Dalam dunia jam tangan profesional, tidak semua dicipta untuk sekadar kelihatan menarik. Ada yang direka khan untuk ketahanan. Luminox x Bear Grylls Survival Master LM3741.OLIVE Limited Edition adalah manifestasi jelas falsafah tersebut. Dilancarkan sebagai edisi terhad 500 unit sahaja di seluruh dunia.
Diperkenalkan pada Disember 2025, edisi baharu berwarna olive ini meneruskan kolaborasi jangka panjang Luminox bersama ikon survival global, Bear Grylls. Pilihan rona bumi ini bukan sekadar estetika. Namun ianya mencerminkan fungsi ‘camouflage’ semula jadi yang menyatu dengan persekitaran, sekaligus melambangkan kekuatan yang tidak perlu ‘loud’ untuk diperhatikan.
Luminox x Bear Grylls Survival Master LM3741.OLIVE
Dari segi binaan, LM3741.OLIVE menampilkan sarung CARBONOX™ bersaiz 45mm ultra ringan tetapi luar biasa lasak. Turut dipadankan dengan bezel sehala untuk kegunaan taktikal. Kristal nilam dengan salutan anti-reflektif memastikan kejelasan maksimum dan anti-calar. Antara satu keperluan penting bagi mereka yang selalu terdedah dalam persekitaran ekstrem.
Jam ini turut dilengkapi 18 tiub Luminox Light Technology (LLT) yang mampu menyala secara berterusan sehingga 25 tahun, tanpa memerlukan sebarang sumber cahaya luaran. Ciri ini memastikan kebolehbacaan masa dalam apa jua keadaan. Tak kira siang, malam, gelap gelita meskipun dalam cuaca buruk.
“Never Give Up”
Sebagai jam tangan survival profesional, kronograf ini menawarkan rintangan air sehingga 300 meter. Sangat sesuai untuk mereka yang mencintai aktiviti laut dan ‘diving’. Tali getah olive yang divulkanisasi pula dilengkapi kompas boleh tanggal. Memberikan rujukan arah pantas ketika berada di kawasan lapang dan mendatar. Pada dial, terdapat panduan kod Morse SOS, satu perincian kecil tetapi kritikal dari segi aspek keselamatan.
Sentuhan Bear Grylls jelas pada setiap perincian daripada logo dan motto unik “Never Give Up” pada dial, sehinggalah ukiran khas pada caseback dua tona. Mahkota berwarna oren bukan sahaja meningkatkan cengkaman, malah mengukuhkan identiti visual Bear Grylls sebagai simbol keberanian dan daya tahan.