Skip to content

APRESIASI DAN POSITIVITI AIRLIFTZ

Kongsikan artikel ini

“Kau pakai topeng apa ni? Buruk sial” itu antara kata yang dilemparkan kepada Airliftz.  Sadisnya masyarakat sampai ada yang tidak berbelas hati, melantangkan celaan, kata nista berbisa. Ketidaksempurnaan orang dijadikan bahan jenaka. Sejak bila masyarakat malaysia tidak pandai menyusun kata. Sedangkan nenek moyang menyifatkan kita ‘berbudi bahasa’? Kian biadap, kalau tak dilarang. Tak ditentang, nescaya binasa kelaknya.

Sekalipun mahu tampil sebagai keyboard warrior handal. Jadilah yang berwibawa. Punya isu bernas yang hendak dikupaskan. Bukannya dengan mengherdik rupa paras, susuk tubuh seseorang. Kalau nak kata bergurau, itu lebih kepada gurau kasar. Melebih, kerana kita tidak pasti akan input yang bakal diproses oleh seseorang itu jika dihentam sebegitu. Meskipun punya sifat berterus terang, ada cara untuk mengolah bicara. Adakah lebih baik bertanya daripada memberi statement terus menggunakan bahasa yang agresif. Sewaras aku sebagai seorang individu normal, tidak pernah terdetik di satu sisi gelapku untuk menggunakan fizikal seseorang sebagai bahan cacian. Melainkan kemarahan menyelubungi diriku teramat dalam. Lalu, teman rapat menjadi tempat lampias amarah.

Kebelakangan ini isu body shaming semakin hangat diperkatakan. Lepas satu insiden, tampil satu lagi insiden baru. Dah tu terang-terang pula disiarkan menerusi program televisyen siaran langsung yang punya jutaan pengikut. Malangnya dikatakan gimik pemasaran dan ditekan kerana punya masa yang singkat untuk memasarkan produk kecantikan wajah. Kandungan vs kontroversi? Terpulang kepada kalian untuk menghakimi. Aku hanya mampu terkejut dengan pemilihan bahasa empunya produk itu. Ini bukan perkara biasa, malah itu adalah virus yang mampu membinasakan moral anak-anak di kemudian hari kerana tidak ditentang oleh ibu bapa ataupun masyarakat sekeliling. Menyelak komen di laman Instagram milik rapper tempatan yang aku kagumi cukup mengguris hati. Ketidaksempurnaan fizikalnya sejak lahir menjadi senjata masyarakat untuk mencaci Airlifz atau nama sebenar pemuda ini Aliff Shaharom.

APRESIASI SI AIRLIFTZ

Kejam. Internet boleh menjadi sangat brutal kerana sebagai seorang yang punya isu dengan susuk tubuh serta rona kulit sendiri, aku cukup terusik dengan komen-komen negatif ini. Ini mungkin antara kesulitan yang dialami para selebriti. Di mata masyarakat serba serbi tak kena. Normal di pandangan mata kita sebaliknya tidak di mata mereka. “Gua syor lu jangan main Insta kalau lu sedar lu muka hodoh tambah cacat,” sorotan komen yang terang-terang keterlaluan dilemparkan kepadanya. Demikian, siapa lagi calon yang cocok untuk dijadikan cover guy edisi body positivity atau kepositifan susuk tubuh ini kalau bukan pemuda yang cukup berbakat, memperdengarkan muzik hip-hop dialiri sama alunan R&B caranya? Airlifz juga punya keupayaan melontarkan vokal bukan hanya sekadar rap saja.

Memerhatikan bahasa tubuh Airlifz hari penggambaran, aku rasa dia agak gementar. Lalu aku bertanyakan kepadanya jika ini adalah kali pertama menghiasi wajah mana-mana majalah lokal. “Ya. Ini kali pertama dan jika ada yang hendak diperbaiki, tegurlah saya,” jawabnya. Usai penggambaran aku terus mewawancaranya. Sebagai pendengar tegar genre hip-hop, R&B dan sebumbung dengannya. Banyak soalan terbuku di fikiran, sedia untuk dilepaskan terus dari bibir. Airliftz atau Aliff Shaharom adalah anak jati Selangor. Lahir di Petaling Jaya lalu dibesarkan di Kajang. Tamat menekuni sekolah menengah, pemuda yang baru saja berusia 20 tahun ini tidak berlengah masa lalu mengemudi kerjaya dalam lapangan seni suara. Kerana dia percaya bakat yang ada padanya jangan sekali disia-siakan. “Kini menetap di Sungai Long, Kajang. Saya punya lima adik-beradik dan saya adalah anak bongsu kepada kedua-dua ibu bapa yang kini sudah bersara. Saya anak ibu,” kata Airliftz dalam nada bersahaja sambil ketawa kecil.

Untuk bacaan lanjut dapatkan isu DISEMBER 2018 yang kini sudah berada di pasaran.

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

SYAMSUL YUSOF: PENGARAH VISIONARI FILEM MALAYSIA

Bacaan Lanjut
augustin eng

AUGUSTIN ENG, PASANG IMPIAN BEKERJASAMA DENGAN PEREKA FESYEN LOKAL

Bacaan Lanjut
"HUBUNGAN SAYA DENGAN MUZIK SANGAT UNIK & INTIMATE." - NINA HASNUL

“HUBUNGAN SAYA DENGAN MUZIK SANGAT UNIK & INTIMATE.” – NINA HASNUL

Bacaan Lanjut
Nik Rifa'ie

NIK RIFA’IE: WAJAH UTAMA GL GANG & MENYELAMI KREATIVITI BINTANG BERBAKAT BESAR

Bacaan Lanjut

LACOSTE STRIPS DOWN TAYLOR ZAKHAR PEREZ UNTUK KEMPEN TERBARU

Bacaan Lanjut
5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

Bacaan Lanjut