Menurut Rekod Dunia Guinness, jam tangan pertama adalah ciptaan rumah arloji Patek Philippe untuk bangsawati dari Hungary, Countess Koscowicz pada tahun 1868. Namun selama beberapa dekad ia hanya dilihat melingkari pergelangan tangan wanita sebagai ‘gelang montre’. Bagaimanapun, lelaki pertama yang memakai jam tangan lebih sukar untuk menemukan rekodnya di dalam sejarah. Lantas, jam tangan hanya mendapat populariti oleh lelaki selepas Perang Dunia Pertama dan sudah pasti ia wujud sebelum itu. Maka, terdapat beberapa perintis pada permulaan abad ke-20. Sewaktu Perang Dunia Pertama meletus, ramai askar-askar serta juruterbang memakai jam tangan supaya pergerakan mereka selaras dengan arahan komander juga bertujuan untuk navigasi.

Justeru, Louis Cartier mengolah jam tangan poket lalu menemukan alternatif dengan mencipta jam tangan bertali kulit serta punya laman dail yang kontras. Cukup besar dan mudah dibaca dengan hanya sekali pandang. Ini adalah elemen penting, terus ia mencatatkan salah satu jam tangan untuk juruterbang yang terawal. Perintis penerbangan Brazil, Alberto Santos-Dumont adalah orang pertama mendemonstrasikan penerbangan untuk mengukur jarak waktu sambil mengekalkan kedua-dua tangan pada kawalan. Khabarnya Santos-Dumont memakai setiap kali mengemudi pesawat lalu jam tangan ini menemui pasaran untuk pertama kali pada 1911.

Gambar : geraldgenta-heritage.com

Sementelahan itu, kemunculan sulung jam tangan mewah tergarap dari material keluli adalah laksana Gérald Genta. Berasal dari Geneva, pada usia 20 tahun Genta usai menekuni kursus ketukangan emas dan barangan kemas. Visi kearifan Genta tampil memperkenalkan triniti arloji ikonik yakni jam tangan Royal Oak dari Audemars Piguet (1970), Ingenieur dari  IWC Schaffhausen (1976) dan Nautilus dari Patek Philippe (1976). Ketiga-tiga jam tangan ini saling berkait seperti adik-beradik sekalipun penampilan masing-masing adalah dari rumah arloji yang berbeza. Perkenalan material keluli dalam lapangan jam tangan mewah berbalas susuk rekaan moden terus mekar. Kerana kala itu, pembuatan jam tangan hanya diolah dari material logam mewah seperti emas dan perak.

1 of 3

Arloji Royal Oak, Audemars Piguet (1970)

 

1 of 3