CANTIK UNTUK MEDIA SOSIAL

Gambar: Instagram River Viiperi
Oleh: Ana Lisa
Hari ini serba serbi perkara sudah punya pelbagai takrifan. Dan perkara yang subjektif juga kini memiliki takrifan khas yang boleh kira disepakati secara berjemaah. Banyak faktor yang menyumbang kepada senario ini dan salah satunya yang boleh dikira melonjak naik kebelakangan ini adalah pengaruh media sosial. Sigmund Freud ada mengatakan andai manusia itu berkumpul dalam kumpulan, mereka lebih mudah meninggalkan nilai yang dipegang secara peribadi dan menyetujui nilai kolektif sama ada kerana mahu diterima atau terpengaruh akibat terlalu disuap dengan ideologi yang sama. Jadi benar kah hari ini takrifan cantik itu adalah putih, tinggi, berkaki panjang, raut wajah bak sirih, bibir merah delima, pipi pauh dilayang dan kulit bebas cela. Bagaimana pula yang berkulit hitam manis atau sawo matang, muka bujur telur dan kulit sedikit bertekstur.
Perkara yang ingin saya bahaskan adalah betapa hari ini tuntutan untuk kita kekal cantik semakin meningkat seiring peredaran zaman. Untuk memenuhi tuntutan pasaran yang semakin meluas, pelbagai produk dicipta agar nafsu serakah manusia bisa terisi walaupn hakikatnya manusia itu tidak akan pernah puas. Daripada hanya sekadar krim yang boleh dioles dan menjanjikan kesan secepat dua minggu hinggalah ke gajet-gajet kecantikan yang bisa menghilangkan garisan halus dan kedutan dengan hanya beberapa saat. Tambahan pula kemajuan teknologi menyaksikan lambakan gajet yang membantu kita untuk terus cantik dan kekal muda biarpun tidak seiring perjalanan usia. Dan akses kepada barang-barang sebegini begitu mudah hinggakan ia boleh dimiliki sendiri dengan hanya satu klik di laman web. Dan penggunaanya pula tanpa pengawasan mereka yang bertauliah.
Mungkin kesannya tidak terlihat hari ini namun bagaimana kita melihat perkembangan generasi akan datang. Dan yang lebih merisaukan lagi, di Barat kini terdapatnya ibu-ibu yang mula ‘membina’ kecantikan anak gadis mereka namun menggunakan pembedahan plastik atau kaedah yang bukan semula jadi sebagai salah satu cara mencipta kesempurnaan buat si anak-anak gadis itu. Bayangkan bagaimana proses tumbesaran si kecil yang disuntik botoks sedari usia semuda enam tahun? Tidak terencatkah perkembangan minda mereka dan emosi mereka kerana diasak dengan elemen-elemen tidak asli untuk kehidupan mereka.
Menyentuh mengenai pengaruh media sosial, ia semakin menular dalam kehidupan setiap insan. Tersalah langkah seluruh kehidupan punah. Tetapi anda juga boleh mencipta satu persona baru tanpa ada yang mengetahui kebenarannya kecuali diri sendiri. Dan hari ini kehadiran penapis atau filter yang ada, semua gambar menampilkan setiap orang berkulit licin bagai telur baru dikupas. Itu tidak termasuk mereka yang gigih memuat turun aplikasi Adobe Photoshop dan setiap inci kulit dirapikan sehingga setiap titik menjadi sempurna. Banyak lagi aplikasi yang direka untuk mereka yang dahagakan kesempurnaan untuk diperlihatkan di media sosial. Tetapi cukup kah hanya sempurna di pandangan mata pengikut alam maya tetapi kehidupan realitinya tidak seberapa. Dan tidakkah terbit kerisauan andai segala kesempurnaan anda terungkai di mata umum dan apa lagi yang tinggal untuk anda? Maruah sememangnya tiada.
Tetapi untuk apa semua itu? Tidak dinafikan Allah menyukai sesuatu yang indah tetapi ini juga ujian dari Nya. Adakah kita masih mampu merendah diri dan mensyukuri setiap keindahan yang diberikannya atau terus mendongak langit mengatakan segalanya adalah hasil usaha kita? Sanggup kah kita bermatian bertarung dengan nyawa di atas meja bedah hanya untuk tampil sempurna setiap kali dipotret. Atau cukup sekadar menjaga segala kurniaan Tuhan mengikut kemampuan dan tidak secara berlebihan.
Lumrah manusia itu tidak sempurna, jadi untuk apa kita mengejar sesuatu yang fizikal berbanding mencari keredaan yang hakiki. Memetik kata-kata bekas pragawati 90-an, Nik Marini, “Hidup saya ringkas dan banyak perkara lain yang lebih penting daripada membazir duit semata-mata untuk terus kekal cantik.” Jadi bagaimana anda melihat keperluan untuk cantik hari ini? Masih mahu mengikut bandwagon atau memilih pendirian peribadi dan berpegang padanya? Tergantung selera anda tetapi pastikan ia benar dan tepat selaras dengan tuntutan agama yang sepatutnya menjadi pegangan setiap insan.
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM Lelaki April 2014
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Kelanjutan Eksplorasi Material Hublot
Diperkasa dalam kesinambungan penyatuan elemennya, Big Bang Integral Ceramic ciptaan Hublot membariskan empat rona baharu dalam meniti eksplorasinya ke seluruh penjuru dunia.
TUGASAN DIRAJA RATU ELIZABETH II DIROMBAK BUAT KALI PERTAMA DALAM 10 TAHUN
Setelah beberapa bulan gering, Istana Buckingham mengambil langkah membantu mengurangkan beban Ratu Elizabeth II.
TARON EGERTON BAKAL MENGGANTIKAN HUGH JACKMAN SEBAGAI WOLVERINE?
Pelakon “Kingsman”, Taron Egerton dikatakan bakal menggantikan Hugh Jackman sebagai Wolverine dalam filem terbaharu Marvel Cinematic Universe.
“SAYA AMAT BERDUKA” – HARRY STYLES UMUM PUNCA PEMBATALAN KONSERT
Baru 10 bulan menjayakan konsert Love On Tour, Harry Style memaklumkan dia terpaksa membatalkan persembahannya di Copenhagen, Denmark.
DIOR HADIRKAN KOLEKSI KAPSUL CD 1947
Musim ini Dior menghadirkan koleksi kapsul CD 1947. Dijamin setiap rekaan yang terkandung mencuri perhatian para penggemar fesyen streetwear khususnya.
10 ‘MUST WATCH’ SEPANJANG JULAI 2022
Laman penstriman utama Netflix, HBO GO dan Disney+ Hotstar membariskan 10 filem, siri drama, rancangan komedi serta dokumentari baharu yang ‘must watch’ sepanjang Julai 2022.