Skip to content

MENGAPA WESTLIFE KEMBALI BERAKSI DI MALAYSIA TANPA MARK FEEHILY?

MENGAPA WESTLIFE KEMBALI BERAKSI DI MALAYSIA TANPA MARK FEEHILY?

Kongsikan artikel ini

Baru setahun beraksi di Axiata Arena Bukit Jalil, Westlife akan kembali ke Malaysia untuk menghiburkan peminat sedikit masa lagi.

Kali ini kumpulan dari Ireland itu akan menghangatkan pentas Arena of Stars, Resorts World Genting sebagai sebahagian daripada konsert jelajah ‘Westlife The Hits Tour 2024’. Ia akan berlangsung pada 9 Jun 2024 bermula jam 6 petang.

Konsert ini pastinya mengujakan peminat yang hadir kerana mereka akan didendangkan dengan lagu-lagu hebat yang menjadi siulan selama ini. Antara lagu yang bakal dipersembahkan pada malam konsert termasuk Uptown Girl, My Love, Swear It Again dan Flying Without Wings.

Berbeza dengan tahun lalu, Westlife hanya akan tampil bertiga pada konsert kali ini. Shane Filan, Kian Egan dan Nicky Byrne akan tampil menghiburkan peminat manakala Mark Feehily pula terpaksa berehat kerana berdepan masalah kesihatan. Bagaimanapun kumpulan itu menjanjikan persembahan hebat dan bertenaga buat peminat di Malaysia.

westlife malaysia,

Konsert Westlife Tanpa Mark Feehily

Penyanyi berusia 43 tahun ini dilaporkan telah lama menghidap masalah kesihatan. Mark mendedahkan dia menjalani rawatan sepsis sewaktu penularan pandemik Covid pada Ogos 2020. Setahun kemudian, dia diuji dengan radang paru-paru. Baru-baru ini pula dia menjalani pembedahan untuk merawat hernia.

Menurut Mark, pembedahan itu berjalan lancar namun dia dinasihatkan untuk berehat panjang demi mempercepatkan proses pemulihan dan tidak menyertai konsert Westlife. Dia berkongsi tentang isu kesihatannya bersama peminat di media sosial pada penghujung Februari lalu.

“Ramai antara anda tahu saya mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu. Dengan rasa kesal saya terpaksa berehat daripada semua konsert Westlife sehingga pulih sepenuhnya daripada perjalanan mencabar yang saya lalui secara individu ini,” tulisnya.

Dalam perkongsian sama, dia turut merakamkan penghargaan buat rakan sekumpulan dan kakitangan perubatan yang merawatnya.

“Kepada Shane, Kian dan Nicky, saya sayang kamu bertiga dan saya tahu kalian akan menjayakan konsert ini. Kepada kakitangan perubatan yang memegang tangan saya dan menaikkan semangat saya (anda tahu siapa anda!), terima kasih tulus ikhlas buat anda semua.”

 

Foto: Instagram/X

Pautan berkaitan: ‘SPIDER KELUAR SARANG’ BAKAL GEGARKAN PENTAS KONSERT