Skip to content

ISU PENAHANAN ARTIS BERGELAR ‘DATUK’, PERLUKAH KITA ‘DOUBLE STANDARD’?

Kongsikan artikel ini

Saat ini, kecoh diperkatakan tentang penahanan seorang pelakon filem bergelar ‘Datuk’, yang ditahan selepas dikatakan bertindak mengasari seorang polis selain mencedera dan menendang dua orang awam di lokasi sama. Berdasarkan ujian air kencing, pelakon itu sah positif ganja. Ya, walaupun proses siasatan masih dilakukan, apa yang jelas (berdasarkan fakta dan sumber rasmi) pelakon tersebut melakukan dua kesalahan secara terangan. Mencederakan dan pengambilan ganja. Namun persoalannya, apa perlu untuk kita mendukung tindakan ini hanya semata kerana dirinya seorang artis pujaan ramai? Baik sangatkah kita, atau apakah kita terlalu buta untuk mengakuinya?

(Foto kredit: MALAYMAIL/Hari Anggara.)

SH: ‘DOUBLE STANDARD’ KAH ANDA?

Sejujurnya, penulis amat bersimpati dengan apa yang berlaku pada pelakon tersebut. Mempunyai isteri dan anak-anak kecil yang perlu dijaga dan memerlukan perhatian. Apakah agaknya alasan diberi sang ibu jika sang anak bertanyakan di manakah bapanya. Tidak dapat penulis bayangkan. Apatah lagi, pelakon tersebut cukup berbakat dan mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang seni lakonan khususnya. Selepas ini, cerahkah masa depannya? Allahualam.

Jelas sekali penulis tiada pertalian dengannya apatah lagi mengenali luar dan dalam. Dan seperti orang lain, semua terkejut dengan ‘tindakan’ dilakukan seakan langsung tidak mencerminkan dirinya. Lantas, ramai di kalangan netizen termasuk rakan-rakan artis berterusan menghulurkan doa dan harapan agar semuanya kembali ke sedia kala. Ya, penulis mengharapkan begitu jua.

Apa yang mengejutkan adalah betapa ‘ekstrem’nya tanda sokongan yang diberikan khususnya peminat-peminat tegar serta rakan artis yang mengenali beliau. Bak kata pepatah, pijak semut pun tidak mati. And again, penulisan ini hanya bersandarkan fakta, dan tidak berani untuk penulis komen lanjut atas dasar apa pelakon tersebut mengambil ganja atau penemuan ganja di dalam tubuhnya sehingga sanggup mencederakan. Biarkan polis saja yang membuat siasatan.

Persoalannya kini, adakah layak untuk pelakon tersebut menerima tanda sokongan sebegini rupa. Apa istimewanya dia berbanding individu-individu lain yang turut direman atas sebab sama. Jika orang lain, hingga ke sudah mereka dicaci lagi dihina, tetapi apabila melibatkan artis ternama, disuap pula layanan berbeza? Dan adakah kerana dia seorang ‘public figure’, kita begitu mudah memaafkan, padahal jika orang biasa melakukan, sukar sekali untuk kita mengasihankan. Are we that ‘double standard’?

(Foto kredit: Berita Harian / BH Online)

DISANJUNG SEHINGGA MENGHALALKAN?

Tidak dinafikan, pelakon ditahan itu cukup disayangi ramai. Dengan ratusan ribu peminat, padanlah dirinya mendapat sokongan tidak berbelah bagi malahan ada yang mengharapkan dirinya dibebaskan segera sehinggakan wujudnya petisyen membela dengan hashtag tertentu. Belum masuk lagi dengan ‘movement’ yang digerakkan oleh kalangan-kalangan rakan artis yang bersungguh benar menunjukkan tanda sokongan di laman-laman sosial. Kelakarnya, ada di kalangan mereka sendiri pun pernah terjebak dengan ‘najis’ tersebut. Bila artis lain turut pernah ‘rosak’ seperti kes Saiful Apek, Tony Eusoff dan Benjy, tiada pula sokongan ala-ala solidariti sebegini?

Wow! Begitu taksub sekali dengan individu terbabit sampaikan apa yang dilakukannya sehingga direman dan ditahan pihak berkuasa ibarat ‘angin lalu’, dengan alasan ‘alah dia pun manusia biasa’, ‘dah nasib dia, nasib kita dan anak-anak kita pun tak tentu lagi’.

Penulis jauh sekali menyalahkan apatah menuding jari pada mana-mana netizen mahupun peminat yang membelakangi pelakon tersebut. Dah nama pun sayang kan, tetapi janganlah sampai seakan menutup sebelah mata akan tindakannya itu.

Baru-baru ini, merujuk salah satu temubual bersama rakan individu terbabit dalam rancangan hiburan, jelasnya ini semua berlaku dipercayai akibat kesilapan satu produksi yang menyebabkan individu terbabit tidak boleh fokus semasa berkarya lalu tertekan ditambah pula dengan isu rumahtangga.

Jadi, adakah mengambil ganja jalan penyelesaian terbaik? Bagaimana pula dengan orang-orang biasa yang mengalami nasib lebih teruk? Ada yang lahir dari keluarga miskin dan bergolak malah ibu dan bapa bercerai-berai, didera dan dikasari, dijual ibu kandung sehinggakan ada yang dicabul bapa sendiri, adakah sebab-sebab ini menghalalkan pengambilan benda terlarang itu? Tidak!

Apatah lagi, sehari sebelum kejadian, perlakuan aneh aktor itu sudah mula kelihatan apabila seorang aktor veteran turut ‘ditamparnya’. Lebih membingungkan, dakwaan seorang pengarah melihat dirinya dalam keadaan tidak terurus membawa “pistol” walaupun tidak dipastikan keasliannya. Tak kan nak tunggu pistol tersebut meletup memuntahkan peluru menghinggapi badan seseorang baru kita kan ambil pusing?

Oleh itu, sekali lagi penulis menegaskan tiada salah untuk menunjukkan tanda sokongan pada artis-artis kesayangan, tetapi berpada-padalah. Cukuplah sekadar doakan yang baik-baik. Sekiranya artis kesayangan anda itu terbukti bersalah, dirinya perlu berhadapan dengan hukuman setimpalnya. Gelaran ‘artis’ bukanlah tiket untuk melakukan apa saja sewenang-wenangnya. Peliknya, ramai dari kalangan netizen mengasihani individu tersebut namun tiada siapa bertanyakan mereka yang tercedera dan terkesan di sebalik tragedi ini? Dan bayangkan jika individu terbabit bukan setakat mencederakan, tetapi menyebabkan kematian. Adakah tanda sokongan anda tetap sama? Fikir-fikirkanlah.

Foto kredit: MALAYMAIL/Hari Anggara / Berita Harian / BH Online dan Sumber Internet.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan majalah GLAM Lelaki. 

 

Oleh Wan Mohd Firdaus, 15 Januari 2017

 

 

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH

Bacaan Lanjut

STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID

Bacaan Lanjut
Ruark

SISTEM MUZIK REVOLUSIONER SIRI 100 RUARK MENGHUBUNGKAN ANDA DENGAN MUZIK

Bacaan Lanjut
10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

Bacaan Lanjut

BACHA COFFEE MEMBUKA DESTINASI SUMBANGANNYA DI SURIA KLCC

Bacaan Lanjut
senaman sakit pinggang

5 SENAMAN TERBAIK UNTUK KURANGKAN SAKIT PINGGANG

Bacaan Lanjut