“TAK LUAK DICACI, SAYA DAN DSV TETAP SERASI” – LUAHAN AHMAD IQBAL, P.A DAN PEGAWAI MEDIA KACAK DATO SERI VIDA
Sejak tular gambarnya yang bersahaja bersama Dato Seri Vida seorang ikon dan usahawan berjaya, Ahmad Iqbal Zulkelfi tiba-tiba saja popular sekelip mata. Bukan kerana rupa dan kekacakan semata, personalitinya yang mudah didekati turut menjadi perhatian lensa dan media. Walau masih muda, dek amanah serta tanggungjawab digalasnya, namun dirinya tidak mampu lari dari hina dan cerca, sehingga ada yang melabel tanpa usul periksa. Ya, GLAM Lelaki menghubungi Ahmad Iqbal Zulkefli yang bikin sensasi dalam tempoh semalaman untuk pencerahan secara eksklusif, di samping memintanya berkongsi tip penggayaan, pengalaman dan suka duka menjadi ‘orang penting’ kepada usahawan ternama itu. Teruskan membaca…
GLAM Lelaki: Boleh anda ceritakan serba sedikit tentang diri anda? Nama penuh, umur, kerjaya, adik beradik, hobi dan apa saja yang menarik tentang diri anda.
AHMAD IQBAL: Pertama sekali, saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada penulis GL kerana sudi menemubual saya. Baiklah, nama saya Ahmad Iqbal Zulkefli. Orang terdekat biasanya memanggil saya Iba. Anak jati Pasir Mas, Kelantan, dan lahir pada 12 September 1994. Saya berumur 23 tahun dan anak ketiga daripada lapan beradik. Ditanya berkenaan hobi, sejak kecil lagi saya suka apa saja berkaitan gajet, media dan teknologi. Selain itu, saya suka bermain dengan kucing dan kanak-kanak. Saya juga suka membaca. Dan ya, saya masih bujang.
GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan detik pertemuan dan bagaimana anda boleh bekerja di sisi Dato Seri Vida (DSV), dan apa pula deskripsi tugas anda?
AHMAD IQBAL: Karier saya bersama beliau bermula selepas saya memenangi pertandingan video kreatif yang DSV anjurkan. Sepanjang perkenalan itu, DSV banyak menguji saya tentang kejujuran, bakat, dan ketahanan emosi. Selepas itu saya dipanggil dan diberi kepercayaan untuk bekerja sebagai Pembantu Peribadi (P.A) DSV. Pada masa sama, jawatan kedua saya juga adalah sebagai Pegawai Media. Sejujurnya, amanah yang diberikan begitu mencabar kemampuan diri. Orang luar mungkin nampak macam seronok, hakikatnya setiap saat saya tidak boleh lalai. Bayangkan, umur saya baru saja 23 tahun. Tapi saya perlu berfikir 10 tahun kehadapan dan perlu bersedia. Apabila mesyuarat diadakan dengan orang-orang ternama lagi hebat, saya juga dituntut untuk memberikan idea-idea bernas dalam melancarkan perniagaan. Dan sebagai Pegawai Media, antara deskripsi tugasan saya adalah merakam video aktiviti harian kemudian diedit untuk dimuaturun ke akaun media sosial DSV. Beliau dah habiskan RM50 ribu untuk peralatan fotografi untuk kegunaan saya. Pada masa yang sama, jika ada isu berkaitan media, saya akan turut sarankan jawapan. Tapi jarang sekali buah fikiran itu lahir dari saya, sebab DSV kan “I am Me”.
GLAM Lelaki: Pernah tidak anda menyangka gambar anda bersama (DSV) tular dan sedikit sebanyak mempopularkan anda?
AHMAD IQBAL: Secara peribadinya tidak. Saya hanya menjalankan tugas dan amanah yang diberikan kepada DSV sebagai salah seorang ‘sidekick’ nya. Namun saya tidak boleh lari dari lensa kamera dan mata orang awam dan media memandangkan DSV sendiri seorang usahawan dan ikon yang popular dan berjaya. Ada juga yang mengecam dan sebagainya, nak tak nak saya anggap ini sebagai satu cabaran dalam skop kerja yang perlu saya lalui.
Tetapi adakalanya sedih juga. Ada sesetengah melabelkan saya ‘anak ikan’ dan skandal dengan tujuan mengikis harta dan kekayaan beliau sehinggakan ada yang menuduh saya mengambil kesempatan atas kebaikan DSV. Malah ada yang mencadang dan mendoakan kami agar mendirikan rumahtangga selepas melihat ‘keserasian’ kami berdua. Malah jika dilihat berdua di luar negara, ada menyangka kami sepasang suami isteri. Saya tidak nafikan kami berdua akrab kerana saling memahami, dan beliau adalah seorang yang senang untuk menerima apa sahaja nasihat dan pandangan sama ada dalam hal bisnes, mahupun hal peribadi seperti solat, pemakaian, kesihatan dan segalanya.
GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan pengalaman bekerja di samping DSV dan pandangan peribadi anda tentang dirinya yang tidak semua tahu.
AHMAD IQBAL: Bekerjasama dengan Dato Seri Vida memberi peluang untuk saya terjun ke dalam dunia perniagaan dengan lebih luas dan mendalam. Ilmu yang telah dicurahkan adalah ilmu ‘mahal’ dalam dunia bisnes kerana saya juga berimpian untuk mempunyai bisnes sendiri suatu hari nanti.
Secara peribadinya saya amat selesa dengan DSV kerana beliau seorang yang sangat jujur dengan diri sendiri. Tidak mudah marah dan melatah. Beliau banyak menyimpan kesedihan demi melihat orang bahagia. Amat jelas ketika saya melakukan kesilapan, beliau akan tunjukkan kebaikan supaya saya mengikut sama. Bayangkan, pada tengah malam beliau menangis, bangkit mendirikan solat walau sepenat mana pun. Saya malu dengan beliau. Demi menghasilkan produk benar-benar berkualiti tinggi, beliau sanggup melaburkan duit yang banyak.
GLAM Lelaki: Anda juga dilihat sering kali tampil segak dan menjaga penampilan. Bagaimana bekerja di samping DSV mempengaruhi cara pemakaian dan pembawaan diri anda.
AHMAD IQBAL: Sejak bersama DSV, soal penampilan saya jadi lebih serius. Ada masa saya akan mendalami ‘interpersonal skill’ berkaitan adab dan etika, perlakuan, dan bahasa badan ketika berhadapan dengan orang lain. DSV juga turut memberi saranan kepada saya dalam menggayakan fesyen. Pada masa yang sama, saya bersyukur etika yang baik telah dididik sejak kecil di rumah. Malah, saya sendiri suka berketerampilan sederhana tapi nampak kemas dan bergaya. Tapi orang tidak tahu setiap apa yang saya pakai mesti ada sebab dan ‘jiwa’ tersendiri walaupun nampak biasa.
GLAM Lelaki: Boleh anda kongikan tip-tip fesyen yang sering kali anda amalkan yang boleh dijadikan panduan mereka di luar sana.
AHMAD IQBAL: Usah pakai berlebihan, cukuplah bersederhana. Warna sangat memainkan peranan. Ukuran baju dan seluar tidak boleh terlalu besar, tidak sesuai juga jika terlampau ketat. Cara sikat rambut, jenis jam yang dipakai, bau minyak wangi, kesemua ini melambangkan identiti diri. Lebih penting bagi saya, cara kita berjalan, cara senyum, intonasi suara, adab ketika makan, kesemua ini jika kita tahu, lebih senang untuk kita tampil bergaya.
Saya juga jarang membeli belah tetapi apabila mahu membeli sesuatu pakaian, saya akan pastikan item itu betul-betul berkualiti bagi impak kepuasan. Saya sanggup menahan keinginan demi memiliki barang yang betul-betul berkualiti berbanding menghabiskan wang untuk membeli yang kurang berkualiti; hanya dapat diguna hanya jangka masa yang pendek.
GLAM Lelaki: Di mana anda melihat diri anda dalam tempoh 10 tahun akan datang?
AHMAD IQBAL: Sudah tentu saya mahu jalankan bisnes dan ada syarikat sendiri. Setakat ini, saya berimpian untuk membuka butik pakaian. Saya juga simpan niat untuk jadi pengarah filem suatu hari nanti. Saya selalunya banyak berusaha secara diam-diam. Alhamdulillah, setakat ni boleh dikatakan 90 peratus harapan saya tercapai tepat pada waktu. Kepercayaan pada diri dan Allah amat teguh dalam mengatur perjalanan hidup.
GLAM Lelaki: Sekiranya anda ditawarkan untuk terjun dalam bidang seni, adakah anda akan sudi menimbangkannya?
AHMAD IQBAL: Ya, saya bersedia untuk terjun dalam bidang seni jika sudi dipertimbangkan. Saya tidak sukakan populariti, namun saya senang hati dikenali ramai sebab saya ingin memberi inspirasi serta membahagiakan masyarakat. Saya juga berminat untuk berkecimpung dalam dunia perfileman sebagai pengarah filem. Mungkin sebagai permulaan saya boleh memikirkan idea untuk membuat filem pendek bagi iklan komersial, insya Allah.
GLAM Lelaki: Kata-kata terakhir anda buat semua pengikut-pengikut anda.
AHMD IQBAL: Siapa pun saya sekarang di hari mendatang, saya tidak ingin dikagumi oleh sesiapa. Sebab lebih baik kita menjadi kawan. Jika ada salah, kalian boleh ingatkan. Jika saya lakukan kebaikan, kita boleh rasa bersama. Jangan tinggalkan saya di saat saya jatuh. Usah pula berasa jauh jika saya berada di atas. Kalau boleh, saya nak berbaik dengan semua orang. Sungguh, saya suka lihat orang lain berjaya. Ada apa-apa, kita jumpa di Instagram saya @ahmadiqbalzulkefli dan Facebook Ahmad Iqbal Zulkefli. Terima kasih.
https://www.instagram.com/p/BZedKK3HDPw/
Oleh Wan Mohd Firdaus, 15 Oktober 2017
Tags
Artikel Yang Berkaitan
5 DETIK TERBAIK SEPANJANG KLFW 2024
GLAM Lelaki akan menyusun lima sorotan terbaik KLFW 2024 sepanjang tujuh hari berlansung dengan fesyen yang penuh kemegahan.
5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD
Tiada ijazah diperlukan untuk bergelar selebriti berjaya di Hollywood namun lima bintang ini mempunyai latar belakang pendidikan yang mengagumkan.
RENAISSANCE FILEM BY BEYONCÉ DITAYANGKAN DISEMBER INI
Peminat fanatik Beyonce akan berpeluang menonton RENAISSANCE: FILEM BY BEYONCE yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
“USAH RISAU TENTANG KEMASYHURAN DAN KEKAYAAN, IA AKAN DATANG SENDIRI” – DATO’ SRI BERNARD CHANDRAN #GLALPHAMEN2023
Dengan mengangkat tema “Our Heroes” tahun ini, GLAM Lelaki mempersembahkan Dato’ Sri Bernard Chandran sebagai salah seorang Alphamen 2023 yang merupakan seorang pereka fesyen terkenal dan berbakat besar malah digelar sebagai King of Fashion Malaysia.
“JANGAN MUDAH LEKA DAN LALAI DENGAN SEGALA IMPIAN YANG INDAH DI LUAR SANA” – TOMOK #GLALPHAMEN2023
Dengan mengangkat tema “Our Heroes” tahun ini, GLAM Lelaki mempersembahkan Tomok sebagai salah seorang Alphamen 2023 yang terus gemilang mewarnai industri muzik tanah air.
“KITA PERLU MENORMALISASIKAN PERBUALAN KESIHATAN MENTAL. HENTIKAN STIGMA SETIAP LELAKI PERLU “SUCK IT UP” ATAU “BE A MAN” – KHOON HOOI #GLALPHAMEN2023
Dengan mengangkat tema “Our Heroes” tahun ini, GLAM Lelaki mempersembahkan Khoon Hooi sebagai salah seorang Alphamen 2023 yang terus unggul meluaskan empayar label fesyennya dalam industri fesyen tempatan dan luar negara.