Skip to content

5 FILEM & DRAMA TERBAIK MATTHEW PERRY SELAIN FRIENDS

5 FILEM & DRAMA TERBAIK MATTHEW PERRY SELAIN FRIENDS

Kongsikan artikel ini

“Apabila saya meninggal dunia, saya tidak mahu Friends menjadi perkara pertama yang orang sebut-sebut,” kata Matthew Perry pada podcast Q With Tom Power pada November 2022.

Hampir setahun kemudian, aktor Amerika-Kanada itu ditemui lemas dalam jakuzi di kediamannya pada 28 Oktober 2023. Jasad Matthew Perry selamat dikebumikan di Forest Lawn Memorial Park di Los Angeles pada 3 November lalu.

Pelakon berusia 54 tahun itu sebelum ini berkata dia mahu diingati sebagai seorang lelaki yang gemar membantu orang ramai. Sebahagian besar akhir hayatnya didedikasikan untuk membantu penagih keluar daripada kepompong ketagihan.

Bagaimanapun sepanjang beberapa dekad kerjayanya, dia turut membantu ramai orang keluar daripada kesedihan menerusi karakter lucunya sebagai Chandler Bing dalam sitkom Friends.

GL kongsikan beberapa lagi watak ikonik Matthew Perry dalam filem dan drama lakonannya.

 

Fools Rush In (1997)

Kira-kira tiga tahun selepas membintangi Friends, Matthew muncul dalam filem komedi romantik ini di samping Salma Hayek. Dia menggalas watak Alex, lelaki bujang yang menghamilkan Isabel (Salma Hayek) selepas menidurinya sekali di Las Vegas.

Mereka kemudiannya berkahwin dan mengharungi pelbagai cabaran termasuk perbezaan budaya dan pertemuan dengan ibu bapa masing-masing, sambil memikirkan adakah mereka mahu terus hidup sebagai suami isteri.

Keserasian Matthew dan Salma membuatkan jalan cerita filem ini benar-benar menyerlah.

 

The Whole Nine Yards (2000)

Matthew Perry

Peranan Matthew dalam filem ini adalah sebagai Oz, seorang doktor gigi biasa di pinggir bandar sehinggalah bekas pembunuh upahan terkenal, Jimmy Tudeski (Bruce Willis) menjadi jirannya.

Natasha Henstridge dan Amanda Peet turut membintangi filem ini. Ia cukup popular sehingga diberikan sekuel, The Whole Ten Yards – sekali gus membuka jalan lebih luas buatnya di Hollywood.

 

Serving Sara (2002)

Dalam filem ini, Matthew memainkan watak pegawai polis bernama Joe yang ditugas untuk menyampaikan dokumen undang-undang kepada sosialit Britain, Sara (Elizabeth Hurley). Tanpa dijangka, kedua-duanya jatuh cinta.

Serving Sara menggabungkan dua kekuatan Matthew – komedi menghiburkan dengan sentuhan percintaan yang romantis.

 

The West Wing (2003)

Matthew Perry

Matthew hanya muncul dalam tiga episod drama berunsur politik ini namun peranannya tidak dapat dilupakan penonton. Dia menerima dua pencalonan Emmy (pada 2003 dan 2004) untuk watak Joe Quincy yang muncul dalam musim keempat dan kelima.

Joe merupakan seorang peguam Republican yang menjadi peguam sekutu Rumah Putih di bawah pentadbiran Democratic Bartlet. Selepas menyertai Rumah Putih, dia membongkar skandal yang menyebabkan Naib Presiden John Hoynes (Tim Matheson) meletak jawatan.

 

Numb (2007)

Matthew memegang watak sebagai Hudson, penulis skrip yang menghidap gangguan depersonalisasi akut dan cuba menyembuhkan dirinya setelah bertemu gadis idaman.

Persembahannya dipuji kerana berjaya menyelitkan jenaka dan drama ke dalam naskah komedi romantis gelap ini yang diilhamkan oleh pengalaman sebenar pengarah Numb, Harris Goldberg.

 

Pautan berkaitan: 5 FILEM TERBAIK HRITHIK ROSHAN MENURUT ROTTEN TOMATOES