier anda sebagai seorang pereka fesyen.

BRIAN KHOO: Sejujurnya, saya beruntung dapat mengasah bakat sebagai seorang pereka secara percuma, malah mempunyai kawalan sepenuhnya dalam semua proses kreatif yang melibatkan rekaan-rekaan saya. Walau masih hijau dan baru 2 tahun berada di bawah radar industri, dari segi identiti rekaan, kami memberikan tumpuan kepada pakaian wanita mewah malah saya menghabiskan masa bekerjasama dengan pelanggan dalam mereka pakaian impian mereka.

GLAM Lelaki: Apakah agaknya cabaran yang perlu ditempuhi oleh seorang pereka fesyen terutama sekali di era milenial ini?

BRIAN KHOO: Sudah pasti ia melibatkan usaha keras, apatah lagi untuk menghasilkan rekaan yang kekal relevan, dan pada masa yang memenuhi tuntutan dan cita rasa pelanggan. Believe me, its not easy!

GLAM Lelaki: Baiklah, boleh anda kongsikan penglibatan anda dalam Miss Universe Malaysia 2017.

BRIAN KHOO: Kami pernah bekerjasama dengan Samantha sebelum ini, malah Samantha sendiri menyenaraipendekkan kami sebagai pereka untuk mereka busana untuk kegunaan beliau waktu bertanding nanti. Mujurlah pihak organisasi Miss Universe Malaysia turut bersetuju dengan memilih kami.

GLAM Lelaki: Kostum nasional rekaan anda mulai tular dan kecoh diperkatakan sejak ia mula ditayangkan pada awam. Boleh anda kongsikan dengan kami bagaimana lahirnya inspirasi dan kisah di sebalik rekaan anda itu?

BRIAN KHOO: Semua sudah sedia maklum, Malaysia dikenali dek kepelbagaian hidangan tradisi. Jadi, kami merasakan nasi lemak adalah menu paling sesuai untuk dijadikan ikon bagi mewakili ‘kita’ di pentas dunia. Ini kerana belum ada mana-mana hidangan dijadikan pakaian kebangsaan Malaysia. Malah saya sendiri mengemari hidangan tersebut dan saya percaya ia menyatukan kita semua walau berbeza asal dan usul. Kami juga percaya tiada apa yang lebih simbolik daripada sebungkus nasi lemak.

Gaun ini mengambil masa kira-kira 400 jam untuk disiapkan melibatkan enam orang berpasukan. Penghasilan gaun ini melibat detailing atau perincian jahitan dengan manik-manik membentuk nasi, ikan bilis, telur mata, timun, kacang dan sambal. Malah, ia direka menggunakan material serta fabrik berkualiti tinggi.

GLAM Lelaki: Umum mengetahui, ramai memberi respon yang berbaur tentang rekaan anda, termasuk dari golongan-golongan ternama seperti pereka fesyen profesional. Adakah anda sendiri sudah menjangkakan ini semua? Bagaimana pula dengan respon peribadi anda?

BRIAN KHOO: Ya, sejujurnya saya menjangkakan ini semua dan bersedia menghadapi segala komen-komen. Cuma, apa yang boleh saya katakan, dari pereka kepada pereka, saya hargai kritikan membina, namun janganlah sampai menghina, sedangkan kita dalam industri sama. Lebih baik untuk kita saling menyokong akan kreativiti masing-masing.

GLAM Lelaki: Apakah jangkaan anda sendiri terhadap gaun ini?

BRIAN KHOO: Sejujurnya, saya tidak mengharapkan pengesahan penuh akan penampakan ‘nasi lemak’ gaun tersebut pada mata orang awam. Saya juga tidak mengharapkan apa-apa pengiktirafan. Apa yang penting, Samantha tampak yakin dan selesa memakainya, and she did! 

GLAM Lelaki: Sekiranya anda diberikan peluang untuk melakukan perubahan, termasuk menukar kepada idea lain, apakah ia?

BRIAN KHOO: Sejujurnya, idea ini sudah terpahat dalam fikiran dan saya rasa tiapa lagi yang ingin diubah. Saya mengharapkan agar semua orang akan menyokong dan memberikan sorakan penuh kepada Samantha dalam membawa ‘nasi lemak’ ke pentas antarabangsa.

GLAM Lelaki: Apakah nasihat peribadi yang boleh anda kongsikan kepada mereka di luar sana yang ingin menjadi seorang pereka fesyen?

BRIAN KHOO:  Sentiasalah merendah diri, dan belajar sehabis baik dari mentor anda.

GLAM Lelaki: Kata-kata terakhir buat semua rakyat Malaysia?

BRIAN KHOO: Saya menghormati segala kritikan membina yang diberikan, itu tandanya rakyat Malaysia mahukan yang terbaik buat Samantha. Percaya atau tidak, saya baca segala maklum balas yang diberikan, dan ia adalah cara terbaik untuk saya berkembang sebagai sebagai seorang pereka dan juga manusia. Terima kasih buat semua yang menyokong saya! #peace

Oleh Wan Mohd Firdaus, 3 November 2017 

(Sumber foto: Koleksi peribadi Brian Khoo dan Instagram @briankhoo @missuniversemalaysia)

 

 

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

ASHRAF SINCLAIR SUDAH TIADA

Bacaan Lanjut

BANTERAS BULI SIBER HABIS-HABISAN! SYAKIRIN SYAZWAN, PEGUAM TAMPAN YANG TULAR BERKONGSI TENTANG DIRI DAN MISINYA

Bacaan Lanjut

RISIKO MENYELAMAT SEIRING NYALAAN POPULARITI, SAIFUL DAN SHAFIQ KONGSI PAHIT GETIR PROFESION AHLI BOMBA

Bacaan Lanjut

TUAH IRAS PUTERA MATEEN, ZHAEIM AZIZ NEKAD TERUSKAN CITA-CITA MENJADI CHEF DEMI ARWAH AYAH

Bacaan Lanjut

BAGAIMANA AGAKNYA RUPA SELEBRITI LELAKI HOLLYWOOD BILA TUA NANTI?

Bacaan Lanjut

TERPALIT KONTROVERSI GAMBAR TIDAK SENONOH, KETAHUI FAKTA MENGENAI PU RIZZ TIDAK SEMUA TAHU

Bacaan Lanjut