SHUKRI YAHAYA KEKAL RELEVAN DAN CEMERLANG SEBAGAI PELAKON DRAMA & FILEM MESKI SUDAH 13 TAHUN DALAM INDUSTRI
Editor & arahan kreatif: JOHAN KASSIM, Pengarah seni kanan: KHAIRANI RAMLI, Pereka grafik: HILMAN HISHAM, Penulis: BATRISYIA FAISAL Dandanan: KEITH ONG Grooming: RAZZI MUSA, Gambar: CHUAN LOOI Teks & temu bual: RAZIN MOHD
Shukri Yahaya berdiri sebagai satu nama yang tidak pernah pudar relevannya. Tiga belas tahun di depan kamera, dia bukan sekadar bintang drama kegemaran ramai, tetapi seorang suami, ayah dan insan yang sentiasa mendidik diri agar tetap membumi.
Dalam temu bual eksklusif bersama GLAM Lelaki kali ini, Shukri berkongsi sisi peribadinya; tentang watak yang mencabar minda, penghijrahan isteri tercinta, definisi kejayaan sebenar dan rahsia untuk terus bersyukur meski berada di puncak populariti.
Bagi Shukri, hidup ini bukan sekadar soal menjadi hero di layar perak. Tetapi juga menjadi ‘hero’ di hati keluarga yang sentiasa menjadi kekuatan di belakang tabir.
Sudah lebih 13 tahun kamu bertapak dalam industri perfileman. Bagaimana kamu melihat perkembangan industri hiburan tempatan sejak awal pembabitan hingga hari ini?
Semakin berkembang, sama ada dari segi proses pembikinan mahupun penggunaan teknologi yang semakin inovatif. Sekarang kita juga mempunyai pelbagai saluran seperti aplikasi penstriman Astro Go, Viu, dan Tonton, yang membuka lebih banyak ruang dan peluang buat pelakon baharu dan lama untuk berkembang dan maju ke hadapan.
Bagaimana kamu melihat cabaran persaingan artis baharu dan bagaimana pula kamu kekal relevan dalam industri yang semakin kompetitif?
Saya memandang hal ini sebagai satu bentuk persaingan yang sihat dan bagus, di mana bagi saya setiap pelakon pada hari ini mempunyai kekuatan masing-masing, tidak kira baharu ataupun yang sudah lama dalam industri. Namun begitu, saya tetap tekankan pada diri sendiri dan memberi nasihat untuk mengekalkan kestabilan, menjaga kualiti kerja, dan mengelakkan diri daripada sebarang kontroversi.
Apa yang membezakan pengalaman berlakon dalam Blood Brothers: Bara Naga berbanding watak-watak lain sebelum ini? Adakah ia mencabar emosi dan mental?
Betul. Filem ini memang mencabar mental dan fizikal, sebab saya melalui beberapa babak aksi berlawan yang agak berat. Untuk itu, saya jalani latihan selama enam bulan dan juga mengikuti kelas lakonan supaya betul-betul dapat menjiwai watak Fadlan.
Antara momen yang paling ‘best’ ialah dapat bekerja dengan pengarah filem Syafiq Yusof, di mana dia memang bersungguh-sungguh beri saya peluang untuk ‘explore’ watak ini. Pada masa yang sama, dia melatih dan membimbing saya supaya lakonan saya tidak nampak terlebih atau syok sendiri. (sambil tertawa)

Jaket, baju panas & seluar, HERMES musim luruh 2025
Watak mana yang paling meninggalkan kesan mendalam dalam kerjaya kamu, dan mengapa?
Susah untuk saya pilih, terapi saya melihat hal ini sebagai satu jalan yang positif. Sepanjang karier saya, setiap watak yang saya bawa, sejauh mana pun saya mendalaminya, saya akan sentiasa sedarkan diri bahawa ia hanyalah sekadar lakonan. Tidaklah seperti sesetengah pelakon luar negara yang sampai perlu ‘berkabung’ atau mencari ketenangan untuk ‘melepaskan’ roh watak selepas penggambaran tamat.
Saya akan tetapkan minda supaya ia tidak terbawa-bawa ke luar set. Contohnya, kalau kita berlakon watak orang gila, takkanlah kita nak duduk bersama orang gila pula kan? (sambil tertawa)
Shukri pernah terfikir untuk mencuba bidang pengarahan atau penulisan skrip suatu hari nanti?
Menulis skrip memang tak pernah terlintas, tetapi saya pernah ubah sedikit skrip supaya watak nampak lebih asli. Untuk bidang pengarahan pula, saya pernah mengarah satu telemovie. Masa itu, saya ingat saya ‘terer’ sebab kononnya boleh mengarah dan berlakon sekali gus. Rupanya susah! Jadi, buat masa ini saya kekal dulu dalam dunia lakonan. Tapi kalau ada rezeki pada masa akan datang, saya takkan tolak peluang itu.

Blazer, kemeja, seluar & skaf, RALPH LAUREN
Apakah pesan kamu kepada generasi muda yang ingin bertapak dalam industri hiburan?
Nasihat saya, jadilah diri sendiri dan jangan cuba tiru orang lain hanya kerana mahu nampak hebat. Kita semua ada kelebihan masing-masing. Paling penting, don’t try too hard sampai hilang arah. Biar usaha itu datang dengan ikhlas, jujur, dan sentiasa perbaiki kelemahan. Kalau kita ikhlas, orang pun akan nampak kejujuran kita.
Adakah kamu mempunyai impian peribadi yang masih belum tercapai?
Mungkin antara perkara yang saya belum capai tapi saya impikan adalah untuk menjadi seorang producer, berada di belakang tabir, dan menjadi individu yang lebih berjaya dalam industri perfileman. Itu yang saya bayangkan untuk diri saya pada masa akan datang.

Top, DIOR, seluar kulit, HERMES
Siapa figura seni atau tokoh peribadi yang menjadi inspirasi terbesar kamu?
Rosyam Nor. Bagi saya, beliau seorang pelakon yang bukan saja hebat berlakon tetapi juga pandai membawa diri dalam apa jua situasi. Aura dia memang lain — berkarisma, tegas, dan bijak dalam uruskan bisnes.
Saya selalu tengok cara dia bekerja keras, tak mudah putus asa, dan terus mencuba benda baru walaupun dah berada di puncak. Itu yang saya paling hormat. Pendek kata, dia bukti yang kalau kita disiplin dan betul-betul fokus, tak mustahil untuk berjaya dalam pelbagai bidang. Memang saya salute!
Bagaimana kamu mendefinisikan gaya peribadi sebagai seorang bintang filem dan juga seorang bapa?
Kalau di set penggambaran, saya memang seorang yang sangat ‘friendly’. Saya percaya bila kita bawa aura positif, suasana di set akan jadi lebih meriah dan semua orang pun lebih senang bekerja.
Tapi bila di rumah, saya boleh kata saya sedikit tegas sebab peranan saya sebagai bapa. Untuk Aaira dan Maleeq, saya memang mahu yang terbaik, jadi saya kena ada disiplin dengan mereka. Walaupun tegas, saya tetap seorang bapa yang penyayang. Itu memang prinsip saya.
Apakah rutin harian atau prinsip hidup yang membantu Syukri kekal tenang, fokus, dan bersyukur setiap hari?
Keluarga. Tiap kali balik ke rumah selepas seharian di luar, bila melangkah masuk dan nampak wajah isteri dan anak-anak, terus rasa tenang dan bersyukur. Di rumah, saya boleh jadi diri sendiri sepenuhnya. Rasa sangat tenang dan bahagia. Itulah my happy place!

Top, SANDRO, seluar kulit, HERMES, kasut kulit, CHRISTIAN LOUBOUTIN
Bagaimana perasaan Shukri melihat isteri kamu, Tya Adnan, memilih untuk berniqab? Apa yang kamu pelajari daripada penghijrahan beliau?
Saya sangat gembira dengan penghijrahan Tya, bila dia memilih untuk berpakaian mengikut sunnah. Ada satu nasihat yang saya pegang sampai hari ini — isteri ini bukan hanya cerminan suami, tetapi ‘peringatan’ buat suami. Apa yang saya belajar daripada isteri saya ialah untuk sentiasa mendekatkan diri dengan Tuhan yang maha Esa.
Penghijrahan dia juga mengingatkan saya bahawa rezeki dan kebahagiaan itu datang bila kita jaga hubungan dengan keluarga dan Tuhan. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat isteri yang menjadi penguat semangat saya setiap hari.

Blazer, kemeja, seluar & skaf, RALPH LAUREN

Top kardigan, ONITSUKA TIGER, seluar kulit, HERMES
Akhir sekali, bagaimana kamu mendefinisikan erti kejayaan sebenar?
Kalau bercakap tentang kerjaya, saya melihat semula setiap langkah saya selama 13 tahun dalam industri ini. Masih segar, masih diterima, dan masih menjadi pilihan untuk drama dan filem — itu pun satu kejayaan yang saya sangat syukuri.
Tapi bila difikirkan semula, bagi saya erti kejayaan sebenar adalah bila saya dapat menjadi anak, ayah, dan suami yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga. Sebab pada akhirnya, kejayaan yang paling besar adalah pabila orang terdekat kita rasa bahagia dengan siapa kita sebenarnya.
Artikel berkaitan: AWAL ASHAARI IS BACK ON THE COVER OF GLAM LELAKI!
Tags
Artikel Yang Berkaitan
5 WAJAH LELAKI MASA KINI MENJADI REBUTAN JENAMA LOKAL
Kenali lima wajah lelaki masa kini yang semakin menjadi pilihan utama jenama lokal, seperti Pipi Razi dan Hadri Hashim.
ARIF ASHRAF, INSPIRASI GAYA GENERASI KINI
"Sebelum masuk 35 tahun, saya berazam untuk melancarkan produk jenama saya sendiri dan membina jenama yang mencerminkan identiti saya"-Ashraf
KHALIL WAHID, “JANGAN MUDAH TERPENGARUH DENGAN KOMEN NEGATIF!”
GLAM Lelaki bersembang dengan Khalil Walid. Dia mula menarik perhatian dengan kandungan memasak dengan gaya dan suntingan video tersendiri.
GLAM LELAKI JULAI 2025
Shukri Yahaya berdiri sebagai satu nama yang tidak pernah pudar relevannya. Tiga belas tahun di depan kamera, dia bukan sekadar bintang drama kegemaran ramai, tetapi seorang suami, ayah dan insan yang sentiasa mendidik diri agar tetap membumi. Shukri Yahaya, yang masih kekal relevan selama 13 tahun ini merupakan wajah hadapan GLAM Lelaki, isu Julai 2025….
SETIAP LELAKI PERLU TAHU LIMA CARA INI UNTUK ELAK MULUT BERBAU BUSUK
Ketahui lima tips berkesan untuk mengelakkan mulut berbau busuk khas untuk lelaki.
KENALI JUSTIN WEIQING, WAJAH FESYEN LOKAL MASA KINI
Justin Weiqing merupakan wajah baharu dalam dunia fesyen. Bermula sebagai model dan kini beralih fokus ke dalam bidang penciptaan kandungan digital pula.