Baru-baru ini, netizen media sosial kerap kali membicarakan tentang kemunculan beberapa warga asing menetap di Malaysia yang handal berloghat satu-satu negeri. Bermula dengan kemunculan Casidee dan kemudiannya Mat Dan dan lain-lain. Dan kini, seorang lagi individu serupa yang bukan berasal dari sini namun popular dek berikutan video-videonya berdialek Kelantar tular di laman-laman sosial. Fatih Imamoglu atau lebih popular dengan gelaran Mat Daud memenangi hati ramai pihak dengan cara penyampaian loghat Kelantan yang bersahaja. Lalu, GL terpanggil mendekatinya dengan lebih dekat.

GLAM LELAKI: Boleh Fatih ceritakan serba sedikit mengenai diri Fatih. 

FATIH ‘MAT DAUD’: Pertama sekali saya ingin ucapkan terima kasih buat GLAM Lelaki kerana sudi menemuramah saya. Nama penuh saya Fatih Imamoglu dan saya berasal dari Turkey. Saya dikenali di sini dengan julukan Mat Daud. Saya lahir pada 19 Disember 1992 dan merupakan anak sulung dari lima adik beradik. Saya bekerja sebagai usahawan produk kesihatan dan kosmetik. Keluarga saya semuanya masih tinggal di Turkey.

GLAM LELAKI. Bagaimana Fatih boleh tiba di Malaysia? 

FATIH ‘MAT DAUD’: Asalnya saya datang ke sini kerana mengikut keluarga yang membuat urus niaga di sini. Saya berasal dari keluarga yang aktif berniaga. Dan saya juga turut belajar dan menyambung pengajian di sekolah Wadi Sofia di Binjai Kelantan selama 6 bulan.

GLAM LELAKI: Apa perasaan Fatih apabila video-video yang dimuat naik tiba-tiba tular dan mempopularkan Fatih. 

FATIH ‘MAT DAUD’: Secara jujurnya memang tidak menyangka, dan sememangnya saya tak biasa lagi dengan semua ini. Saya buat video-video itu untuk alasan suka-suka saja, tetapi tak sangka kawan-kawan sebarkan. Jadi memang saya terkejut sebab ke mana saja saya pergi ada yang mula menegur. Kemudian, saya juga ada dijemput untuk membuat kemunculan khas untuk stesen-stesen radio terkemuka seperti Radio THR Gegar, Manis FM dan Kelantan FM. Selain itu, ada juga yang menawarkan saya untuk menjadi model untuk jenama pakaian seperti jubah dan lain-lain. Alhamdulillah..

Fatih “Mat Daud” dijemput sebagai penampilan khas dalam satu temubual bersama radia KelantanFM. (Sumber foto: Instagram @imamoglufatih)

Fathi turut memenuhi undangan dari stesen radio THR Gegar. (Sumber foto: Fatih Imamoglu)

GLAM LELAKI: Apakah pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang Fatih berada di Malaysia?

FATIH ‘MAT DAUD’: Oh, antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah apabila sudah lama berada di sini, saya berjaya membeli kereta pertama hasil usaha saya namun akhirnya dicuri. Itulah antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang berada di sini.

GLAM LELAKI: Kenapa Kelantan? 

FATIH ‘MAT DAUD’: Oh sukakan Kelantan kerana makanan-makanan di sini sangat sedap dan murah.  Malah orang-orangnya sangat baik dan peramah.

GLAM LELAKI: Sekiranya ada menerima tawaran untuk terjun dalam bidang seni, jadi pengacara atau pelakon, adakah Fatih sudi menimbangkan?

FATIH ‘MAT DAUD’: Insyaallah, saya akan mempertimbangkan setiap tawaran jika saya nampak saya boleh pergi jauh. Saya juga berharap kalau ada rezeki saya dalam bidang hiburan saya pasti akan berusaha sehabis baik. Terima kasih buat semua yang mendoakan saya.


GLAM LELAKI: Netizen membandingkan anda dengan seorang lagi personaliti terkenal, Mat Dan. Kata mereka anda terikut-ikut jejak langkah beliau.  Jadi, apa pandangan Fatih? Apa pula perasaan bile Fatih dibandingkan dengan Mat Dan, dari segi rupa, personaliti dan lain-lain.

FATIH ‘MAT DAUD’: Secara jujurnya, saya tidak ada niat pun untuk mengikut sesiapa. Saya lebih suka untuk ikut cara saya sendiri, tetapi tak sangka pula saya dibandingkan dengan Mat Dan. Entahlah, mungkin kami berdua bukan rakyat Malaysia dan julukan nama kami pula hampir sama. Namun, saya berbesar hati apabila ada yang banding-bandingkan kami, kiranya saya juga punya personaliti tersendiri. Mat Daud itu sebenarnya adalah panggilan yang diberikan oleh rakan-rakan saya untuk David.

GLAM LELAKI: Apa pula perancangan Fathi apabila sudah lama beradi di Malaysia?

FATIH ‘MAT DAUD’: Perancangan saya adalah untuk terus menetap di sini. Al maklumlah, sudah hampir 9 tahun saya berada di tanah air Malaysia, dan negeri Kelantan khususnya, jadi pasti sayang untuk tinggalkan Malaysia. Jadi ya, saya merancang untuk terus bermaustatin di sini dan harapan agar saya dapat menamatkan zaman bujang di sini.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 20 Mac 2017