DANIEL FLEISCHER, “GAYA YANG TERBAIK SENTIASA DATANG DARI KEASLIAN DIRI”
Daniel Fleischer telah memulakan kerjaya ‘modelling’ sejak umur 18 tahun lagi. Kini dia semakin matang dalam menyusun kerjayanya, yang mana telah berkembang sebagai seorang DJ dan pemilik kafe. Namun, minatnya pada fesyen yang masih utuh memberinya semangat untuk terus menjadi model dan mengejar impian tertinggi.
KONGSIKAN SEDIKIT TENTANG PERJALANAN ANDA DALAM DUNIA FESYEN DAN KINI SEBAGAI DJ? APA YANG MEMBERI INSPIRASI UNTUK ANDA BERMULA?
Saya sebenarnya memulakan kerjaya dalam bidang peragaan hasil daripada Ridduan (TTFGA). Dialah orang pertama yang ‘scout’ saya ketika saya berumur 18 tahun. Saya masih ingat dengan jelas. Waktu itu saya sedang berjalan-jalan di sekitar KL, dalam perjalanan hendak membeli tiket konsert kalau saya tak silap. Bila dia tiba-tiba datang dan tanya kalau dia boleh ambil beberapa gambar untuk ruangan “Street Style” dalam sebuah majalah. Detik itu merupakan permulaan kerjaya saya dalam dunia fesyen.
Bagi DJ-ing pula, muzik memang sudah menjadi sebahagian besar daripada hidup saya. Saya pernah bermain dalam band semasa remaja dan mula mengumpul piring hitam hasil pengaruh arwah ayah saya. Tapi titik perubahan sebenar berlaku semasa perintah berkurung akibat Covid-19.
Disebabkan bosan, saya mula mencuba mix lagu-lagu menggunakan piring hitam di rumah dan memuat naik potongan video ke IG Stories. Beberapa bulan kemudian, bila semuanya dah mula dibuka semula, seorang kawan tawarkan saya slot di listening bar miliknya, FONO. Gig pertama itu membuka pintu kepada lebih banyak peluang, dan akhirnya saya menubuhkan Karpet Terbang bersama sekumpulan kawan rapat. Bila saya imbas kembali, kedua-dua dunia fesyen dan DJ-ing datang kepada saya dengan cara yang sangat organik, dan saya sangat bersyukur untuk itu.
BAGAIMANA ANDA MENGGAMBARKAN GAYA PERIBADI ANDA? ADAKAH IA TELAH BERUBAH ATAU BERKEMBANG DARI MASA KE MASA?
Gaya peribadi saya pada mulanya agak ringkas, seperti t-shirt band dan jeans, macam tu je. Tapi lama-kelamaan saya mula bereksperimen lebih, terima kasih juga kepada kawan-kawan yang banyak bagi galakan dan keyakinan untuk jadi lebih “bold” bila saya rasa nak, sambil tetap jadi diri sendiri. Jadi ya, gaya saya memang dah berkembang, tapi saya suka sebab ia masih rasa autentik dan mencerminkan siapa saya.
ANDA CENDERUNG KEPADA GAYA STREETWEAR DAN KADANG-KADANG TAMPIL BERANI. BAGAIMANA ANDA KEKAL MENGIKUTI PERKEMBANGAN GAYA LELAKI SEMASA?
Saya ambil inspirasi daripada pelbagai sumber. Misalnya, gaya rockstar, orang sekeliling saya, TikTok, majalah fesyen, dan sudah tentu saya sentiasa perhatikan perkembangan di pentas peragaan dan budaya jalanan. Saya rasa menarik bila tengok bagaimana idea daripada pereka fesyen mula tersebar ke kehidupan seharian, dan bagaimana orang olah atau tafsirkan gaya tu dengan cara mereka sendiri.
BOLEH KONGSIKAN TENTANG SALAH SATU HASIL KERJA YANG PALING BERMAKNA ATAU PALING ANDA INGAT?
Salah satu penggambaran yang paling saya ingat ialah bersama Velvet Vanity, sebuah jenama gincu/kosmetik tempatan. Kira-kira 10 tahun lalu, kita jarang (atau langsung tak) lihat model lelaki jadi wajah utama untuk kempen gincu. Dalam penggambaran tu, saya pakai choker, jaket kulit, gincu merah, dan solekan penuh. Dan sejujurnya, saya nampak cantik. Momen tu membuka pintu untuk saya menerima sisi androgini dalam diri saya, dan ia sangat membebaskan serta memberi kekuatan.
APAKAH NASIHAT YANG INGIN DANIEL FLEISCHER, BERIKAN KEPADA GENERASI BAHARU DALAM DUNIA FESYEN?
Saya rasa gaya generasi baru memang sangat berani, dan saya suka sangat dengan itu. Nasihat saya cuma satu. Fahami trend, tapi buatlah gaya itu jadi milik anda sendiri. Jangan ikut trend semata-mata. Kalau ia tak rasa macam diri anda, susah nak ‘pull off’ juga. Gaya yang terbaik sentiasa datang dari keaslian diri.
SIAPAKAH INSPIRASI ANDA?
Kalau saya harus pilih satu inspirasi, ia pastinya arwah Jiman Casablancas. Dia sentiasa menyokong bakat-bakat baru mahupun yang sudah lama berkecimpung. Dia sentiasa ada untuk saya sepanjang perjalanan dalam dunia peragaan, datang ke gig DJ saya, dan malah pernah anjurkan konsert rock yang mana dia jemput band saya untuk bermain. Kepercayaannya pada orang dan kebaikannya meninggalkan kesan yang sangat besar pada saya. Semoga arwah Jiman dicucuri rahmat. Al-Fatihah.
PROJEK TERKINI ATAU AKAN DATANG?
Setelah KL Fashion Week tamat, saya kembali ke rutin 9-to-5 saya menguruskan kafe saya, Flint, di The Curve. Kami ada pelbagai rancangan menarik untuk 2026, dan baru sahaja lancarkan menu baru juga. Dari sisi modeling pula, ada beberapa projek yang saya tengah usahakan tapi belum boleh kongsi lagi, so korang tunggu je lah ya hahaha.
SIAPAKAH JENAMA ATAU INDIVIDU IMPIAN ANDA UNTUK BEKERJASAMA?
Ini soalan susah sikit hahaha. Sejujurnya, saya selalu impikan untuk bekerjasama dengan Saint Laurent. Saya dah pernah buat beberapa penggambaran dengan pakaian YSL, tapi untuk jadi model rasmi bagi jenama tu memang satu impian. Saya rasa pakaian mereka sangat selari dengan gaya dan personaliti saya.
AKHIR SEKALI DANIEL FLEISCHER, APA YANG ANDA INGIN CAPAI SEBELUM UMUR 35 TAHUN?
Sebelum umur 35, ermmm hahaha, sejujurnya, saya ingin memiliki rumah sendiri hahaha. Kedengaran simple je, tapi bagi saya, ia satu pencapaian besar sebab saya dah penat sangat nak pindah rumah sana sini hahaha.
Artikel berkaitan: KENALI 10 ‘COOL KIDS’ GLAM LELAKI SEPERTI ALPHA DAN RAMAI LAGI
Tags
Artikel Yang Berkaitan
TIGA HARUMAN BAHARU SETIAP LELAKI MESTI MILIKI
Bulan ini dunia grooming lelaki hangat dengan keluaran tiga haruman baharu. Ketahui tiga haruman baharu yang wajar dicuba dan dimiliki segera.
NARATIF GAYA IDRIS KHAN BERSAMA MONTBLANC
Montblanc memperkenalkan koleksi baharu diinspirasikan dari kaki Gunung Mont Blanc dengan siluet lebih ringan dan rona bumi yang menenangkan.
GELOMBANG BUDAYA ADIDAS ORIGINALS SUPERSTAR
Bertemakan “The Original”, memberi penghormatan kepada legasi kasut ikonik adidas Superstar. Pop-up ini direka sebagai satu pengalaman imersif yang berpusatkan komuniti, menggabungkan budaya jalanan global dengan sentuhan kreatif tempatan.
5 WAJAH LELAKI MASA KINI MENJADI REBUTAN JENAMA LOKAL
Kenali lima wajah lelaki masa kini yang semakin menjadi pilihan utama jenama lokal, seperti Pipi Razi dan Hadri Hashim.
ARIF ASHRAF, INSPIRASI GAYA GENERASI KINI
"Sebelum masuk 35 tahun, saya berazam untuk melancarkan produk jenama saya sendiri dan membina jenama yang mencerminkan identiti saya"-Ashraf
RECAP KLFW 2025: 10 MODEL KLFW 2025 PILIHAN PENULIS GLAM LELAKI
KLFW 2025 kali ini bukan sahaja mengangkat rekaan dari pereka tempatan, malah model tempatan yang penuh bakat turut menjadi tumpuan ramai.