VOLVO BAWA REALITI KESELAMATAN JALAN RAYA MENERUSI SELAMAT DRIVING EXPERIENCE
Volvo perkenalkan Kalkulator Selamat kerana keselamatan di jalan raya bukan lagi sekadar ciri tambahan di dalam kereta, ia tentang kehidupan.
Ia adalah tentang kehidupan, keluarga, dan perjalanan pulang yang sering kita ambil mudah. Atas kesedaran itu, Volvo Car Malaysia terus memperkukuhkan komitmen mereka terhadap budaya keselamatan menerusi kempen Selamat. Kali ini, kempen ini diterjemahkan dalam pengalaman imersif Selamat Driving Experience di Sepang International Circuit (SIC) Drive Experience Centre.
Berlangsung selama dua hari, acara ini menghimpunkan lebih 240 pemandu untuk merasai sendiri simulasi situasi kecemasan dalam suasana terkawal. Sambil itu, mereka dapat memahami bagaimana teknologi keselamatan moden mampu menjadi perbezaan antara hidup dan mati. Namun lebih daripada sekadar sesi pemanduan prestasi, pengalaman ini sebenarnya membawa peserta untuk melihat semula nilai sebenar sebuah nyawa.
Di tengah ruang pameran, sebuah XC90 yang remuk dipamerkan dengan struktur sisi terbuka Ia memperlihatkan beg udara yang sudah mengembang bersama kerangka keselamatan boron steel yang masih utuh. Visual yang cukup mengganggu emosi itu menjadi simbol kepada mesej utama kempen ini. Sesaat kecuaian boleh mengubah seluruh kehidupan.

Kempen Selamat diperkenalkan bukan sekadar untuk mempromosikan teknologi keselamatan Volvo, tetapi untuk membina kesedaran bahawa keselamatan adalah budaya yang perlu dikongsi bersama, tanpa mengira jenama kereta yang dipandu. Statistik yang dikongsikan Volvo menunjukkan bahawa sebanyak 4,428 nyawa terkorban di jalan raya Malaysia sepanjang tahun 2024. Di sebalik angka itu, tersimpan ribuan kisah keluarga yang kehilangan insan tersayang.
Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Cars Malaysia, Patricia Yaw, harapan utama mereka adalah agar setiap peserta pulang dengan penghargaan baharu terhadap nilai keselamatan dan kehidupan.
Kalkulator Selamat Menjadi Sorotan Utama
Salah satu pengalaman paling memberi kesan sepanjang acara adalah Kalkulator Selamat, dibangunkan bersama Mr Money TV. Platform interaktif ini membantu peserta menilai risiko keselamatan diri serta mengira kesan kewangan dan emosi sekiranya berlaku kehilangan nyawa. Namun apa yang benar-benar menyentuh adalah bagaimana ia mengingatkan bahawa nilai seseorang tidak pernah diukur melalui wang semata-mata. Tetapi, melalui hubungan, impian, dan masa depan yang masih belum sempat dilalui.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Mr Money TV, Peter Yong turut menegaskan bahawa literasi kewangan bukan hanya tentang mengurus angka, tetapi juga menghargai aset paling penting dalam hidup, diri sendiri.
Rasai Pengalaman SELAMAT Di Litar
Di litar pula, peserta dibimbing oleh jurulatih pemanduan profesional untuk menjalani simulasi kecemasan seperti kehilangan kawalan, membrek mengejut, pertukaran lorong secara drastik, dan latihan brake, swerve, avoid bagi mengelakkan pelanggaran hadapan. Salah satu demonstrasi paling menarik adalah ujian kick plate yang mensimulasikan keadaan tayar hilang cengkaman secara tiba-tiba. Peserta dapat merasai sendiri bagaimana sistem kestabilan moden Volvo bertindak balas dalam situasi kritikal.

Sebagai perbandingan, jurulatih turut memandu sebuah Volvo 240 SE tanpa sistem ABS melalui halangan sama. Aktiviti ini memperlihatkan sejauh mana evolusi teknologi keselamatan automotif berkembang sejak beberapa dekad lalu.
Selain pengalaman pemanduan, peserta juga dibawa menyelusuri legasi inovasi keselamatan Volvo yang banyak membentuk standard industri automotif moden hari ini. Ini termasuk dengan penciptaan tali pinggang keselamatan tiga titik yang kini menjadi standard global.
Penaja tayar rasmi acara, Pirelli turut berkongsi kepentingan keselamatan tayar menerusi rangkaian ELECT™ yang direka khusus untuk kenderaan elektrik. Teknologi tersebut memberi fokus kepada pengurangan bunyi, pengendalian tork tinggi, serta kecekapan bateri yang melengkapkan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan selesa.

Apa yang menjadikan kempen ini lebih bermakna adalah mesej yang cuba disampaikan Volvo: bahawa “Selamat” bukan sekadar ucapan harian. Ia adalah pilihan yang dibuat setiap kali kita memegang stereng, memasang tali pinggang keledar, atau memilih untuk lebih berhati-hati di jalan raya.
Kerana pada akhirnya, perjalanan paling penting bukanlah destinasi yang ingin dituju. Namun, peluang untuk pulang dengan selamat kepada mereka yang menunggu di rumah.
Pautan berkaitan: VOLVO MENTAKRIF SEMULA “SELAMAT” DARIPADA UCAPAN RAYA
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
VOLVO MENTAKRIF SEMULA “SELAMAT” DARIPADA UCAPAN RAYA
Volvo mengetengahkan 'selamat' daripada ucapan Hari Raya kepada gerakan menyelamatkan nyawa dengan kempen mereka, Selamat.
VOLVO PADEL OPEN 2025: SUKAN PREMIUM, KOMUNITI AKTIF & GAYA TAK TERTANDING
Volvo Padel Open 2025 tampil lebih besar dengan format baharu, kelas percuma & pengalaman eksklusif buat peminat padel. Daftar dari 3 Jun!
VOLVO BAKAL LUNCUR ES90 SERBA BARU
Elektrik sepenuhnya dan berada dalam kelas tersendiri. Volvo, automotif mewah generasi baharu ini direka untuk kehidupan yang seimbang.
KUASA MASA HADAPAN XC40 RECHARGE PURE ELECTRIC
Volvo Car Malaysia memperkenalkan versi baharu model XC40 Recharge Pure Electric yang dikuasakan elektrik sepenuhnya.
Melangkah Ke Masa Depan Elektrik Sepenuhnya
Memperkenalkan XC40 Recharge Pure Electric, Volvo Car Malaysia menyasarkan 75% jualan daripada EV menjelang 2025 lantas menyasarkan untuk menjadi syarikat automatif eletrik sepenuhnya menjelang 2030.
ELEKTRIFIKASI VOLVO XC60 YANG LEBIH PINTAR
Volvo Car Malaysia memperkenalkan XC60 baharu yang kini lebih pintar menuju masa hadapan dalam elektrifikasi ‘infotainment’ dengan intergrasi teknologi perkhidmatan Google terkini.











