Skip to content

15 DETIK PENTING KERJAYA DAVID BECKHAM DALAM SEJARAH BOLA SEPAK

15 DETIK PENTING KERJAYA DAVID BECKHAM DALAM SEJARAH BOLA SEPAK

Kongsikan artikel ini

David Beckham berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang pemain bola sepak paling terkenal dan disegani sepanjang zaman.

Sepanjang kerjaya profesionalnya selama dua dekad, Beckham memenangi kejuaraan liga di empat negara berbeza dan membuat lebih 100 penampilan untuk England.

Dan kini, kehidupan serta legasinya diabadikan dalam siri dokumentari terbaru Netflix, Beckham. Dari permulaan sederhana sehingga dia bergelar salah seorang bintang bola sepak terbaik di dunia.

Imbas kembali kerjaya gemilang David Beckham menerusi himpunan foto

 

1. David Beckham menyertai Manchester United pada tahun 1991

david beckham

Foto: Getty Images

Walaupun dibesarkan di London, Beckham merupakan peminat Manchester United sejak kecil. Ketika remaja, dia bersekolah di Bobby Charlton Soccer School di Manchester dan menjalani uji bakat dengan Tottenham Hotspur.

Pada 1991 ketika berusia 16 tahun, Beckham menandatangani kontrak dengan pasukan remaja United dan bermain bersama Ryan Giggs, Paul Scholes, serta Gary Neville dan Phil Neville.

 

2. Menyertai pasukan utama Manchester United tidak lama kemudian

David Beckham

Foto: Getty Images

Selepas beberapa musim mengagumkan bersama pasukan remaja, dia diberi peluang oleh pengurus Sir Alex Ferguson untuk membuat kemunculan pertama bersama United pada September 1992.

Baru berusia 17 tahun ketika itu, Beckham muncul sebagai pemain ganti ketika United seri 1-1 dengan Brighton & Hove Albion dalam Piala Liga. Tiga bulan kemudian, dia menandatangani kontrak dengan United sebagai pemain profesional.

 

3. Tahun 1996 merupakan tahun gemilang buat David Beckham

David Beckham

Foto: AP

Selepas dipinjamkan kepada Preston North End untuk musim 1994-95, dia kembali ke United dan memantapkan dirinya sebagai pemain tetap pasukan utama.

Pada musim 1995-96, Beckham membantu United memenangi Liga Perdana dan Piala FA. Dia kemudiannya menerima tawaran daripada England, sekali gus membuat kemunculan pertama dalam Three Lions menerusi perlawanan kelayakan Piala Dunia Fifa menentang Moldova pada September 1996.

 

4. Menjaringkan gol ikonik pada Ogos 1996

David Beckham

Foto: Getty Images

Beraksi menentang Wimbledon pada hari pembukaan musim 1996-97, Beckham melakukan rembatan dari garis tengah – 57 ela – yang melayang di atas penjaga gol Neil Sullivan terus ke dalam gawang.

Ia kemudiannya disenaraikan sebagai ‘gol Liga Perdana terbaik sepanjang dekad’ oleh The Telegraph. Menjelang penghujung musim, Beckham dinobat sebagai Pemain Muda Terbaik PFA.

 

5. Piala Dunia pertama David Beckham pada 1998 berakhir dengan tragis

David Beckham

Foto: AP

Piala Dunia 1998 sepatutnya menjadi peluang besar untuk Beckham menunjukkan ‘taringnya’ kepada seluruh dunia. Malangnya, ia tidak berjalan seperti yang dirancang.

Pada pusingan kedua menentang Argentina, dia dilayang kad merah selepas menendang Diego Simeone yang ketika itu terbaring di atas padang. Argentina seterusnya memenangi perlawanan itu menerusi sepakan penalti.

 

6. Bagaimanapun David Beckham bangkit bersama Manchester United

David Beckham

Foto: AFP

Pada musim 1998-99, Beckham menjadi figura penting buat United selepas pasukan Ferguson memenangi Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara.

United tewas 1-0 di tangan Bayern Munich dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara selepas 90 minit, tetapi berjaya menjaringkan dua gol dalam masa tambahan untuk menang. Kedua-dua gol datang dari sepakan sudut yang diambil oleh Beckham.

 

7. Dan pada 2001, David Beckham berjaya membuatkan England bangga

Foto: AP

Susulan kad merah yang dilayang kepadanya pada Piala Dunia 1998, dia dikecam peminat dan wartawan atas penyingkiran awal England. Beckham menebus kesalahan itu pada Oktober 2001.

Dia menjaring sepakan percuma menentang Greece dalam perlawanan kelayakan terakhir England menjelang Piala Dunia 2002, menjadikan Three Lions seri dan layak ke kejohanan itu.

 

8. Berselisih faham dengan Alex Ferguson pada 2003

Foto: AFP

Hubungan Beckham dan Ferguson mulai renggang pada awal tahun 2000, kala pemain itu sedang menikmati kemasyhurannya. Ia menjadi lebih teruk pada Februari 2003 berikutan kekalahan Piala FA kepada Arsenal. Dek terlalu berang, Ferguson menendang but, menyebabkan luka pada atas kening Beckham. Dia menerima beberapa jahitan.

 

9. Menyertai Real Madrid empat bulan kemudian

Foto: AFP

Pada Jun 2003, Beckham meninggalkan United untuk menjadi ‘Galáctico’ terbaru Real Madrid dengan bayaran RM196 juta. Dia meninggalkan United selepas membuat 400 penampilan, menjaringkan 85 gol dan memenangi enam kejuaraan Liga Perdana.

 

10. Masa depannya di Real Madrid tidak secerah di Manchester United

Foto: Reuters

Walaupun menaungi bintang hebat seperti Ronaldo, Zinedine Zidane, Luis Figo dan tentunya Beckham, Madrid tidak berjaya memenangi La Liga sehingga empat musim terakhir Beckham di kelab itu.

Mengimbas kembali masanya di Sepanyol, Beckham bagaimanapun berkata pada Mei 2020: “Empat tahun yang saya habiskan di Real Madrid adalah antara masa paling indah dan terpenting dalam kerjaya saya.”

 

11. Pada 2007, David Beckham berhijrah ke Major League Soccer

Foto: AFP

Pada pertengahan musim terakhirnya di Madrid, dia diumumkan akan meninggalkan kelab itu untuk menyertai kelab MLS, Los Angeles Galaxy. Madrid kemudiannya cuba membatalkan perjanjian itu selepas kemenangan mereka, malangnya sudah terlambat kerana perpindahan Beckham selesai pada Julai 2007.

Perjanjian itu bukan sahaja menguntungkan MLS tetapi juga Beckham. Saham dan sumber hasil MLS melonjak naik. Terdapat juga klausa yang membenarkan Beckham membeli francais MLS pada harga tetap RM120 juta selepas dia berhenti bermain dalam liga kelak. Dia kemudiannya menggunakan klausa itu dan menjadi pemilik bersama Inter Miami yang kini menaungi pemenang Ballon d’Or tujuh kali, Lionel Messi.

 

12. Menghabiskan masa enam tahun bersama LA Galaxy

Foto: AP

Enam musim bersama LA Galaxy, Beckham membuat 118 penampilan dan menjaringkan 20 gol. Dalam dua musim terakhirnya, dia membimbing kelab itu ke Piala MLS berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah.

 

13. David Beckham dipinjamkan dua kali ke Itali semasa bersama LA Galaxy

Foto: AFP

Dengan musim biasa MLS bermula dari Februari atau awal Mac hingga pertengahan Oktober, Beckham diberi pinjam kepada AC Milan untuk musim 2008-09 dan 2009-10.

Segelintir peminat percaya pinjaman itu hanyalah taktik pemasaran, tetapi Beckham membuktikan mereka salah. Dia berjaya menonjolkan dirinya sebagai figura penting dalam pasukan Milan yang menempatkan bintang tersohor seperti Ronaldinho, Kaka dan Clarence Seedorf.

 

14. Bersara dari arena sukan bola sepak antarabangsa

Foto: AP

Beckham membuat penampilan terakhirnya untuk England pada 14 Oktober 2009 dengan kemenangan 3-0 ke atas Belarus. Dia bersara daripada pasukan kebangsaan dengan 115 penampilan – kedua terbanyak dalam sejarah pasukan England ketika itu.

 

15. Berpindah ke Paris pada 2013 dan menamatkan kerjayanya

Foto: AFP

Setelah meninggalkan LA Galaxy pada penghujung kempen MLS 2012, Beckham menyertai Paris Saint-Germain sebagai ejen bebas pada Januari 2013. Dia membantu PSG memenangi gelaran Ligue 1 sebelum mengumumkan persaraan pada penghujung musim.

Untuk perlawanan terakhirnya, pemain itu diberikan but bertema bendera Union dengan sulaman nama isterinya Victoria dan anak-anaknya serta dilantik sebagai kapten PSG.

David Beckham

Foto: Getty Images

Selepas membantu mendapatkan satu jaringan, Beckham direhatkan, dipeluk rakan sepasukan serta pengurusnya, dan diberi tepukan gemuruh daripada orang ramai. Dia meninggalkan padang sambil mengalirkan air mata. Pada wisel penamat, rakan-rakan pemain PSG membentuk bulatan dan menjulang Beckham ke udara sempena meraikan persaraannya.

 

Foto: Getty Images

Pautan berkaitan: 5 PENDEDAHAN MENGEJUTKAN DALAM DOKUMENTARI TERBARU NETFLIX, BECKHAM

By Siti Syahidah
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

DAVID BECKHAM FAIL TUNTUTAN SAMAN RM50 JUTA TERHADAP MARK WAHLBERG

DAVID BECKHAM FAIL TUNTUTAN SAMAN RM50 JUTA TERHADAP MARK WAHLBERG

Bacaan Lanjut
Paris fashion week 2024

15 GAYA SELEBRITI LELAKI TERBAIK DI PARIS FASHION WEEK FALL 2024

Bacaan Lanjut
EVOLUSI GAYA VICTORIA & DAVID BECKHAM SEJAK DUA DEKAD LALU

EVOLUSI GAYA VICTORIA & DAVID BECKHAM SEJAK DUA DEKAD LALU

Bacaan Lanjut
5 PENDEDAHAN MENGEJUTKAN DALAM DOKUMENTARI TERBARU NETFLIX, BECKHAM

5 PENDEDAHAN MENGEJUTKAN DALAM DOKUMENTARI TERBARU NETFLIX, BECKHAM

Bacaan Lanjut
David Beckham

ANTARA CITA-CITA & CINTA, DOKUMENTARI DAVID BECKHAM DEDAH SISI PERIBADI

Bacaan Lanjut

15 RANCANGAN ‘MUST WATCH’ SEPANJANG OKTOBER 2023

Bacaan Lanjut